KUALA LUMPUR - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini semalam menunjukkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan berada di kondominium tempat dia didakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008.
Rakaman CCTV milik Kondominium Desa Damansara itu dikemukakan Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden sebagai bukti keterangan di mahkamah.
Bagaimanapun, skrin komputer di mahkamah gagal menayangkan imej Mohd. Saiful ketika dia tiba di pos pengawal kondominium tersebut.
Dalam rakaman itu, Mohd. Saiful dilihat memasuki lif di kawasan tempat letak kereta pelawat di B4 pada pukul 2.45 petang untuk ke unit 11-5-1, lokasi Anwar sedang menunggu untuk berjumpanya.
Unit kondominium itu milik rakan Anwar yang bernama Hasanudin.
Terdahulu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mengarahkan Anwar keluar dari kandang pesalah dan menghampiri skrin komputer kerana tertuduh mendakwa tidak dapat melihat imej rakaman dengan jelas.
Hakim Mohamad Zabidin kemudian mengarahkan supaya imej pada skrin itu dipegunkan untuk disahkan saksi sebagai dirinya.
Imej seorang lelaki berbaju hitam muncul ketika Mohd. Saiful keluar dari lif menuju ke unit 11-5-1 namun saksi itu berkata, dia tidak mengenali lelaki tersebut.
Rakaman CCTV kemudian menunjukkan Mohd. Saiful keluar dari kawasan kondominium sejam kemudian.
Mohd. Yusof turut mengemukakan gambar rakaman CCTV yang menunjukkan imej serupa.
Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan