Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

21.5.14

Piala Thomas: Pasukan M'sia juarai kumpulan C

Malaysia mengambil selangkah lagi untuk menepati sasaran ke separuh akhir Piala Thomas dengan mengelak pasukan pilihan seperti China pada suku akhir selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk menjuarai Kumpulan C di New Delhi semalam.
  
Selain Malaysia dan Korea Selatan, pasukan yang mara ke suku akhir ialah Indonesia dan Thailand dari Kumpulan A, Jepun dan Denmark (Kumpulan B) serta juara bertahan China dan Perancis dari Kumpulan D.
  
Dalam perlawanan akhir kumpulan, Datuk Lee Chong Wei menyumbang mata pertama dengan menewaskan Son Wan Ho 21-17, 21-17 sebelum Korea Selatan menyamakan kedudukan menerusi acara beregu pertama.
  
Beregu negara Tan Boon Heong/Hoon Thien How kalah kepada pasangan Yoo Yeon Seong/Lee Yong Dae dalam straight sets 19-21 dan 19-21.
  
Pemain perseorangan kedua negara Chong Wei Feng meletakkan Malaysia di hadapan apabila mengalahkan Lee Dong Keun 19-21, 21-17 dan 21-14 manakala beregu kedua negara Tan Wee Kiong/Goh V Shim mengesahkan kemenangan dengan mengalahkan Kim Sa Rang/Kim Ki Jung 21-17 dn 21-19.
  
Selepas memperoleh mata kemenangan, Malaysia mengambil mudah apabila perseorangan ketiga negara Goh Soon Huat kalah kepada Soo Hwang Jong 21-23 dan 15-21.
  
"Kami akan melakukan persediaan untuk menghadapi mana-mana pasukan yang diundi selepas ini," kata Chong Wei.
  
Undian ke suku akhir dijangka dibuat selepas semua perlawanan peringkat kumpulan selesai lewat malam tadi.
  
Mengenai semangat Liew Daren yang tidak diturunkan untuk perlawanan perseorangan ketiga selepas aksi hambar dalam pertemuan dengan India dan Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini, Chong Wei berkata: "Kami tidak menjangka beliau kalah kepada pemain Jerman. Nampaknya tahap keyakinannya menurun."
  
Bagaimanapun, pengendali pasukan akan terus memberi sokongan dan menyediakannya untuk saingan suku akhir dan separuh akhir, katanya.
  
"Saya gembira untuk menyumbang mata kemenangan untuk Malaysia. Oleh kerana kami tidak akan bertemu dengan pasukan pilihan utama pada suku akhir maka mudah untuk mencapai sasaran ke separuh akhir," kata Goh V Shem.
  
Sementara itu, dalam Piala Uber, Malaysia, yang tersingkir daripada saingan suku akhir selepas kalah kepada Denmark dan Jepun dalam Kumpulan Z, akhirnya mencatatkan kemenangan sulung dengan menumpaskan Jerman 5-0 untuk menduduki tangga ketiga dalam kumpulan.
  
"Saya gembira dengan prestasi pemain hari ini kerana sasaran kami adalah untuk menewaskan Jerman. Kami sudah pasti kecewa kerana gagal menepati sasaran ke suku akhir," kata jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng.
  
Beliau berkata masa depan skuad wanita negara memang menggalakkan tetapi memerlukan lebih banyak pendedahan seperti Korea Selatan.
  
Sementara itu, biarpun Malaysia gagal ke suku akhir Piala Uber tetapi pemain perseorangan utama negara Tee Jing Yi mencapai kemenangan manis apabila memenangi kesemua ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.
  
Walaupun skuad wanita Malaysia turun sebagai pasukan bukan pilihan tetapi pencapaian Jing Yi adalah konsisten dan patut diberi pujian.
  
"Saya amat gembira dan sekarang saya akan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang," katanya kepada wartawan selepas kemenangan sulung 5-0 ke atas Jerman pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi.

Jing Yi menang semua ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dengan straight set.
  
Beliau menumpaskan pemain Denmark Line Kjaersfeldt 21-17, 22-20 dalam perlawanan pertama, menundukkan pemain Jepun Sayaka Takahashi 22-20, 21-19 dan menumpaskan Karin Schnaase dari Jerman 21-13, 21-18 di peringkat kumpulan.

Lewat tahun lepas, Jing Yi menarik diri daripada pasukan kebangsaan kerana berpendapat beliau tidak lagi berupaya menyumbang kepada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau dipanggil kembali bagi menghadapi Piala Uber.
  
Jing Yi turun sebagai pemain perseorangan pertama bagi pasukan Malaysia.
  
"Ia seperti berjuang bagi negara," katanya ketika ditanya apakah yang mendorong beliau untuk kembali mewakili skuad kebangsaan.
  
Sokongan dan galakan daripada para jurulatih juga tidak kurang faktor yang menyumbang bagi kejayaannya, kata beliau.
  
Katanya, beliau berpendapat tahap permainannya sekarang lebih matang daripada sebelum beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
  
Jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng berkata Jing Yi mempamerkan aksi yang lebih baik dalam strategi pertahanan dan perancangan.
  
Beliau mampu menundukkan pemain Jepun, iaitu pencabar yang lebih kuat, katanya.
  
"Sepanjang perlawanan, saya menguasai perlawanan dan mendahului lawan," kata Jing Yi.
  
Seterusnya, pemain ranking ke-69 dunia itu, berkata beliau akan membuat persiapan bagi menghadapi Super Siri Indonesia dan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Julai ini.
  
"Saya menyasarkan untuk meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel," kanya.

- Bernama

13.2.14

David & Victoria Beckham Bakal Ke Malaysia

beckham
Pasangan selebriti terkenal dunia, David dan Victoria Beckham dijangka akan menjejakkan kaki ke Malaysia pada bulan Mac ini sempena penganjuran Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014. 
Majlis anugerah berprestij yang mendapat jolokan 'Oscar dunia sukan' ini akan diadakan pada 26 Mac bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Selain kehadiran Beckham, selebriti sukan lain yang dijangka akan memeriahkan acara itu adalah Usain Bolt, Roger Federer, Alex Ferguson, Lewis Hamilton, Serena Williams dan Zinedine Zidan

Bola sepak dan sumpah al-Quran


NAMPAKNYA bola sepak kita sudah terikut-ikut macam politik, panas tidak tentu fasal. Kalau tercetus rasa tidak puas hati, ada pihak yang terlalu emosional, dan mengeluarkan kenyataan berapi-rapi, macamlah bola yang sebiji itu segala-galanya.

Kini cara baharu untuk menyelesaikan masalah di padang tidak lagi merujuk kepada pengadil, tetapi melakukan acara bersumpah dengan al-Quran. Itulah yang terjadi di Kuala Terengganu tiga hari lalu.

Penolong jurulatih pasukan T-Team, Azlan Johar dan pemain tengahnya Khairan Izuan Razali, bersumpah dengan al-Quran, di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Seperti yang dilaporkan media, MB sendiri yang beria-ia meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah menggunakan Kitab Suci. “Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan,” katanya.

Isunya ialah insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas, sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan pantai timur itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium berkenaan.

Pasukan T-Team berpendirian berlaku kekasaran dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan. Tetapi seorang pemainnya, Irfan Abd Ghani, mengeluarkan kenyataan di Johor, mendakwa tidak nampak sebarang insiden dalam terowong. Maka cara terbaik untuk menentukan kebenaran dalam isu ini ialah bersumpah dengan al-Quran.

Pada hemat saya, biarlah orang politik sahaja yang bersumpah al-Quran, itu pun jika benar-benar perlu. Saiful Bukhari pernah bersumpah seperti ini berhubung isu liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sampai kini kes belum selesai.

Terengganu memecah rekod Malaysia sebagai negeri pertama melakukan sumpah seperti ini dalam isu bola sepak negara. Tetapi apakah itu perlu? Tercemar sangatkah maruah diri sehingga mengangkat Kitab Suci?

Bukan niat saya merendah dan memperkecilkan T-Team. Mereka memang ada hak menuntut kebenaran dan keadilan. Tetapi bersumpah al-Quran bukan satu-satunya cara menebus maruah.

Ini cara orang politik. Janganlah hubaya-hubaya politik dibawa dalam bola sepak.

Lagi pun ada banyak lagi isu besar yang lebih mencemarkan bukan sahaja maruah diri tetapi maruah negeri. Insiden terowong di Larkin itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan insiden keruntuhan demi keruntuhan yang terjadi di negeri penyu.

Bagi kebanyakan orang, gelaran ‘Terengganu Darul Runtuh’ tentu sekali lebih mengaibkan lagi menjatuhkan maruah.

Tambahan pula keruntuhan yang tidak mengira waktu dan cuaca itu sering dikaitkan dengan kepincangan dan penyelewengan. Apa sangatlah insiden bola berbanding kemelut stadium gah di Gong Badak yang dua kali runtuh!

Biarlah Terengganu memulakan, tetapi harap-harap sumpah al-Quran tidak menjadi trend bola sepak. Sumpah seperti itu lebih menonjolkan keegoan, tetapi belum tentu dapat menamatkan kemelut yang melanda bola sepak kita sejak sekian lama.

Apa sudahnya bola sepak negara sekiranya acara sumpah seperti itu kerap dilakukan setiap kali berlaku rasa tidak puas hati?

Saya tidak fikir sumpah dapat menghapuskan gejala kronik yang melanda dunia bola kita, terutama rasuah bola, judi bola, skandal bola dan seribu satu kepincangan pengurusan.

Badan induk bola @ FAM dan persatuan-persatuan gabungan setiap negeri sering bertelagah dan berlawan secara terbuka.

Ada ketikanya bercakaran berebut jawatan. Masa, tenaga, idea dan wang ringgit yang sepatutnya ditumpukan untuk memantapkan prestasi bola sepak, lebih banyak disia-siakan untuk menyelesaikan krisis dalam persatuan.

Pengendali dan pegawai badan-badan bola sepak kita terlalu banyak bercakap, berteori dan berfalsafah. Tetapi kesan terhadap pembangunan sukan popular itu tidak seberapa, malah menyedihkan setiap tahun. Hakikatnya ialah pasukan bola sepak kita adalah antara yang tercorot dalam carta dunia.

Sesetengah pihak berpendapat, bola sepak kita diterajui dan didalangi orang-orang politik – juga pihak istana – yang kurang ilmu atau tidak tahu langsung mengenai bola sepak.

Tanpa prejudis, masanya memang sudah tiba untuk melakukan transformasi pengurusan bola sepak dengan menukar pengendali dan peneraju yang ada sekarang, dan diganti dengan mereka yang betul-betul profesional.

2.2.14

Chong Wei terkejut, KJ kata jangan sentuh

Pemain badminton dunia Datuk Lee Chong Wei terkejut ketika diajukan soalan tentang spekulasi beliau sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau langsung tidak mengetahui cadangan agar beliau menukar haluan ke arena politik, lapor Utusan Online.

"Saya tidak tahu apa-apa dan tidak pernah dimaklumkan pula tentang cadangan untuk meletakkan saya sebagai calon di kawasan tersebut," beliau dipetik sebagai berkata kepada harian itu.

Lee juga dilapor juga menolak memberikan sebarang komen tentang kesediaannya bertanding di kawasan tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Beliau dilaporkan menulis di laman mikro Twitternya, Lee "harta" negara dan tidak boleh disentuh untuk tujuan pilihan raya kecil Kajang.

T'ganu minta FAM siasat insiden Piala FA


Terengganu menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyiasat insiden perlawanan pusingan kedua antara T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Baharu semalam.
  
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata FAM perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung punca pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua.
  
"Sememangnya saya amat kesal dengan kejadian yang menimpa pasukan berstatus kelab ini sehinggakan pemain serta jurulatih kecergasan kami pun kena dipukul di tempat lawan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu hari ini.
  
Wan Ahmad Nizam meminta FAM menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu dengan segera.
  
Dalam laporan akhbar hari ini, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin malam tadi tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.

Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.
  
Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 pada separuh masa.
  
Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata beliau telah mengarahkan pemain serta pengurusan T-Team untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
  
Beliau berkata pihaknya juga memohon bahagian pengurusan tertinggi T-Team mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu serta mengarahkan mangsa membuat pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu ketua jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah menggesa FAM supaya memindahkan perlawanan ulangan itu ke gelanggang berkecuali bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
  
Beliau yang kesal dengan insiden bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan ia menjadi lebih keruh dan menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menyiasat mengenai insiden di Larkin itu.
  
"Saya juga perlu melihat dahulu kecederaan para pemain dan pegawai pasukan (T-Team) sebelum dapat membuat ulasan lanjut, namun adalah lebih elok sekiranya FAM sendiri yang menyiasat mengenai insiden itu," katanya.
  
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya dijangka menerima laporan perlawanan itu selewat-lewatnya esok daripada komisioner perlawanan, Zainal Mukri sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya.  
  
Hamidin berkata, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah akan mengadakan mesyuarat khas, Khamis ini, bagi membincangkan insiden berkenaan.
  
"Kita akan turut memanggil komisioner dan pengadil perlawanan (Lismotia Mohem Mohd Tisan‎) dalam mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.
  
"Jadi, saya harap para media dapat bersabar sebelum keputusan muktamad diumumkan oleh FAM pada Khamis ini," kata Hamidin yang turut kesal dengan insiden tersebut.
 
-Bernama

Media diugut rakam insiden gaduh JDT, T-Team

Seorang petugas media yang merakamkan insiden pergaduhan pegawai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin Johor malam semalam, diugut sekiranya beliau tidak menghentikan rakamannya.

Astro Arena malam semalam menyiarkan satu video yang mana seorang lelaki menjerit: “Pergi belakang! Pergi belakang! Kalau tak nak kamera pecah pergi belakang!".

Klip video berdurasi 65 saat yang dimuatnaikkan oleh pengguna maya di laman Facebook Media Soccer News menunjukkan ugutan itu dihamburkan selepas kamera menggerakkan lensa ke arah pergaduhan yang hanya berlaku beberapa saat.

Sebelum pergaduhan tercetus, kamera menunjukkan seorang lelaki berjambang berlari ke kiri dan keluar daripada bingkai lensa kamera.

Kamera itu kemudiannya turut menggerakkan ke kiri bagi merakam kekecohan dan pergaduhan itu tetapi tidak jelas siapa yang mengasari siapa.

Tiba-tiba kemudiannya lensa kamera bergerak ke kanan menunjukkan lelaki berjambang itu beredar dengan dikelilingi beberapa lelaki lain.

8.7.13

Daniel, Esmelda dinobat olahragawan, olahragawati SUKMA


10:27AM Jul 8 2013  
Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 Kuala Lumpur dikuasai atlet gimnastik artistik dengan Danniel Iskandar Richard yang mewakili Selangor dinamakan Olahragawan dan atlet Sarawak Esmelda Arecia Menti Alfred Geling sebagai Olahragawati.

Danniel Iskandar, 19, meraih tiga pingat emas menerusi acara individu lelaki, berpasukan lelaki dan kekuda berpelana lelaki serta dua pingat perak daripada acara melombol dan palang tunggal.

Atlet elit dari skuad gimnastik kebangsaan itu berkata tidak terlintas di fikirannya untuk meraih penghormatan tersebut kerana ramai atlet yang hebat turut beraksi pada Sukma kali ini.

"Saya juga rasa bangga kerana dapat membantu kontinjen Selangor menjadi juara keseluruhan pada tahun ini dan ianya bukan satu perkara mudah bagi saya kerana terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Atlet yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu berkata kejayaan berkenaan cukup bermakna buat dirinya kerana ini adalah penyertaan terakhirnya dalam Sukma.

"Kejayaan hari ini bukan milik saya seorang sebaliknya menjadi milik bersama ibu bapa, rakan-rakan serta penyokong kontinjen Selangor yang telah banyak memberi semangat serta dorongan kepada saya selama ini," katanya.

Danniel Iskandar berkata tumpuannya selepas ini ialah untuk terus berlatih secara gigih sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Singapura pada 2015.

Pencapaian terbaik Danniel Iskandar sebelum ini ialah memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukma ke-15 edisi Pahang 2012.

Sementara itu, Esmelda Arecia, 13, merangkul dua pingat emas daripada acara melombol dan batang titian selain meraih dua pingat perak (acara berpasukan wanita, palang bertingkat) dan satu gangsa daripada acara individu wanita.

Atlet dari Kuching, Sarawak itu berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan berharap mampu mengekalkan kecemerlangan pada Sukma berikutnya.

"Saya mahu terus gigih berlatih," kata gadis berturunan Iban itu.

- Bernama

29.4.13

Yob undang padah!

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Azizan Hashim 
Yob undang padah! Suasana tegang antara penyokong Perak dan Johor DT selepas perlawanan di Stadium TLDM, Lumut, malam kelmarin.
Tindakan penyokong serbu ke dalam padang jadi perhatian FAM

Kuala Lumpur: Kemenangan bergaya ke atas Johor Darul Takzim (DT) 3-0 di Stadium TLDM, Lumut malam kelmarin mungkin terpaksa dibayar dengan harga mahal oleh Perak gara-gara tindakan penyokong mereka menyerbu masuk ke dalam padang bagi meraikan gol bersama pemain import, Paolo Rangel.

Ini kerana tindakan yang boleh mengancam keselamatan itu mungkin menyebabkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikenakan denda atau larangan beraksi di depan penyokong sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kita sedang menuju era bola sepak profesional, jadi selain pengurusan liga, peminat juga perlu bersikap ke arah itu,” Datuk Taufek Abdul Razak, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak enggan mengulas kerana masih belum mendapat laporan insiden itu, sebaliknya menasihatkan penyokong jangan berterusan menghukum persatuan sendiri dengan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kelab atau negeri didenda.

Menurutnya, FAM seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan persatuan negeri dengan denda atau larangan bermain di depan penyokong, tetapi jika berlaku insiden yang boleh mengancam keselamatan, badan induk itu terpaksa bertindak tegas.

“Kita sedang menuju era bola sepak profesional, jadi selain pengurusan liga, peminat juga perlu bersikap ke arah itu,” kata Taufek ketika dihubungi semalam.

“Sekarang ini masih ada beberapa lagi kes yang belum dibicarakan, dan semalam (kelmarin) saya diberitahu ada insiden lagi dalam saingan Liga Super (penyokong Perak menyerbu masuk padang),” katanya.

Menurut Taufek antara kes yang belum dibicarakan ialah insiden pergaduhan antara pemain Selangor dan FELDA United di Stadium Shah Alam 13 April lalu serta perlawanan suku akhir Piala FA antara Sarawak dan Kelantan yang terhenti kira-kira 20 minit akibat gangguan penyokong di Stadium Negeri, Kuching. “Semua kes akan dibicarakan selepas Pilihan Raya Umum nanti.”

Tanggung akibat

Sementara itu, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kesal dengan tindakan segelintir penyokong dan mengakui pihaknya kini perlu menanggung akibat dengan tindakan liar mereka itu.

“Kami tidak menjangka insiden itu akan berlaku kerana sebelum ini penyokong Perak tidak pernah bertindak liar. Kelab penyokong perlu mengawal tingkah laku mereka supaya tidak terlalu emosional. Saya faham perasaan penyokong yang terlalu gembira, namun atas alasan apapun mereka tidak sepatutnya menyerbu masuk ke dalam padang,” katanya.

Katanya, PAFA sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengadakan kawalan di sekeliling stadium semasa perlawanan itu tetapi tidak mampu menghalang tindakan penyokong.

“Kami kini hanya menunggu surat dari FAM mengenai insiden itu dan terpaksa akur dengan keputusan badan induk itu,” katanya.

Dalam kejadian itu, segelintir penyokong di penjuru kiri bertentangan dengan tempat duduk utama stadium melompat pagar paras pinggang dan menyerbu masuk ke dalam padang kerana terlalu teruja dengan jaringan kedua Rangel pada minit ke-66.

Sebelum itu, pemain import baru berkenaan turut meledak pada minit 12 dan 88.

4.4.13

Najib: Saya telah sahut seruan inginkan kebebasan


11:22AM Apr 5 2013  
Teras transformasi negara adalah perpaduan nasional tanpa keciciran mana-mana masyarakat pelbagai kaum di saat negara menuju ke arah menjadi negara maju, kata Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Perdana Menteri menerusi blog 1Malaysia berkata beliau percaya prinsip 1Malaysia terhasil dengan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat sehinggalah ke hari ini.

"Daripada perumahan, penjagaan kesihatan hinggalah ke makanan dan pendidikan, anda boleh melihat begitu banyak program bertemakan 1Malaysia yang menyediakan perkhidmatan yang berpatutan dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata Program Transformasi Ekonomi telah membawa hasil yang jelas sehingga melonjakkan Malaysia ketika banyak negara lain masih terbelenggu dengan bebanan hutang dan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.

"Mengenai kemajuan ekonomi, sewaktu saya mula memegang jawatan ini, ekonomi global sedang berada dalam keadaan tidak menentu. Untuk melindungi Malaysia daripada 'bencana' ekonomi ini, kita terpaksa mengambil langkah-langkah yang berani dan tegas untuk terus menjana ekonomi kita," katanya.

Najib berkata ekonomi negara telah berkembang pada kadar purata sebanyak 5.6 peratus serta membuka banyak peluang pekerjaan serta memberi kemakmuran kepada rakyat.

Menyentuh mengenai transformasi politik, sejak tahun 2009, Najib berkata beliau telah menyahut seruan rakyat yang inginkan lebih banyak kebebasan dengan memperkenalkan pakej reformasi politik yang telah mencatatkan peningkatan terbesar dalam sejarah kebebasan awam negara sejak merdeka.

"Ini termasuklah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, memberikan kelonggaran terhadap penyertaan pelajar dalam politik, memerdekakan undang-undang berkenaan media dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman.

"Saya juga sedang melihat untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih sesuai untuk zaman kita kini," katanya.

Mengenai aspek global, Najib berkata amat penting buat Malaysia untuk mengekalkan hubungan yang erat dengan sekutu dan jiran-jirannya dan bertindak sebagai pengaruh yang positif di persada dunia.

"Dalam hal ini, kita telah bekerja keras dan dengan niat yang mulia, membantu menggalakkan keamanan yang berkekalan di kawasan-kawasan yang bermasalah di rantau kita ini.

"Melalui Pergerakan Kesederhanaan Global, kita juga telah cuba untuk merapatkan jurang perbezaan antara Timur dan Barat serta menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama keamanan. Pergerakan Kesederhaan Global telah mendapat pujian daripada ramai pemimpin dunia, termasuklah Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron," katanya.

Najib berkata kerajaan dapat mendengar suara hati rakyat serta berkongsi maklumat menerusi saluran dalam talian (online) yang baharu iaitu memudahkan komunikasi antara rakyat dengan kerajaan seperti melalui Facebook dan Twitter yang membuktikan penglibatan kerajaan dan rakyat.

"Saya bukan sahaja telah berpeluang untuk berkongsi maklumat malah dapat juga mendengar suara hati rakyat. Apa yang nyata, era ‘Kerajaan tahu segalanya' kini telah berakhir," katanya.

Najib berkata meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai, namun masih banyak lagi yang perlu diusahakan.

Oleh itu, beliau menyeru sokongan rakyat bersama-sama dengan kerajaan bergerak ke hadapan, dan menikmati empat tahun lagi yang penuh dengan kemajuan dan kemakmuran.

Dalam pada itu Najib turut menyifatkan semalam merupakan hari yang istimewa buat beliau berikutan genap empat tahun menjadi Perdana Menteri di sebuah negara yang aman dan sedang membangun dari segi saiz serta ekonominya.

Sementara itu Najib menerusi laman twitternya menyeru rakyat mendapatkan 'Kit Tindakan' bermula hari ini sebagai tanda sokongan kepimpinan beliau.

"Tunjukkan sokongan anda kepada saya dengan mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini di http://www.1Malaysia.com.my/action/. #JomBertindak demi Malaysia," katanya.

Kit Tindakan mengandungi buku panduan mengundi dengan maklumat ringkas dan mudah serta memberi panduan bagi seorang pengundi perlu menyiapkan diri untuk menunaikan hak mereka dengan cara yang teratur.

Buku tersebut mengandungi 10 tajuk berkaitan pengundian termasuk syarat kelayakan mengundi serta cara menyemak status daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

- Bernama

4.12.12

Malaysia miliki peluang


BARISAN pemain yang akan menggalas cabaran negara pada pusingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012.


HARIMAU Malaya masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2012 biarpun Thailand menjadi penghalang paling besar buat skuad negara mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Bagaiamanapun, ranjau yang terpaksa dilalui sudah pastinya tidak mudah berikutan Thailand dilihat cukup konsisten selepas berjaya menjadi juara peringkat kumpulan selain mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, perlawanan separuh akhir kali ini secara keseluruhannya adalah berlainan berbanding perlawanan pada peringkat kumpulan menentang Indonesia dan Singapura.

“Thailand bukan Indonesia, bukan Singapura. Tahap permainan mereka jauh lebih baik daripada pasukan yang berada dalam kumpulan kita. Mereka juara kumpulan, kita ada peluang yang baik tetapi sudah pasti laluannya bukan mudah.

“Saya ingat peluang kita adalah cerah, cuma kebimbangan ialah kita bermain di laman sendiri terlebih dulu. Bila macam ini, kita kena main habis-habisan untuk mendapatkan keputusan yang baik dan selesa,” katanya.
Tambahnya, pasukan kebangsaan mampu melakukan kejutan tetapi perlu mendapat margin gol yang selesa terutama apabila beraksi di laman sendiri kerana cabaran ketika beraksi di gelanggang lawan sudah tentunya sukar.

Namun, beliau tidak mahu pemain berasa terlalu yakin kerana ia boleh memakan diri sendiri.

“Semua pemain lebih tenang menahan asakan selain berusaha memburu gol dan tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.

“Jangan kita bayangkan mudah untuk kita tewaskan mereka (Thailand) dengan margin yang selesa walaupun main di laman sendiri. Kalau kita tidak menyusun strategi yang betul keputusan sebaliknya mungkin berlaku.

“Macam saya tengok baru-baru ini, jentera tengah sudah diperbaiki dan berjaya mengawal permainan. Apa yang penting, pemain hendaklah memberi komitmen seratus peratus. Kesemuanya bergantung kepada pemain dan taktikal jurulatih.

“Secara jujurnya, Thailand tidak sama corak permainan dengan Indonesia kerana mereka cukup seimbang di semua posisi. Saya lihat Indonesia tempoh hari cuba bermain laju tetapi rentak mereka terjejas kerana hari hujan dan padang pula licin. Kalau padang kering mungkin kita akan tengok corak permainan yang berbeza daripada Indonesia,” ujarnya.

Jelasnya, Thailand bermain dengan lebih teratur terutama apabila mereka dilihat kerap menggunakan hantaran pendek dan skuad kebangsaan berada dalam bahaya terutama pada aksi separuh masa kedua sekiranya tidak mempunyai keupayaan dari segi mental dan fizikal untuk bertahan.

Untuk rekod, Harimau Malaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas muncul naib juara kumpulan di belakang Singapura.

Meskipun berkongsi enam mata dengan Singapura tetapi skuad negara dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Pada aksi peringkat kumpulan, Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Singapura sebelum menewaskan Laos 4-1 dan Indonesia 2-0.

Safee milik Johor

SAFEE (kanan) menyerahkan dokumen kontrak kepada presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas menandatanganinya di Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus berbelanja besar dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Semalam, Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim mengesahkan telah mendapat surat pelepasan daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema Indonesia bagi mendapatkan khidmat penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali secara pinjaman musim depan.

Suhairi berkata, surat yang ditandatangani oleh Pengarah Arema, Ruddy Widodo menyatakan, Safee akan menyarung jersi Johor selama setahun bermula dari 1 Disember 2012 hingga 30 November 2013.
“Safee sepatutnya hadir malam ini (semalam) untuk menandatangani kontrak tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan terikat dengan peraturan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang tidak membenarkan pemain kebangsaan keluar daripada kem latihan mereka sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2012.

“Namun, kami (PBNJ) telah mendapat pelepasan daripada Arema yang membenarkan Safee beraksi bersama Johor. Saya ada bukti dan saya boleh tunjuk kepada umum.

“Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, Safee akan beraksi bersama Johor. Kami memang bersungguh-sungguh untuk membawa masuk Safee dan mahu menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua hari sebab tarikh tutup pendaftaran pemain akan tutup pada 6 Disember (esok),” kata Suhairi ketika ditemui pemberita di Hotel Prince Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, sidang akhbar yang dirancang PBNJ untuk majlis menandatangani kontrak Safee tidak dapat diteruskan kerana pemain berusia 28 tahun itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan peraturan FAM.
Situasi itu menyaksikan Suhairi bersama Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi bagi mendapatkan tandatangan Safee.

Mengulas mengenai yuran pinjaman dan gaji Safee, Suhairi berkata: “Berhubung perkara itu, kami tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberi gambaran bahawa Safee akan mendapat gaji yang lebih baik daripada apa yang diterimanya bersama Arema.

Kosmo! difahamkan Safee ketika ini menerima gaji sebanyak RM90,000 sebulan daripada Arema dan ia memberi bayangan bahawa dia akan menerima gaji sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan bersama Johor.

Pada 1 Februari lalu, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama kelab Indonesia itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 juta. Kontrak dua tahun itu termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai kapten pasukan.

Kontrak Safee bersama Arema akan tamat pada 2014.

Sebelum ini, lima pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad telah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Johor musim depan.

Kosmo

17.11.12

Bersikap adil terhadap Mat Yo

Kota Bharu: Kerajaan negeri berharap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersikap adil terhadap Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berhasrat menyertai Johor pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

EXCO Kanan Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sebagai pemain profesional, Mat Yo harus diberi peluang bagi memastikan masa depannya sebagai pemain bola sepak lebih terjamin.
Sekiranya Mat Yo merasakan masa depannya lebih cerah di tempat lain, KAFA kena beri peluang kerana itu adalah haknya.

Mat Yo harus diberi keadilan dan sebagai kerajaan yang memayungi rakyat Kelantan, kita berharap semua pihak diberi keadilan dalam isu ini, katanya kepada BH Sukan, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar Khamis lalu mengenai KAFA dikatakan menetapkan nilai Mat Yo RM6 juta sekiranya ada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Bagaimanapun Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menegaskan pihaknya tidak meletakkan nilai setinggi itu kepada PBNJ dan pihaknya sudah membuat keputusan melepaskan Mat Yo menggunakan pendekatan lain yang munasabah.

Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berkata, dalam isu ini juga, KAFA harus diberi keadilan oleh pihak yang ingin mendapatkan khidmat Mat Yo.

13.12.11

Terkorban pada usia muda


URUTAN gambar peristiwa kemalangan melibatkan Simoncelli yang terkorban dalam perlumbaan di Litar Sepang minggu lalu.

Oleh Hafizahril Hamid

JIKA satu ketika dahulu perlumbaan melibatkan kereta dan motosikal berkuasa tinggi adalah diumpamakan untuk golongan elit sahaja. Namun berikutan peredaran zaman dan dengan bertambahnya kemampuan manusia memiliki kenderaan, perlumbaan sebegini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Tidak kira sama ada kita menyertai sesuatu perlumbaan atau pun hanya sekadar berlumba suka-suka, satu perkara yang paling ditakuti adalah kemalangan.

Apatah lagi jika ia melibatkan kemalangan maut, kita yang melihat kejadian itu pun sudah menjadi trauma untuk beberapa ketika. Bayangkan pula perasaan ahli keluarga yang terbunuh, pasti sukar untuk menerima kenyataan itu.

Melihat kepada kejadian yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad lepas yang mengorbankan pelumba yang dilihat mampu mencipta nama pada masa hadapan Marco Simoncelli, tiada siapa yang menduga bakatnya berakhir begitu sahaja.

Korban

Simoncelli, 24, terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan yang turut melibatkan pelumba, Colin Edward dan Valentino Rossi , hanya beberapa minit selepas perlumbaan MotoGP itu bermula.

Pelumba nombor 6 dunia yang berasal dari Itali itu mengalami kecederaan parah di kepala, tengkuk dan dada, yang berlaku di selekoh 11 ketika saingan baru masuk pusingan kedua.

Kemalangan itu berlaku yang dipercayai berpunca daripada kegagalan Simoncelli mengawal jenteranya dan mengakibatkan dia hilang kawalan lalu terjatuh ke litar sebelum dirempuh oleh motosikal Edwards.

18.3.10

Bekas pelakon lucah dedah mesej Tiger Woods


LOS ANGELES: Bekas pelakon filem lucah mendedahkan teks pesanan ringkas intim yang membuktikan hubungan sulit beliau dengan Tiger Woods dan menyatakan memiliki maklumat yang boleh mengaibkan bintang golf itu.

Joslyn James yang nama sebenarnya Veronica Siwik-Daniels, memaparkan lebih 100 mesej pada laman webnya yang beliau dakwa dikirim Woods.

Sebilangan mesej itu menunjukkan keinginan untuk melakukan huungan seks kasar.

Dalam satu mesej, pengirim yang beliau dakwa sebagai Woods menyatakan mahu menampar beliau dan beliau patut merayu apabila mereka bertemu kelak. James berkata, beliau dan Woods menjalin hubungan sulit selama tiga tahun dan bintang golf itu menghancurkan hati beliau apabila menamatkannya. - AP