Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.2.10

Peguam Anwar bertemu Alauddin dapatkan tarikh awal pendengaran rayuan

PUTRAJAYA: Peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff di sini, hari ini.

Pertemuan itu bertujuan memohon tarikh awal perbicaraan bagi mendengar rayuan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kesnya yang sedang berlangsung dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Hakim Alauddin memaklumkan secara lisan kepada pihak-pihak yang berkenaan bahawa rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat akan didengar pada 12 Februari ini.

Usul Anwar untuk mendapatkan perintah penangguhan bagi perbicaraan kes liwatnya akan turut didengar pada hari yang sama.

Ketika ditemui pemberita, peguam Datuk Param Cumaraswamy berkata Hakim Alauddin turut memaklumkan kepada mereka bahawa tarikh perbicaraan bagi permohonan Anwar untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan permohonan untuk mendapatkan dokumen penting yang mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes liwatnya akan ditetapkan paling awal menjelang minggu depan.

Hakim Alauddin turut memaklumkan bahawa mereka sedang mencari seorang lagi hakim untuk menganggotai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan semula itu.

Bagaimanapun, tarikh-tarikh berkenaan bukanlah rasmi memandangkan notis rasmi bagi perbicaraan pada 12 Febuari itu masih belum dikeluarkan manakala tarikh bagi permohonan semakan semula kehakiman akan hanya dimaklumkan kepada pihak-pihak yang berkenaan menjelang esok.

Pertemuan itu turut dihadiri seorang lagi peguam yang mewakili Anwar iaitu Wan Anuar Shaddat dan Timbalan Pendakwa Raya Wong Chiang Kiat.

Anwar, 63, berdepan tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. - Bernama

Tiada ulasan: