|
KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari kedua semalam dengan pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberi keterangan secara tertutup di Mahkamah Tinggi di sini.
Prosiding kemudian ditangguhkan selepas selesai sesi tertutup bagi membolehkan hakim perbicaraan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah melawat unit kondominium tempat kesalahan itu didakwa berlaku.
Perbicaraan bersambung semula pada pukul 2.45 petang dengan prosiding mahkamah dijalankan secara terbuka.
Pada prosiding pagi, Anwar memasuki mahkamah pada pukul 10.02 pagi dan perbicaraan bermula pada pukul 10.30 pagi.
Seorang daripada peguam Anwar, Ramkarpal Singh Deo berkata, Mohd. Saiful masih memberikan keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan.
Mohd. Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama pendakwaan yang memberi keterangan apabila kes itu bermula kelmarin di hadapan Hakim Mohamad Zabidin.
Sesi keterangan secara tertutup berlangsung selama 30 minit sebelum hakim, pihak pendakwaan, pembelaan serta Anwar dan Mohd. Saiful bersama peguam pemerhatinya, Zambri Idrus meninggalkan mahkamah pada pukul 11.43 pagi untuk melawat kondominium yang didakwa sebagai tempat kejadian liwat terhadap Mohd. Saiful.
Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan pukul 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan dijalankan selepas 18 bulan Anwar dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan itu.
Peguam Karpal Singh kelmarin memohon agar keterangan Mohd. Saiful didengar secara tertutup kerana saksi itu memberi keterangan berhubung dakwaan perlakuan liwat semasa pemeriksaan utama.
Dalam keterangannya, Mohd. Saiful memberitahu mahkamah bahawa Anwar mahu mengadakan hubungan seks dengannya apabila dia pergi ke kondominium itu untuk menyerahkan beberapa dokumen kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan