|
Keadaan menjadi riuh rendah seketika di lobi kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pagi tadi apabila kira-kira 100 penyokong Pakatan Rakyat bersorak sebagai tanda sokongan kepada petugas media yang ketika itu diarahkan oleh pihak polis mengosongkan kawasan tersebut.
Mereka menjerit membantah tindakan anggota polis dengan melaungkan "Hidup Rakyat" dan "Berikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman".
Kira-kira 30 anggota polis berada di situ untuk mengawal keadaan. Selepas itu, kelihatan beberapa anggota polis cuba menurunkan salah satu kain rentang tersebut.
Bagaimanapun ia sempat dihalang oleh kumpulan penyokong yang berada di tangga mahkamah, tempat kain rentang itu dipasang dan keadaan kembali tenang.
Tian Chua yang berucap di atas tangga meminta polis supaya tidak mengganggu perhimpunan itu.
Tian Chua dalam ucapannya mendakwa pemerintah (Umno) menggunakan segala jentera kerajaan untuk menjatuh Anwar Ibrahim 10 tahun lalu sehinggalah rakyat menolak Umno dalam pilihnraya umum, Mac 2008.
Beliau mendakwa tuduhan terhadap Anwar itu adalah "palsu dan fitnah".
"Kita harap rakyat bangkit menyaksikan bahawa negara kita masih belum berubah. Kita hantar mesej yang jelas untuk buat perubahan," katanya penuh semangat, disambut laungan reformasi dan takbir para penyokong.
Manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hatta pula berkata pertuduhan liwat terhadap Anwar adalah pengulangan kisah tahun 1998. Manakala naib presiden PKR, Lee Boon Chye mendakwa pertuduhan itu "satu konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar".
Di satu sudut yang lain, seorang penyokong PKR memberi ucapan secara berseloka kepada hadirin, mengecam ketidakadilan yang didakwanya berlaku terhadap Anwar.
Ia berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi selepas lelaki dalam lingkungan usia lewat 70-an tersebut, tidak dibenarkan memasuki dewan mahkamah kerana pas telah kehabisan.
Beliau melepaskan rasa geram kepada petugas media yang memenuhi ruang lobi tersebut sebelum pengsan lima minit selepas itu dan terpaksa dibawa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans.
Sebelum itu beberapa pemimpin PKR yang dilihat hadir selepas Anwar menuju ke dewan mahkamah antaranya, naib presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan timbalan pengerusi PKR Selangor Syed Shahir Syed Mohamud , pada kira-kira jam 9.10 pagi.
Sepuluh minit selepas itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba di mahkamah memberi sokongan kepada Anwar. Kehadiran beliau disambut laungan takbir dari para penyokong.
Ketua Pemuda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin pula tiba. Sambil tersenyum beliau sempat bersalaman dengan beberapa pemimpin PKR, termasuk bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar. Turut hadir ialah ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Penyokong Pakatan berhimpun di lobi mahkamah untuk memberi sokongan kepada Anwar.
"Sebarang perbicaran kes berprofil tinggi polis akan mengadakan kawalan keselamatan yang ketat dan kita telah menempatkan anggota yang secukupnya bagi kes ini," katanya kepada Bernama di lobi mahkamah.
Katanya polis telah ditugaskan berkawal di kompleks mahkamah dari pukul 6 pagi ini sehingga perbicaraan kes liwat Anwar selesai.
Zakaria berkata polis juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba melanggar peraturan mahkamah sehingga menggangu perjalanan perbicaraan kes berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan