Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
REKOD...Noh (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah (kiri) memegang anugerah
MBOR.
PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan
Malaysia (Maha 2012) yang berakhir semalam disifatkan sebagai berjaya
dengan
transaksi melepasi sasaran RM200 juta.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar
berkata, sehingga 1 Disember kelmarin, transaksi jualan yang dicatatkan
adalah sebanyak RM24 juta, manakala RM160 juta lagi dijana daripada
padanan perniagaan pada sepanjang 10 hari pameran berlangsung.
Menurutnya, jumlah pengunjung juga mencatatkan peningkatan apabila
sehingga jam 1 tengah hari semalam, seramai
3.137 juta orang dicatatkan
yang seterusnya memasuki Malaysia Book of Records (MBOR) bagi
pencapaian jumlah pengunjung paling ramai untuk pameran pertanian,
hortikultur dan agro pelancongan.
“Jumlah berkenaan melebihi sasaran tiga juta pengunjung yang
ditetapkan sebelum pameran ini berlangsung dan ia lebih tinggi
berbanding penganjuran sebelum ini iaitu sekitar 2.6 juta,” katanya
selepas majlis penutup Maha 2012 di Serdang, semalam.
Menurutnya, secara keseluruhan Maha 2012 juga mendapat maklum balas
positif di kalangan pengunjung khususnya selepas beberapa penambahbaikan
yang dilakukan penganjur.
“Tahun ini, kebanyakan pengunjung
berpuas hati dengan persiapan dan kemudahan yang disediakan untuk
pengunjung dengan rata-rata memberikan komen positif.
“Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk
penganjuran akan datang khususnya dari aspek
aliran trafik dan kemudahan
pengangkutan,” katanya. Noh berkata, pihaknya akan menjadikan Taman
Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) sebagai tapak tetap bagi
penganjuran Maha dan merancang untuk menjadikan lokasi berkenaan sebagai
tempat tarikan pelancong.
“Selepas penganjuran Maha 2010,
kami memperoleh peruntukan sehingga
RM70 juta untuk menaik taraf kawasan
Maeps dan dengan jumlah yang diperoleh itu kami akan pastikan lokasi
ini terus mendapat perhatian khususnya di kalangan penggemar dan
usahawan pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, Noh berkata, pihaknya akan membawa cadangan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai jumlah pinjaman mikro kredit
yang ditawarkan kepada golongan petani ke Kabinet.
“Perdana
Menteri ada mencadangkan supaya pinjaman yang ditawarkan Agro Bank,
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun)
untuk golongan ini dinaikkan ke RM100,000 dan kami akan akan
mengusulkan perkara ini ke kabinet untuk kelulusan,” katanya.