KUALA LUMPUR - Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberitahu perbicaraan hari kedua kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa dia hanya menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta membuat laporan polis dua hari selepas menjadi mangsa liwat Ketua Pembangkang itu.
Dakwa Mohd. Saiful, 25, sebaik pergi ke HKL dia terus memberitahu seorang doktor bahawa dirinya diliwat oleh Anwar menyebabkan doktor itu terkejut dan terus mengarahkan dia pergi ke Unit Kecemasan HKL untuk membuat pemeriksaan badan.
Saksi pertama itu berkata demikian semasa memberi keterangan sebelah petang dengan prosiding berjalan secara terbuka di hadapan Hakim Mohamad Zabidin Mohd. Diah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada sebelah pagi, Mohd. Saiful memberi keterangan secara tertutup setelah mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan atas alasan keterangan berhubung perlakuan liwat itu mempunyai unsur lucah.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meliwat Mohd. Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Apabila prosiding diadakan semula secara terbuka, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden kemudian menyambung pemeriksaan balas terhadap Mohd. Saiful. Pemuda itu mengatakan dia membuat pemeriksaan di hospital pada 28 Jun 2008.
"Saya tidak terus pergi ke HKL sebaliknya pergi ke dua buah hospital lain terlebih dahulu iaitu Hospital Tawakal pada pukul 1 petang namun tidak dapat buat pemeriksaan kerana hari tersebut separuh hari," jelas Mohd. Saiful.
Saksi itu memberitahu, dia yang ditemani bapa saudaranya, Tuah Mohd. Halim kemudian pergi ke Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur dan diperiksa oleh Dr. Mohd. Osman Abdul Hamid yang dicamkan oleh saksi selepas itu.
"Saya beritahu kepada Dr. Osman, saya sakit perut dan sakit di dubur.
"Dr. Osman suruh saya tanggalkan seluar dan baring atas katil sebelum dia memasukkan satu alat ke dalam dubur saya sebelum saya kemudian beritahu saya telah diliwat," katanya tenang.
Sebaik mendengar pengakuan itu, Dr. Osman terus menghentikan pemeriksaan dan menasihatinya pergi ke hospital lain kerana hospital tersebut tidak mempunyai kelengkapan untuk membuat pemeriksaan berhubung kejadian liwat.
Dr. Osman juga memberitahu bahawa laporan hospital swasta tidak boleh digunakan di mahkamah dan mencadangkan dia pergi ke hospital kerajaan.
Mohd. Saiful kemudian pergi ke HKL dan mendaftar diri di hospital itu pada pukul 3 petang pada hari sama sebelum diarahkan berjumpa dengan seorang doktor perempuan berketurunan India.
"Saya segan buat pemeriksaan dengan doktor perempuan lalu dicadangkan seorang doktor lelaki India bernama Dr. Daniel memeriksa saya," ceritanya.
Saiful: Sebaik jumpa Dr. Daniel saya yang penat berterus- terang kepada doktor itu tujuan saya datang kerana mahu buat pemeriksaan selepas diliwat oleh Anwar.
Yusof: Apa reaksi doktor?
Saiful: Dr. Daniel agak terkejut lalu menulis nota dan arahkan saya pergi ke wad Unit Kecemasan. Setengah jam berada di wad itu, seorang doktor lain buat pemeriksaan tekanan darah saya sebelum saya ditinggalkan.
Pada pukul 4.30 petang, Dr. Daniel datang semula dan minta saya buat laporan polis kerana tanpa laporan polis mereka tidak boleh buat pemeriksaan berhubung kes liwat.
Yusof: Bila buat laporan polis?
Saiful: Saya buat laporan polis di wad tersebut selepas dua anggota polis datang dari Pondok Polis HKL.
Yusof: Ada doktor buat pemeriksaan?
|
|
|
|
Saiful: Tidak. Saya tunggu sampai malam dan pada pukul 9 malam, doktor datang iaitu seorang doktor lelaki Cina, dua doktor lelaki Melayu, seorang doktor perempuan Melayu yang hamil, beberapa orang jururawat dan anggota polis.
Saya ceritakan apa yang berlaku dari awal bila kena liwat.
Yusof: Ada apa-apa sampel yang diambil daripada kamu?
Saiful: Banyak dengan menggunakan putik kapas. Satu sampel diambil di badan, leher termasuk dubur.
Semua putik kapas itu kemudian disimpan dalam kontena dan diletak pelekat serta ada ruang untuk saya tandatangan.
Perbicaraan bersambung hari ini dengan keterangan Mohd. Saiful masuk hari ketiga.
kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan