Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com
Memaparkan catatan dengan label Delima Merkah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Delima Merkah. Papar semua catatan

12.2.14

AirAsia: Sejuklah di udara kalau telanjang

Kontroversi hidangan “nasi lemak telanjang” Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditimbulkan tukang masak terkenal Chef Wan kini dimanfaatkan oleh pesaingnya AirAsia.

Syarikat penerbangan tambang murah itu kini mengambil kesempatan mempromosikan makanan popular rakyat Malaysia itu dengan caranya sendiri.

Ia menggunakan slogan “Nasi lemak kami LENGKAP!” untuk iklannya.

AirAsia mengetengahkan kombo sarapan berupa kombinasi nasi, sambal, rendang ayam, ikan bilis dan kacang goreng serta telur rebus.

Malah, secara sinis, dimuatkan ayat bertulis cogan kata: “Sejuklah di udara kalau telanjang.”

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail pada 29 Januari lalu, yang mengambil penerbangan kelas ekonomi ke Bangkok, kesal dengan nasi lemak yang dihidangkan padanya.

Beliau memuat naik nasi lemak dengan telur rebus separuh dan sambal, tampa potongan timun, kacang dan ikan bilis seperti kebiasaan, ke laman perkongsian gambar Instagram.

Beliau juga menulis, penerbangan negara seperti tidak mengambil peduli terhadap sarapan rakyat Malaysia yang diagung-agungkan ke seluruh dunia.

MAS pula dalam kenyataannya berterima kasih kepada komen Chef Wan dan berjanji akan terus mempertingkat mutu makanan mereka.

26.12.13

Keluarga Hindu balut keranda dengan bendera PAS


 
Jarang-jarang berlaku, sebuah keluarga India beragama Hindu memilih membalut keranda ahli keluarganya yang meninggal dunia dengan bendera PAS.

Tiga keping gambar berkaitan dimuatkan dalam akaun Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Meru Dr Rani Osman semalam.

Ia memaparkan mendiang Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kota Raja, Letchumany Maniam diusung dalam keranda yang berbalut bendera parti Islam itu.

Ia mendapat komen menggalakkan daripada penggguna laman sosial itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohd Sany Hamzan memberitahu Malaysiakini, tindakan ahli keluarga mendiang bertujuan menggambarkannya mendian sebagai pejuang PAS sejati walaupun beragama Hindu.

Tambahnya, ia sekali gus, menunjukkan penerimaan yang cukup baik dari kalangan bangsa lain terhadap parti itu daripada kalangan bukan Melayu.

"Apa yang terbukti perjuangan apabila Ketua Wanita DHPP itu dibalut dengan bendera PAS itu menunjukkan beliau seorang pejuang PAS sejati walaupun duduk dalam PAS sebagai DHPP.

"Ia menunjukkan PAS sudah boleh diterima bukan Islam,” katanya lagi.

Ditanya sama ada tindakan itu bertentangan dengan perjuangan PAS, Sany menegaskan, ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syiar Islam dan tidak membawa kesan buruk.

"Tiada sebarang tanggapan negatif pada saya dan PAS sendiri,” katanya.

30.11.13

Sikap Anjing

M S Ibrahim Al-Malbar:

"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami turunkan Kitab mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan mereka)". (Al-Baqarah:146)

Ahli kitab atau golongan ulamak daripada Yahudi dan Nasrani tahu kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. tetapi mereka tetap menentang Nabi s.a.w. dan mereka kekal dalam parti sekular ketika itu demi untuk mendapatkan kedudukan di sisi pemerintah.

Pada hari ini ramai daripada golongan agama berada dalam parti sekular umno dan Barisan Nasional yang menolak Islam dan menghina hukum Allah dan Sunnah Nabi s.a.w., keadaan ini terjadi kerana golongan agama yang masuk umno itu tidak mengkaji dasar umno dan mereka jahil bahawa sekular itu ditolak oleh Islam dan kemungkinan juga mereka bersetuju dengan dasar sekular yang diperjuangkan oleh umno.

Umno jelas memperjuangkan dasar sekular apa bila memisahkan kehidupan dan khususnya politik dengan agama, bagi umno segala kerjabuat dalam politik termasuk penipuan dalam pilihanraya tiada kena-mengena dengan agama dan tidak akan disoal oleh Allah di akhirat kelak maka itu umno seperti ‘ membujur lalu melintang patah’, dalam kerja politik dan memerintah.

Umno berjuang atas dasar kebangsaan dengan berukunkan sekular, umno menerima semua asas perlembagaan persekutuan sebagai pegangan politik umno, dasar sekular diteruskan oleh umno melalui perkara 128 fasal (1) yang meletakkan mahkamah syariah di bawah bidangkuasa mahkamah Agung yang menjadi institusi kehakiman tertinggi bagi memastikan segala enakmen majlis agama Islam negeri2 tidak mengatasi maksud perlembagaan sekular itu.

Perkara 4 fasal (1) menyatakan perlembagaan Malaysia adalah undang2 tertinggi persekutuan dan apa2 undang2 yang diluluskan selepas hari merdeka yang bercanggah dengan perlembagaan adalah terbatal.

Seminar Dakwah Antarabangsa yang diadakan di Madinah pada 17 Safar 1397H/17 Februari 1977M telah mengambil ketetapan antaranya:-

“Bahawa sekularisme adalah ajaran bukan Islam dan bertentangan dengan Islam”

“Orang yang memisahkan Agama Islam dari politik itu adalah orang yang sesat lagi menyesatkan” (Dr Yusof Al-Qardhawi – Al-Dakwah Soutul Hak Wal Hirriyyah bil..

Umno/Barisan Nasional adalah penghalang kepada pelaksanaan hukum2 Allah di negara ini dan golongan agama yang masuk umno telah menyebabkan umat Islam menjadi keliru samada umno itu sesat atau tidak, maka golongan agama ini telah menjadi sebab kepada masuknya Melayu Islam ke dalam umno dan menyokong Barisan Nasional, maka golongan agama yang masuk umno adalah umpama anj*** dan mereka adalah antara penghalang terlaksananya hukum Allah, firman Allah:-

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan darjatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti ANJING, jika engkau menghalaunya ia menjelirkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menjelirkan lidahnya termengah-mengah, demikian itulah perumpamaan orang2 yang mendustakan ayat-ayat Kami, maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir” (Al-`Araf 176)

Golongan agama yang masuk umno adalah seperti anj*** kerana bersama umno/BN yang tolak Islam dan mereka juga bersama umno/BN telah menentang Allah, sabda Nabi s.a.w.:-

“Barangsiapa yang dengan syafaatnya (kuasa atau kerananya) terlaksana hukum selain hukum Allah maka dia telah menentang Allah…..” (Riwayat Abu Daud).

Umno/BN adalah parti sesat lagi kafir maka bersama umno/BN adalah haram. Tumbangkan Barisan Nasional melalui pilihanraya, ia adalah JIHAD yang besar.

17.5.13

KJ: Suruh tinggal negara pandangan peribadi Zahid


 
Gesaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia meninggalkan negara ini tidak mewakili pendirian kerajaan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Itu adalah pandangan peribadinya. Tidak mencerminkan pendirian kerajaan.

"Tengok juga artikel itu secara keseluruhan, beliau cuba menyampaikan bahawa kita mempunyai sistem tertentu di Malaysia. First past the post (pemenang undi terbanyak).

"Kita tidak ada sistem demokrasi langsung. Kita tidak ada sistem siapa menang undi popular, boleh bentuk kerajaan. Kita ada sistem wakil rakyat dalam demokrasi berparlimen....

"Jadi sistem itu, harapannya bahawa semua dapat menerima keputusan yang sedia ada," katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Khairy juga berharap semua pihak menerima keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Zahid semalam menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari, sama ada list system atau single transferable vote di negara republik.

Menteri dalam negeri itu menulis di Utusan Malaysia, merujuk kepada siri perhimpunan besar pembangkang di seluruh negeri yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.
 

  • Mansor Raya · Pengulas Tertinggi · Document Controller di Singapore
    Khairy lebih matang dari Zahid dalam membuat kenyataan.. Banyak kegagalan yg ditunjukkan oleh Zahid terutama isu Lahad Datu yg baru lepas.
 

22.4.13

Cantiknya bumi ciptaan Ilahi

jom ke laut

unik amat pulau ini

12.4.13

Apakah itu memang pilihan kita?


 
Beberapa orang Melayu yang kurang biasa dengan makanan Jepun memasuki sebuah restoran makanan Jepun untuk mencuba. Pelayan restoran Jepun itu datang dan memberikan menu makanan yang ada di restoran berkenaan.

Nama-nama makanan semuanya berbunyi Jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan Melayu berkenaan.

"Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan", kata pelayan.

Oleh kerana mereka tiada pengalaman merasai makanan Jepun mereka kata: "Kami mahu menu yang sedap."

Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan.

Kata mereka: "Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Sudahlah harganya pula mahal, kita tertipu!"

Pelayan menjawab: "Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan".

Pilihan yang terhad

Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih.

Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli teologi, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan.

Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide?
Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih muda terutamanya di musim pilihan raya ini.
Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera Melayu mereka tidak wujud di restoran berkenaan.

Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan.

Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadang-kala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih.
Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk.

Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah "Yukhtar Ahwan al-Syarrain" atau "Akhaf al-Dararain" iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain.

Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.

Pengetahuan 'tikam ekor'

Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor' yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan.

Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan restoran Jepun tadi jahil tentang makanan Jepun. Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan.

Oleh kerana mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap' yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu.

Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.
Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan.

Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.

Kesempatan atas kejahilan


Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia pengiklanan mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka.

Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedangkalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.

Dalam pilihan raya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih.

Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.
Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup.

Firman Allah: (maksudnya): "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya." (Surah al-Isra: 36).
Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya):

"...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab." (al-Zumar: 17-18).

Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari.

Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesatkan rakyat dari pilihan yang betul sama ada dalam pemikiran ataupun politik.

Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut: "..any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination." (57-58. Penguin Books, UK).

Penipu bukan umat Nabi Muhammad
 
Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya.

Justeru itu suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah.

Baginda pun bersabda: "Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?"

Dia menjawab: "Terkena hujan, wahai Rasulullah!"

Baginda bersabda: "Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak? Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku." (Riwayat Muslim).

Jika dilihat dalam konteks pilihan raya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahirkan yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk.

Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar.

Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi SAW.

Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama.

Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga.

Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihanraya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

14.2.13

Anak perlu dimotivasi

 Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

Beberapa bulan lalu, saya menerima satu e-mel daripada bekas pelajar perempuan yang pernah menghadiri kursus Motivasi Alihan Pelajar pada 2000. Ketika itu, pelajar berkenaan di tahun 6 dan kini berusia 23 tahun.

Ceritanya begini, dia murid yang lemah dalam pelajaran, selalunya berada dalam kelas keempat atau kelima, pemalu, tiada keyakinan diri, lemah dalam pelajaran dan malu bergaul.

Kakak dan abangnya mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM dan ini membuatkan ibu bapanya selalu membandingkannya dengan mereka.

Ini membuatkan emosinya terguris dan akibatnya ketika di tingkatan lima, dia ponteng kelas, merokok, menipu dan lari daripada kelas.

Lantaran itu, ibu bapanya memasukkan dia dalam program motivasi yang saya anjurkan. Semasa dalam motivasi, kesedaran mula timbul, semangat belajar membuak-buak.

Dia mahu mendapat semua A dalam SPM. Namun apabila pulang semula ke rumah, dia berdepan ibu bapa dan rakan-rakan yang tetap sama.

Ini membuat dia kecewa dan perubahan diri mampu bertahan sekadar seminggu. Ditambah pula apabila gurunya melabelkan dia bodoh dan tiada harapan malah ibunya ada memberitahu emak saudara-nya, dia anak paling bodoh dalam adik beradiknya.

Akibatnya, dia gagal cemerlang dalam SPM dan hanya mendapat 2A. Walaupun 2A, dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi awam dalam bidang sains komputer tapi ditolak kerana tidak berminat.

Seluruh keluarga memarahinya hingga bapanya sanggup melutut memujuk. Kedegilannya tidak mampu dilembutkan dan dia tetap dengan keputusannya hinggakan ibu bapa tidak bercakap dengannya.

Ketika itu, dia teringat kursus Motivasi Alihan Pelajar yang pernah dihadirinya lima tahun dulu. Dia buka balik modul dan buku diberikan dan melihat semula catatan motivasi yang pernah dicatatkan dulu.

Ketika itu, imbasan peristiwa masuk ke kursus selama dua hari kembali segar dalam ingatannya. Masih terngiang-ngiang suara lantang saya di te-linganya. Dia berdiri di depan cermin dan bercakap kuat-kuat: “Aku percaya aku boleh!” di-sebut berulang kali. Apa yang saya suruh dia lakukan dulu dilakukannya semula kali ini.

Dia teringat pesan motivasi saya: “Tidak kira sama ada mahu merangkak, berjalan atau berlari, yang penting jangan berhenti!” Dia juga teringat pesan saya agar usah lupa solat hajat dan berdoa, ketika itu masa sudah pun hampir jam empat pagi.

Lalu dia terus lakukan solat hajat dan berdoa. Ketika itu tangisan tidak mampu ditahan, dia rebah sujud, mengadu dan pasrah di hadapan Allah. Itulah doa yang paling khusyuk dalam hidupnya hingga akhirnya dia terasa kedamaian dan ketenangan.

Dengan kehendak Allah dia ditawarkan masuk ke tingkatan enam dan peluang itu tidak dilepaskannya. Sehari sebelum masuk ke tingkatan enam, sekali lagi dibukanya buku modul MAP itu.

Ternampak olehnya tulisan saya: “Work Very Hard, Work Very Hard, Work Very Hard”. Entah bagaimana, datang satu semangat luar biasa. Ketika itu dia teringat cerita saya mengenai kisah kehidupan masa lampau saya bagaimana daripada seorang anak yatim dan miskin, dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, akhirnya berjaya.

Cerita ini memberikannya inspirasi. Dibeleknya lagi buku modul MAP itu dan kali ini dia nampak kisah Abdul Halim yang kudung kedua kaki dan tangannya sejak kecil namun akhirnya masuk universiti dan keluar sebagai akauntan hingga memiliki firma perakaunan sen-diri.

Semua kisah-kisah kejayaan ini larut dalam mindanya hingga dia akhirnya nekad untuk berubah dan menjadi orang baru.

Segala-galanya berubah selepas itu. Dia baca semula strategi belajar yang diajarkan dalam kursus seperti membuat nota berkesan, peta minda, teknik memberikan tumpuan, teknik menyoal dan strategi mengulangkaji berkesan.

Akhirnya, dia berjaya dalam STPM dan sekarang berada di tahun akhir bidang perundangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kisah ini menarik kerana perubahan yang berlaku bukannya drastik yang biasa ditunjukkan pelajar lain. Sebaliknya, dengan keadaan keluarganya, sifat negatif guru dan rakan terhadapnya, keputusan peperiksaannya, semua-nya tidak menyebelahi dan menyokong kemahuannya untuk berjaya.

Di mana agaknya anak itu sekarang jika ibu bapa-nya tidak pernah mema-sukkan anak itu dalam program motivasi?

Ibu bapanya mungkin kurang cemerlang dalam menangani masalah dan kerenah anaknya namun mereka bertindak cemerlang apabila membuat keputusan berkorban sedikit wang dan mema-sukkan anaknya dalam program motivasi.

Pengorbanan yang kecil itu meninggalkan bekas yang mendalam.

Anak ini mungkin terlambat menyedari kebaikan program motivasi yang dihadirinya tapi tanpa input dan bekalan ilmu diperolehnya, pasti sukar untuk dia bangkit daripada kegagalan.

Semuanya berlaku de-ngan izin dan percaturan Allah. Tiada satu pun yang berlaku secara kebetulan. Namun, sebagai hamba Allah, kita mempunyai pilihan untuk mencorak kehidupan dan menikmati kejayaan.

Sebab itulah anak-anak perlukan kata-kata semangat, dorongan, cerita kejayaan, bimbingan dan panduan dalam hidup mereka.

Usah bimbang jika lambat nampak perubahan sebab memasukkan anak ke program motivasi adalah satu usaha.

Terus doakan mereka dan percayalah, setiap ilmu yang anak peroleh dalam program sebegini kekal dalam dadanya.

Dengan memasukkan anak-anak ke program motivasi, ibu bapa akan dapati anak-anak mereka lebih bersedia berbanding pelajar lain.

Adalah lebih mudah bagi mencipta kejayaan apabila kita ada mentor, tahu cara dan rahsianya. Ibu bapa yang banyak menyemai pasti akan banyak me-nuai. Yang banyak berkorban pasti akan menikmati saat-saat kegembiraan.

Rahsia Mengenali Watak Melalui Suara


Suara tidak dapat menggambarkan paras rupa dan kecantikan seseorang, tetapi suara dapat menggambarkan peribadi pemiliknya. Biasanya kita akan mudah percaya seseorang melalaui suara dan intonasi percakapannya. Kadangkala ramai yang mudah tergoda hanya dengan mendengar suara seseorang ditelefon. Untuk mengenali watak dan peribadi seseorag sedikit sebanyak, kenalilah melalui suaranya :

1. Suara yang nyaring atau lantang dan jelas, segala sebutannya jelas dan senang difahami : Orangnya berani dan tegas.

2. Suara yang sederhana tidak terlalu kuat, dan tidak pula berbisik : Orangnya sederhana dan boleh dipercayai pada percakapannya.

3. Suara yang kurang tertawa pada masa ia bercakap, dan tidak banyak yang dicakapkannya : Tandanya pendiriannya tegas dan suka berfikir apabila sedang membuat kerja.

4. Suara yang sekejap nyaring dan sekejap perlahan, dan apabila bercakap terburu-buru : menandakan orangnya pemarah, dan tidak tetap pendiriannya.

5. Suara yang mengejut dan lambat : Tandanya lambat berfikir. Tetapi tak sama dengan orang yang bercakap lambat tapi perlahan sedikit sebab orang yang begini sabar dan tegas.

6. Suara yang mengeluarkan percakapan dengan terburu-buru dan tidak teratur : menandakan orangnya kurang sabar dan gopoh semasa membuat kerja.

Wallahua'lam.....

17.11.12

Pasangan bercerai gaduh hal remeh

 
London: Pasangan bercerai cenderung berebut dan bertelagah mengenai benda remeh, kata satu kajian firma guaman Pannone, yang mendapati satu dalam lima perceraian membabitkan pergaduhan berhubung hak milik barangan murah.

Malah, perceraian yang menelan belanja tujuh angka juga ditangguhkan kerana pergaduhan mengenai pemilikan barangan yang tidak seberapa nilainya.

Akibat pergaduhan selalunya sukar kerana mereka akhirnya meningkatkan bayaran peguam jauh lebih tinggi daripada kos membeli barang gantian, kata peguam.

Antara kes paling aneh membabitkan seorang lelaki tidak dinamakan yang menunjukkan emosi melampau apabila kuali kegemarannya diambil bekas isterinya.

Isterinya mengambil kuali itu ketika berpindah, jadi beliau mengambil cincin pertunangan wanita itu sebagai membalas dendam. Apabila semuanya sudah selesai, mereka bertemu di lebuh raya untuk bertukar barangan, lapor akhbar Daily Mail memetik peguam lelaki berkenaan, David Milburn, sebagai berkata.

Seorang lagi anak guamnya meminta bantuan mendapatkan hak penjagaan juadah yang diambil bekas suaminya daripada rumah dapur rumah mereka.

Saya juga diarahkan oleh seorang anak guam menulis surat kepada bekas suaminya untuk mengembalikan ikan salmon salai dan sawi mahal yang diambil dari peti sejuk.

Saya menjelaskan bayaran guaman membolehkan beliau membeli lebih banyak salmon salai tetapi beliau bertegas mahu kami berbuat demikian, katanya.
Agensi

PRU13 dan ayat songsang


  • Hishamuddin Rais
  • 5:18PM Okt 27 2012
 
Dalam tulisan kali ini saya ingin membawa ayat-ayat songsang. Saya ingin membuka surah yang telah dihafal tetapi tidak difahami. Saya ingin membuka bait-bait yang sering dilaungkan tetapi tidak dihayati. Saya ingin melagukan syair kasar yang tidak akan menenteramkan jiwa. Surah dan bait-bait ini telah menjadi beban sejarah jika tidak saya dendangkan kepada orang ramai.

Surah dan ayat songsang ini ialah tentang PRU13 yang akan dijalankan tidak lama lagi. Bila PRU13 ini akan diadakan saya tidak tahu. Saya bukan nujum. Malah tarikh dan saat PRU13 ini untuk saya tidak begitu penting. Untuk saya tarikh PRU13 bukan surah yang akan membawa kita semua ke jambatan yang lurus.

Apa yang sahih, tarikh PRU13 ini hanya akan dijalankan apabila semua persediaan untuk memastikan United Malays National Organisation kembali berkuasa telah tersedia. Semua perancangan telah diatur. Logistik telah tersusun rapi. Semua yang wajib dilakukan untuk mengembalikan kuasa kepada BN telah dilakukan.

Pada hemat saya keputusan PRU13 akan menafikan Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Pada pemerhatian saya kerajaan Pakatan di Selangor akan jatuh ke tangan United Malays National Organisation. Jelas apa yang saya tulis ini adalah ayat-ayat songsang. Ayat-ayat ‘potong stim' yang ramai penyokong Pakatan tidak akan bersetuju. Bunyi surah ini amat kasar tetapi inilah hakikat realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.

Ayat-ayat songsang dalam tulisan saya ini bukan saya pungut dari mimpi. Ayat ini tidak saya terima melalui saka. Ayat-ayat ini berasaskan realpolitik yang sedang berlaku di hadapan mata saya. Ayat-ayat ini datang dari laporan demi laporan yang saya terima sebagai ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0.

Minggu lalu Dr Ong Kian Meng dari Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP) bersama 2.0 telah membentangkan laporan terakhir ke Parlimen. MERAP ialah satu badan ilmiah yang membuat kajian tentang daftar pengundi. Laporan dari MERAP ini cukup memeranjatkan. Justeru, dari laporan MERAP inilah munculnya sebahagian dari ayat-ayat songsang yang saya tuliskan di sini.

MERAP telah bertemu dengan 59,000 nama pengundi - saya ulangi lima puluh sembilan ribu - pengundi luar negara. Jumlah ini dikenal pasti kerana dalam senarai daftar nama-nama 59,000 ini menggunakan kod 71. Kod 71 ini bermakna bakal pengundi ini lahir di luar negara. Ada dari Afrika, dari Eropah, Vietnam, India dan dan dan.... Awas, Mat Indon dan Mat Bangla bukan di sini nama mereka tercatit.

Nama 59,000 pengundi dengan Kod 71 ini adalah warga negara Malaysia yang lahir di luar negara. Maka Hairan bin Takjublah kita semua. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya ramai orang Malaysia lahir di Uganda, Kenya, Sweden , Jerman, Qatar dan di Itali.

Kita juga telah membaca dan mendengar surah bagaimana nama-nama pengundi yang amat pelik lagi memelikkan telah ditemui dalam senarai pengundi. Bukit bin Batu. Harimau binti Buaya. Kijang anak lelaki Ular. Jintan binti Bawang. Dubai bin Abu Dhabi. Ini hanyalah contoh nama-nama pelik di mana si ayah atau si ibu ketika mendaftar telah hilang akal lalu menamakan bayi yang baru lahir ini Sungai binti Laut.

Untuk pembaca yang tersenyum membaca nama Ular bin Lipan pasti akan terbahak bahak ketawa apabila diberitahu ada juga pengundi yang namanya "bin". Dan menjadi lawak seram kerana nama ini bukan ditulis dengan ejaan Koma bin Noktah tetapi dengan simbol ‘.

Lebih memeranjatkan apabila MERAP membuktikan bagaimana satu alamat di Jalan Papan Klang telah didiami oleh 46 orang pengundi. Pelik bin hairan - bagaimana rumah teres ini dapat menampung 46 orang penghuni?

Kalau pun setiap bilik ini ada katil bertingkat-tingkat saya masih musykil dan ingin bertanya ada berapa buah bilik mandi dan tandas dalam rumah teres ini? Justeru saya membuat kesimpulan 46 orang penghuni rumah ini akan tidur tegak berdiri untuk memastikan ada ruang untuk kesemua 46 orang. Untuk berak mereka ke belukar.

Awas! Sikap silaturahim penghuni amat membanggakan. Dalam rumah ini ada Muthusamy, Abdullah, Lim Ah Seng, Gobala, ada Jebeng Bibik, Fatimah dan Maureen Pillay. Inilah contoh rumah Satu Malaysia.

Kes klasik sebuah rumah dengan berpuluh-puluh penghuni ini terjadi juga di Lembah Pantai. Sebuah rumah telah ditemui diduduki lebih dari 20 warga. Alhamdulillah, satu lagi contoh Malaysia yang aman permai. Tetapi apabila ditemui lot alamat rumah ini - yang tersergam ialah Plaza Tol Lebuh Raya Pantai Baru. Ada 20 pengundi tinggal dalam bilik tol.

Pembaca sering mendengar ‘tuduhan' tentang Mat Bangla, Mat Filipina dan Mat Indon telah diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Apakah ini ayat-ayat setan? Atau ini surah yang saharah? Mengikut MERAP telah ditemui 170,000 nama pengundi yang berdaftar. Kesemua 170,000 ini adalah pengundi yang dilahirkan di luar negara. Di sini kita temui Bibik, Embak, Jebeng dan Suhail. Mereka semuanya mendaftar dengan kod 71 yang mensahehkan mereka tidak dilahirkan di Malaysia.

Untuk memedaskan lagi tempoyak masam ini - banyak nama-nama ini tidak ada bin atau binti. Hanya ada satu nama sahaja. Tidak diketahui jantan betinanya. Malah banyak nama-nama ini tidak memiliki alamat rumah yang penuh. Contoh yang diberikan oleh MERAP ialah kajian terperinci di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru. Dalam kompang ini ramai Jebeng, Bibik dan Embak yang mendaftar tetapi tanpa alamat rumah dan nama jalan. Yang ditulis hanya Suharto Kampong Majidee.

Surah- surah di atas ini hanyalah sebahagian dari bukti yang telah ditemui oleh MERAP. Ini bukan lagi dongeng atau kesah Haji Desas bin Lebai Desus. Ini sahih dengan fakta dan kajian yang membuktikan ada perancangan untuk menipu dalam PRU13 ini.

Biar saya jelaskan sejelas mungkin. Untuk semua ahli dan penyokong Pakatan mereka wajib sedar bahawa yang mereka lawan bukan parti United Malays National Organisation. Mereka bukan berlawan dengan MIC, MCA atau BN. Penyokong dan bakal pengundi Pakatan bukan melawan polis, raja, Islam atau Perlembagaan Malaysia.

Apa yang dilawan oleh Pakatan ialah satu sistem pemilihan calon yang telah direka khusus untuk menipu. Melawan sistem tipu.

United Malays National Organisation dan konco-konconya telah tidak lagi mendapat sokongan pengundi. Parti ketuanan Melayu ini telah ditinggalkan oleh Melayu sendiri. Tetapi awas. Dalam PRU13 ini nanti United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Hairan?

United Malays National Organisation akan menang dalam PRU13 bukan kerana sokongan rakyat tetapi kerana sistem pemilihan ini telah diatur untuk menipu. Sistem pengundian ini telah disusun khas untuk memastikan penipuan berjalan licin tanpa disedari oleh orang ramai.

Memang betul semua pengundian akan dijalankan dengan mengikut prosedur. Memang tepat semua pengundian dijalankan mengikut peraturan. Tetapi prosedur dan peraturan ini semuanya disusun, semuanya dibuat untuk tujuan menipu.

Contohnya mesin ATM akan mengeluarkan duit sebanyak mana yang kita minta - jika kita memiliki wang simpan dalam bank. Tetapi mesin ATM yang dibuat oleh SPR ini akan memastikan jika kita meminta RM20 maka hanya RM15 akan keluar dan RM25 akan ditolak dari jumlah simpanan kita. Ini bukan satu yang mustahil. Ini penipuan. Sistem penipuanlah yang didakwa sedang disusun oleh SPR.

SPR ini bukan hanya dikepali oleh anggota ahli parti United Malays National Organisation. Sistem pengudian tipu yang disusun SPR ini telah mendapat kerjasama dengan Jabatan Pendaftran Negara, PDRM, Majlis Keselamatan Negara dan United Malays National Organisation.

Contoh penipuan yang paling senang untuk difahami ialah pengunaan dakwat kekal. Di negara-negara lain, biasanya sesudah mengundi maka si pengundi akan mencelupkan jari ke dalam botol dakwat.

Kunci ayat songsang ini ialah - SESUDAH. Tetapi dalam sistem SPR Malaysia jari tidak dicelup ke dakwat kekal tapi hanya dicalit halus. Untuk terus menipu calitan halus ini dibuat SEBELUM memangkah.

Kenapa calit dakwat sebelum memangkah? Ini untuk memastikan akan banyak undi rosak terpalit dakwat hitam. Undi rosak ini pastilah undian untuk Pakatan. Penipuan guna dakwat hitam ini diteruskan untuk apa yang dikenali sebagai pengundi awal. Sebelum ini tidak wujud pengundi awal ini. Siapa pengundi awal ini?

Pengundi awal ialah pekerja SPR di hari membuang undi. Dulu ada 100,000 - kini ditambah untuk menjadi 240,000 - saya ulangi dua ratus empat puluh ribu pengundi. Di katakan mereka akan mengundi awal tetapi tidak diketahui seawal mana? Lima hari? Tujuh hari atau tiga hari? Lagi awal mengundi lagi baik kerana tanda telah lama hilang. Mereka boleh mengundi beberapa kali lagi.

Surah dan ayat-ayat syaitan di atas membuktikan bahawa apa yang dilawan oleh Pakatan bukan parti politik. Yang dilawan ialah satu sistem pemilihan yang dibentuk dan direka khas untuk menipu. Sistem penipuan ini diwujudkan untuk memastikan United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Itu saja ayat songsang? Tidak ada lagi minggu depan.

17.7.12

Tabiat membawa untung


Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

MEMPUNYAI hobi membaca tidak mengira apa saja jenis majalah mendorong Siti Musrina Musa, 32, turut gemar mengumpul bahan bacaan itu sebagai koleksi peribadi.

Sebut saja majalah berkonsepkan Muslimah atau fesyen, Siti Musrina tidak kisah mengenai isi kandungannya asalkan dia dapat memenuhi permintaan hati untuk membaca setiap hari.


Baginya, setiap majalah mempunyai fokus tersendiri termasuk fesyen, kekeluargaan, motivasi dan Muslimah untuk menambah pengetahuan.

Bukan saja gemar membaca, malah Siti Musrina turut mempunyai hobi lain iaitu menyertai peraduan yang ditawarkan di majalah yang dibacanya.

Paling menggembirakan hatinya apabila dengan hobinya itu dia dapat melancong sehingga ke luar negara seperti Jepun dan akan ke Wonderland Jiuzhaigou, China tidak lama lagi.

“Walaupun sebelum ini tidak pernah memenangi hadiah berbentuk percutian yang banyak, saya kini berpuas hati dengan hobi ini.

“Pengalaman ke Jepun sebelum ini begitu bermakna untuk saya agar lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai kesulitan apatah lagi jika membabitkan makanan.

“Walaupun risau dengan makanan di negara orang, saya tetap teruja untuk ke China kerana ia pengalaman pertama untuk menjejakkan kaki di situ,” katanya yang ditemani suami, Noor Fairuzhizam Yakob.

Siti Musrina dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai pemenang Peraduan Wajah Aniqah 2011 anjuran MMP Communications Sdn Bhd dengan slogannya yang berjaya menarik perhatian juri.

Menggunakan slogan berbunyi ‘Wadah informasi penuh berkualiti, citra Muslimah unggul berkredibiliti, penuh elegan dengan identiti tersendiri, Aniqah hebat dimiliki’ membuatkan juri sebulat suara memilihnya sebagai pemenang peraduan itu.

Menerusi kemenangannya, Siti Musrina menerima hadiah berupa pakej percutian untuk dua orang ke China tajaan Safirgotravel, produk kecantikan dan kesihatan Go Cell International, baucar daripada butik Jumana by JubahOnline dan pakej perawatan kecantikan Putri Timur Spa.

Pemenang kedua peraduan ialah Rokiah Abdul Rahim dari Kampung Teluk Kemang, Negeri Sembilan manakala tempat ketiga disandang oleh Nor Irdawati Zainuddin dari Batu Caves, Selangor.

Peraduan Wajah Aniqah 2011 itu diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada pembaca memilih sendiri gambar kulit terbaik yang ditampilkan di dalam majalah berkenaan bermula Januari hingga Mac 2011.

Berdasarkan penyertaan itu, sebahagian besar pembaca memilih penghias kulit Oktober, pelakon Faezah Elai sebagai gambar kulit majalah terbaik.

Selain hadiah utama, majalah Aniqah turut menyampaikan tiga hamper sebagai penghargaan kepada pembaca yang kreatif menghantar penyertaan untuk peraduan itu.

Hadiah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif MMP Communications, Datuk Jamaluddin Mansor kepada pemenang peraduan di restoran Kelantan Delight di Sooka Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

-mymetro

Harga tanah kubur semakin mahal

“Mustahil untuk kita ikut cara tradisional. Apa yang tidak berubah ialah kita mesti selalu ingat pada nenek moyang walaupun kaedah pengebumian sudah berbeza kerana fahaman Conficius meng­utamakan penyembahan roh nenek moyang,” jelasnya lagi.

Di Hong Kong, tapak perkuburan swasta biasanya berharga melebihi HK$250,000 (RM101,700). Walaupun tapak kubur di kawasan perkuburan milik kerajaan boleh dipajak dengan harga yang lebih murah tetapi harganya bermula daripada HK$3,190 (RM1,298) bagi tempoh enam tahun, bergantung kepada kekosongan.

Selepas tempoh pajakan tamat, kubur itu akan digali semula supaya mayat boleh dipindahkan sama ada untuk dibakar atau dikebumikan di plot yang lebih kecil.

Harga di pusat penyimpanan abu mayat kendalian kerajaan pula bermula daripada HK$3,000 (RM1,220) manakala di pusat kendalian pihak swasta harganya 10 kali ganda lebih tinggi dan ia boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.


Cheng berkata, konsep pe­ngebumian laut ini mula diterima ramai, walaupun ia berlawanan dengan tradisi Cina yang mahukan badan mayat dalam keadaan sempurna dan ia perlu dikebumikan di tanah.

“Pada mulanya memang ramai orang susah hendak menerima idea ini dan perkhidmatan kami bermula dengan satu bot kecil. Namun kini semakin ramai yang boleh menerima konsep penge­bumian laut ini. Setiap bulan saya mengendalikan upacara penge­bumian untuk 80 hingga 100 keluarga,” kata Cheng.

Malah kerajaan juga berjanji akan menyediakan 120,000 tempat baru (tapak kubur) antara 2012 hingga 2016 tetapi ia dilihat masih tidak dapat me­nyelesaikan masalah kekurangan ruang berbanding jumlah kematian tahunan di Hong Kong yang mencecah 41,400.

Usaha untuk membina komp­leks perkuburan juga mendapat tentangan daripada penduduk yang bimbangkan kawasan seperti itu akan membawa nasib malang dan memberi kesan negatif kepada harga rumah mereka.

Semua masalah dan isu ini secara tidak langsung membantu mengembangkan konsep pengebumian di laut.

“Yang mati tetap mati, tidak kira apa jenis upacara yang anda jalankan (untuk mereka), hasilnya tetap sama,” kata So, sambil menaburkan abu mayat ibunya.

“Bagi saya, merindui orang tersayang bermakna kita menyimpan hasrat untuk
mendoakan mereka dan pengebumian di laut ini adalah pilihan yang baik.” - AFP

7.10.11

Bajet 2011 Golongan Miskin tambah Miskin & Terhimpit

Gaji satu lapis sektor awam diwujud semula, naik hingga 40 peratus

by KBLOG on October 5, 2011

Belanjawan atau budget 2012 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat depan, 7 Oktober 2011 di Parlimen.

Perdana Menteri yakin Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan dapat mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah dengan mengurangkan defisit fiskal negara.

Rata-rata rakyat berpendapatan rendah bukanlah faham sangat dengan maksud mengurangkan defisit fiskal, tetapi amat berterima kasih kalau harga barangan utama seperti minyak petrol, bahan makanan, tol dan sebagainya dapat diturunkan.

Harap-harap begitulah. Dalam menjawab satu soalan dari Dr Tan Seng Giew ahli Perlimen Kepong, Perdana menteri berkata ”Langkah-langkah yang kita ambil akan kita terangkan waktu ucapan belanjawan. Apa-apa program yang kita buat adalah dalam lingkungan kemampuan kerajaan dan komitmen kita untuk kurangkan defisit fiskal negara,”

Katanya Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan akan lebih fokus kepada melindungi rakyat yang berpendapatan rendah jika berlaku masalah ekonomi dan peningkatan kos hidup dan harga barangan.

Mungkin agak menarik juga apabila Datuk Seri Najib berkata antara aktiviti yang akan dilakukan untuk membantu golongan ini termasuklah memberi bantuan kewangan, subsidi dan insentif, bantuan latihan dan kemahiran, perkhidmatan kesihatan dan perumahan.

Pembentangan Belanjawan | Budget 2012  Tangani Masalah Golongan Miskin

Itulah yang diharapkan oleh golongan yang berpendapatan rendah dan miskin di mana-mana juga, tetapi agak mengejutkan juga dengan komen Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya rakyat jangan tertipu dengan belanjawan pilihanraya yang diumpamakan seperti “morphine yang melalaikan”.

“Ambillah peluang ini untuk menilai bajet mana yang lebih menjamin kesejahteraan semua, daripada bajet yang sekadar menyuntik morphine untuk me’lalai’kan rakyat daripada kesakitan hanya sehingga selepas pilihanraya umum.

Najib berkata pelbagai aktiviti akan terus dilaksanakan bagi membantu golongan berkenaan seperti bantuan kewangan, subsidi dan insentif, bantuan latihan dan kemahiran, perkhidmatan kesihatan dan perumahan.

Tetapi benarkah segala ini akan berlaku kerana kerajan juga dalam waktu yang sama akan melaksanakan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) pada bila-bila masa sahaja dan berkemungkinan selepas Pilihanraya Umum (PRU) 13.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan masih banyak lagi janji-janji pilihanraya 12 pada tahun 2008 tidak dilaksanakan.

“Sebahagian besar janji-janji tersebut masih belum ditunaikan lagi, bahkan sudah pun dilupakan… sungguhpun begitu, kerajaan yang tidak segan-silu menipu ini akan menabur janji baru kerana sudah tiba musim pilihanraya.

Ramai yang menyatakan pendapat, belanjawan 2012 adalah sebagai Bajet Pilihanraya, mereka menjangkakan kerajaan akan memembentuk satu sistem gaji baru di sektor awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat yang memberi kesan kenaikan gaji sehingga 40 peratus.

Jika benar seperti apa yag dijangkakan bermakna golongan berpendapatan rendah yang bukan bekerja dengan kerajaan akan menghadapi bebenan ekonomi yang lebih berat lagi kerana kesan langsung kenaikan gaji sektor awam yang akan meningkatkan harga barang.

Sebagai rakyat Malaysia apakah yang anda harapkan dengan pembentangan belanjawan 2012 pada Jumaat depan?

Rang Bulan:

1. Jika skim gaji satu lapis dilaksanakan pastinya kerajaan akan menanggung bebanan yang tinggi untuk membayar ganjaran pencen staf awam di masa hadapan. Jika ianya dikira gaji pokok bayangkan kerajaan akan pasti berbelanja sehingga 40% lebih dari belanja pembayaran pencen kini.

2. Janji mahu membantu golongan rendah dapatkah tertunai bilamana wang tersebut selalunya tidak sampai ke sasaran. mampukan kerajaan memantau golongan yang berpendapatan rendah (RM3,000 ke bawah) ini; yang tentunya golongan ini akan sentiasa turun naik pendapatan mereka. Takutnya nanti mereka yang layak terlopoong tak dapat bantuan RM500. Mereka yang tidak layak mendapat laba & menjadi orang kaya baru.

Saya pernah berbual masalah bantuan kepada nelayan; ramai kalangan kaum asing yang tak sepatutnya terima bantuan tetapi mendapat laba atas ketidaktelusnya mereka yang diamanah untuk mengagihkan bantuan ini. Pastinya ini akan merumitkan kewangan kerajaan. Keikhlasan kerajaan sering dihalang oleh lintah darat yang tak kenal dosa & pahala.

3. Alangkah sedihnya orang kampung di mana Kedai 1Malaysia dibina di bandar, siapa yang mendapat khidmat kedai ini?. Apakah ianya sekadar dapat kita lihat ujud di TV & akhbar tapi tak mampun berkejar ke sana sebab tidak ada di sekitar kita.

Bagaimana pun niat baik & keinginan kerajaan mengurangkan bebanan rakyat amatlah dihargai. Agar ianya terbukti & dapat dirasa setiap rakyat marhaen TANPA membedakan fahaman politik.