Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.2.10

Jangan persenda, noda undang-undang: Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, hari ini mengingatkan pengamal undang-undang agar tidak mempersenda dan menodai undang-undang negara.

Baginda bertitah, sebagai pengamal undang-undang, mereka jangan sesekali hanya merujuk dan menjunjung undang-undang apabila ia menguntungkan mereka tetapi diketepikan atau disisih apabila merugikan diri.

Titah baginda, ini kerana undang-undang berperanan penting dalam memastikan kelangsungan dan kredibiliti sesebuah pemerintahan, kerajaan dan negara.

"Tahap kegemilangan dan kemuliaan saudara-saudari (lulusan undang-undang) dalam profesion perundangan dan di kaca mata masyarakat di masa hadapan bergantung kepada kebijaksanaan dan amalan disiplin saudara-saudari mulai dari sekarang," katanya ketika bertitah pada majlis Konvokesyen ke-15 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2009 di sini.

Pada majlis itu, Raja Dr Nazrin Shah menyampaikan sijil kepada 238 lulusan Sijil Amalan Guaman dari Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah, jika keadilan gagal diuruskan secara profesional dan berkesan, maka masyarakat dan negara sebenarnya mula berada diambang keruntuhan dan jenayah akan berlaku dengan lebih banyak.

"Jentera penguatkuasa undang-undang dilihat semakin kurang upaya kerana kepentingan diri mungkin telah mengatasi kepentingan profesion dan jika pun ada yang masih mengutamakan kepentingan profesion, mereka adalah kumpulan minoriti yang disisihkan daripada arus utama atau diketepikan daripada diberikan peranan utama dalam organisasi," katanya.

Baginda bertitah mekanisme tertinggi untuk melaksanakan keadilan juga menjadi semakin lemah dan tidak berdaya sehingga masyarakat menganggap bahawa mahkamah hanyalah satu pentas lakonan menyebabkan mereka hilang hormat dan kepercayaan.

"Senario demikian bukan satu cerita rekaan, ia adalah petanda dalam babak kejatuhan kebanyakan negara dunia ketiga yang akhirnya negara hancur, rakyat menderita dan pemimpin tertinggi melarikan diri malah menjadi buruan hingga menjadi orang buangan di negara luar," titah baginda.

Baginda bertitah, keadilan tidak dapat dilaksanakan dalam masyarakat mahupun negara jika undang-undang yang digubal mengandungi elemen penindasan, memberi keistimewaan kepada yang kuat menguasai yang lemah serta yang kaya menindas yang miskin.

Malah, titah baginda, ketidakadilan akan berlaku apabila jentera perundangan berjalan tempang serta boleh mengakibatkan tiang masyarakat menjadi senget dan tunggak negara akhirnya roboh.

"Kedaulatan sesebuah negara bergantung kepada kesungguhan negara mendaulatkan undang-undang yang dicerminkan secara ketegasan yang tidak sama sekali berkompromi terhadap amalan-amalan yang tidak menghormati undang-undang serta tidak bertoleransi terhadap perlakuan penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah.

"Undang-undang akan dapat didaulatkan jika semangat menegakkan keadilan dan memuliakan kebenaran dijadikan amalan dan budaya hidup," titah baginda.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah, kedaulatan undang-undang dapat dijamin selagi proses keadilan dalam mahkamah tidak dicemari oleh amalan-amalan tidak beretika yang dilakukan dari luar mahkamah untuk mempengaruhi keputusan.

Baginda bertitah, mengurus keadilan juga memerlukan peranan kolektif pelbagai pihak dan ia memerlukan persefahaman profesional serta sifat menghormati etika setiap agensi dan individu yang terbabit.

"Jika pegawai penyiasat gagal memperlihatkan kualiti kerja yang profesional, jika di peringkat pendakwaan gagal memiliki kualiti profesionalisme yang tinggi, jika di peringkat pembelaan melanggar etika profesion dan jika di peringkat penghakiman mengorbankan prinsip kebenaran, maka akhirnya akan tempanglah perjalanan keadilan," titahnya. - Bernama

Tiada ulasan: