Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

13.2.14

Jangan muat naik pergerakan peribadi di Facebook

Facebook


KUCHING - Setiap individu perlu merahsiakan maklumat peribadi serta tidak menguar-uarkan pergerakan mereka di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata tindakan memuat naik maklumat peribadi dan pergerakan hanya akan mengundang bahaya untuk diri sendiri dan memberi peluang kepada penjenayah.

"Misalnya, kalau mahu ke mana-mana tidak perlulah muat naik di Facebook untuk memberitahu semua orang kerana penjenayah mungkin akan mendapat maklumat untuk mengesan anda atau mereka akan menyasarkan rumah anda untuk melakukan rompakan," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Roslan menasihatan pemilik rumah agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah masing-masing supaya sekiranya terjadi rompakan ia akan memudahkan polis menyiasat sekali gus mengesan pelaku.

"Kini terdapat CCTV buatan negara China yang murah dan boleh disambung ke Internet dan dipantau menerusi telefon mudah alih peribadi," katanya.

Beliau turut meminta mangsa kejadian jenayah agar melaporkan kepada pihak polis, sekalipun ia kes kecil dan memberi jaminan akan menyiasat semua aduan. - Bernama

12.2.14

'Saya bodoh kerana percaya dia'

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

SHAH ALAM - "Saya bodoh kerana mempercayainya," kata Normaliah Mahmood, sambil menangis di dalam kandang saksi, hari ini semasa perbicaraan kes bunuh anaknya, Zara Eleena, 23, dan suaminya, Omar Peter Abdullah, 56.

Normaliah Mahmood, 53, yang menjadi saksi pendakwaan keempat itu memberitahu Mahkamah Tinggi, tertuduh, Shah atau nama sebenarnya, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20 mengatakan terdapat 25 ekor hantu padanya.

"Saya memang takut hantu," katanya sebak.

Wanita itu memberitahu mahkamah, menurut Zara Eleena, Shah yang kononnya seorang ustaz akan mengubatinya.

"Pada waktu itu, saya tidak sihat dan tidak boleh tidur," katanya.

Dia memberitahu, Shah tiba bersama Boy atau nama penuhnya Azizi Aizat Ibrahim,20, serta seorang lagi individu selepas Zara Eleena membuat panggilan telefon dengan menanyakan di mana pelajar itu berada.

Normaliah berkata, Shah memintanya tidur sebagai syarat mengubatinya namun dia tidak dapat melakukannya.

"Saya memang tidak dapat tidur, dan Yaya ( Zara Eleena) ada membuat air Nescafe 3 in 1 untuk saya minum. Suami juga menumpang cawan yang sama," katanya.

Menurutnya, sebelum pulang, Shah menyelongkar rumahnya untuk mencari hantu dan menjumpai hantu di dalam kotak barangan kemasnya.

"Suami angkat barang kemas saya yang disimpan di dalam kerusi kotak dan Shah mengasingkannya.

"Shah asingkan barang kemas yang ada hantu di lantai bilik," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

Beliau berkata, sekitar jam 1 pagi 16 Februari 2012, Shah dan rakannya pulang.

Menjelaskan perkara berlaku selepas itu, Normaliah memberitahu dia dan Omar Peter tertidur sekitar jam 3 pagi sehingga jam 2 petang.

Aidatul Azura     : Selepas bangun tersedar dari tidur, apa yang berlaku.

Normaliah          : Saya memberitahu Yaya yang pada waktu itu baru pulang dari tempat kerja bahawa saya tidur.

Aidatul Azura     : Apa reaksi Yaya?

Normaliah          : Yaya bagitahu dia ada bagi ubat tidur pada saya kerana Shah menyuruhnya untuk berubat demikian.

Aidatul Azura     : Ada puan bertanya mengenai hubungan Yaya dan Shah?

Normaliah          : Sehari selepas itu, saya ada bertanyakan berkenaan hal itu dan Yaya mengakui Shah adalah teman lelakinya. Yaya juga meminta pandangan daripada saya memandangkan Shah merupakanpelajarnya.

Bagi menjelaskan hal itu, Normaliah bertanyakan kepada anaknya apa yang Shah lakukan selain belajar.

"Yaya memaklumkan Shah bekerja sebagai penarik kereta dan saya memberitahu penarik kereta adalah bahaya kerana mereka agak kasar Saya juga ada kawan yang bekerja seperti itu dan mereka kasar," katanya.

Terdahulu, Aidatul Azura menyoal Normaliah berkenaan perihal kehilangan kad bank  dan wang milik Zara Eleeena.

Saksi keempat itu memberitahui, pada Januari 2012, Zara Eleena memaklumkannya melalui telefon selepas membuat laporan polis mengenai kehilangan wang dan kad bank itu.

"Saya tertanya-tanya bagaimana duit gaji dan duit yang kami berikan di dalam akaunnya boleh hilang sehingga Omar Peter terpaksa menghantar duit kepadanya pada waktu rehat untuk membeli makanan.

"Yaya sangat ambil berat terhadap barang miliknya. Pergi tandas, duit hilang, pergi mengajar duit hilang. RM10 pun boleh hilang,"katanya.

Normaliah berkata,  Zara Eleena membuat satu lagi laporan polis bersama suaminya selepas mendapati wang tunai RM500 miliknya lesap.

Sebelum ini, pensyarah bahasa Inggeris itu dan bapanya ditemui mati di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, 11 Mac 2012.

Perbicaraan hari kedua itu berlangsung dihadapan Hakim, Datuk Abdul Halim Aman dan akan bersambung pada hari ini.

9.2.14

Tampar Teresa: Pemuda MCA kecewa kenyataan Zahid


Biro Undang-undang Pemuda MCA meluahkan rasa kecewa berhubung kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung tawaran ganjaran menampar Ahli Parlimen Seputeh berhubung Video Tahun Baru Cina tidak menjamin siasatan dijalankan.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Bironya Eric Choo berkata bukan kuasa Zahid atau polis memutuskan sama ada mereka yang menawarkan ganjaran itu telah melakukan satu kesalahan atau tidak.

Eric berkata menteri dalam negeri sepatutnya mengingatkan bahawa tugas dan tanggungjawab polis hanya menyiasat dan kemudian keputusan serta tugas mendakwa terletak kepada peguam negara.

Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, Eric berharap Zahid tidak lagi membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi kes itu sebaliknya membiarkan undang-undang dan prosedur menentukannya.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata tawaran ganjaran wang kepada sesiapa yang pertama menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu ancaman, maka "tiada apa yang perlu disiasat kerana ia bukan satu ancaman".

Zahid: Tawaran tampar Teresa bukan ancaman

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tawaran ganjaran wang kepada sesiapa yang pertama menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu ancaman.

Ahmad Zahid, yang juga naib presiden Umno, dipetik oleh The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa "tiada apa yang perlu disiasat kerana ia bukan satu ancaman".

Portal berita itu memetik Zahid sebagai berkata dalam satu majlis di penjara Kajang bahawa menampar bukan satu ancaman, tetapi jika mereka kata bunuh, maka ia satu ancaman.

Ahmad Zahid berkata polis hanya akan mengambil tindakan sekiranya perbuatan menampar berlaku.

"Jika mereka menamparnya, maka kita akan mengambil tindakan," katanya sambil dipetik sebagai menambah bahawa perkara menampar itu adalah antara Teresa dan kumpulan berkenaan.

Dilaporkan beberapa NGO Islam yang mengadakan protes di Jalan Tun Perak, dengan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah menawarkan ganjaran wang kepada orang yang pertama yang berjaya menampar Teresa.

Teresa telah membuat laporan polis mengenai perkara itu semalam. Beberapa peguam, ketika dihubungi, berkata tawaran itu merupakan satu perbuatan jenayah kerana ia adalah sebahagian daripada intimidasi jenayah di bawah Seksyen 503 dan 505 Kanun Keseksaan.

Polis menyatakan bahawa mereka telah mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 505(c) kerana berniat menghasut sesiapa sahaja untuk melakukan kesalahan, dan Seksyen 506 bagi intimidasi jenayah.

Ahmad Zahid, bagaimanapun, berkata video Teresa mengenai
Tahun Baru Cina juga disiasat kerana sudah terdapat lebih 300 laporan polis yang dibuat terhadap klip tersebut.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) telah memulakan siasatan dan pihaknya akan mengumpul semua laporan dan akan meneliti perkara itu.

Khamis lalu, selain tawaran menampar Teresa, NGO terbabit juga menyembelih empat ekor ayam dan melumurkan darahnya pada banner gambar pemimpin Pakatan Rakyat.

9.1.14

Dr M cadang wujud semula ISA tangani pelampau

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pelaksanaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejaskan kestabilan negara.
  
Beliau menyifatkan segelintir puak pelampau ini sebagai kumpulan yang tidak matang dan sanggup mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati yang mengganggu keharmonian dan sensitiviti kaum lain di negara ini.
  
"Untuk golongan pelampau sebegini, kita memerlukan ISA. ISA tidak diperlukan untuk orang macam saya kerana saya seorang yang sangat bagus," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu undangan khas dalam program berbahasa Inggeris RTM2 'Hello On Two', yang disiarkan secara langsung di Wisma TV, Angkasapuri di Ibunegara hari ini.
  
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tentang ketegangan antara kaum berikutan isu rampasan Bible versi Bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Khamis lalu.

Beliau berkata sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak digunakan, adalah lebih baik negara tidak mempunyai undang-undang sedemikian.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menasihati segelintir rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti agama atau menyakitkan hati orang lain.
  
"Sekiranya rakyat terus bertelagah, mereka akan menjadi seperti rakyat di negara lain, yang akhirnya akan saling membunuh sesama sendiri. Ini tidak adil untuk mereka yang tidak terlibat dalam kontroversi ini," katanya.
  
Dalam rancangan itu, Dr Mahathir berkongsi pendapat dan rahsia termasuk rutin harian, falsafah perniagaan, dan rahsia kesihatan yang membuatkan beliau sentiasa sihat dan bertenaga pada usia 89 tahun.
  
Beliau turut menamakan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasi beliau, kerana kagum dengan kesabaran dan kehebatan Baginda semasa berhadapan dengan golongan yang membencinya, selain berjaya membangunkan masyarakat Islam yang bertamadun.
  
Rancangan itu diadakan sempena ulang tahun ke-11 Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
  
Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ke empat sejak 1981 dan berundur daripada jawatan itu pada 2003, setelah menerajui pemerintahan negara selama 22 tahun.
  
Semasa rancangan sejam itu berlangsung, pelukis Abdul Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda melukis sebuah potret Dr Mahathir.

- Bernama

4.10.13

Jangan cakap lagi tentang kehilangan senjata polis!



VIDEO | 5.18 mins
dikemaskini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempertahankan integriti pasukan polis dan mengatakan bahawa kehilangan senjata polis bukan disebabkan oleh pecah amanah, penyelewangan atau unsur rasuah.

Sebaliknya, kata beliau, kehilangan itu antaranya disebabkan kecuaian atau kelemahan ketika operasi dijalankan.

Beliau kemudian melarang perbincangan lanjut mengenai perkara itu dan berkata "tiada lagi" soalan dari Malaysiakini.

Ditanya mengenai senjata RM1.3 juta senjata polis yang hilang seperti yang dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, Zahid berkata beliau positif bahawa tiada motif tidak baik dikaitkan dengan kehilangan tersebut.

ahmad zahid warn malaysiakini 041013"Mengenai laporan audit tentang kehilangan 1.3 juta senjata di PDRM, saya tahu kehilangan itu bukan disebabkan  oleh pecah amanah, bukan disebabkan penyelewangan, bukan disebabkan unsur rasuah.

"Kehilangan antaranya disebabkan kecuaian atau kelemahan ketika operasi dijalankan," katanya kepada pemberita.

Zahid berkata beliau telah membuat susulan terhadap laporan audit itu dengan meminta ketua polis negara menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengenakan surcaj ke atas anggota yang terlibat.

Beliau berharap laporan audit tahun depan tidak akan mengandungi laporan seperti kehilangan senjata kerana beliau tidak mahu "imej polis tercemar oleh laporan Ketua Audit Negara".

Katanya, kini semakin ramai yang mempercayai pihak polis, sambil menambah bahawa pasukan itu telah memperlihatkan integriti yang tinggi.

Zahid memberi amaran kepada Malaysiakini supaya melaporkan dengan tepat apa yang dicakapkannya.
"Malaysiakini, you tulis itu macam ar, betul-betul ah, jangan tulis lain...," tegasnya.

Beliau juga meminta Malaysiakini supaya tidak lagi bertanya sebarang soalan susulan mengenai kehilangan senjata itu.

"You pun tulis tak betul. Tak mau layanlah Malaysiakini. You tulis semua tak baik tentang saya, tentang KDN, patut you tak payah datang sinilah, malulah datang," katanya lagi.

RangBul@n: 

Sebenarnya banyak lagi kehilangan harta kerajaan tak diuar-uar di media massa; cer sesekali paparkan berapa pula jumlah peralatan penyelidkan hilang di IPTA negara kita; huh lagi banyak lagi amat membazir. Sebenarnya bukan hilang tetapi ada komplot golongan elit yang tak jujur untuk kepentingan diri terus berlaku. Perkara ini kerajaan perlu amat membuat siasatan.

RangBul@n lama berkhidmat di sektor awam & perkara kehilangan ini amat naif pun dirahsiakan oleh Pentadbiran di IPTA sana. Sebab itu RangBul@n amat tak setuju ujudnya Universiti Penyelidikan. Cukuplah telah ujud terlalu banyak agensi/instituit/jabatan/organisasi penyelidikan di negara kita. Peralatan penyelidikan ini sering dianggap barangan lupus yang amat membazir. Amat sukar mahu kita kesan atas alasan ianya penyelidikan memang perlukan percubaan rambang.

2.10.13

RTM bayar RM3,810 untuk jam RM100


2:51PM Okt 2 2013  
Radio Televisyen Malaysia (RTM) membelanjakan RM3,810 untuk satu jam dinding yang hanya berharga RM100, lapor Jabatan Audit Negara dalam laporan tahunan mereka.

NONERangkaian televisyen yang dimiliki kerajaan Malaysia itu mempunyai 20 biji jam yang sama dan harga keseluruhan yang dibayar adalah RM76,200.

Laporan itu seterusnya menjelaskan yang jam dinding itu adalah komponen dikenali sebagai "slave clocks".

Ia sebahagian daripada sistem jam induk yang dihubungkan dengan satelit untuk membantu penyelarasan masa siaran dan bernilai RM116,220.

Bagaimana pun, sistem jam induk itu gagal berfungsi dan jam dinding berteknologi tinggi itu akhirnya digunakan sebagai jam dinding biasa.

RTM kuga didapati membayar harga 24 kali ganda untuk satu pengimbas bersaiz A4 dan membayar empat kali ganda untuk pengimbas bersaiz A3.

 RangBul@n: Masalah rasuah ini sukar nak kita bendung sebab yang terlibat tu selalunya bukan dari orang bawahan/sokongan sahaja malahan yang alebih nazak adalah kalangan orang atasan & golongan elit; tak cukup dengan gaji besar masih nak makan rasuah lagi besar. Cara mereka pusat alam amat licik & sukar kita mahu membenterasnya.

1.10.13

Keselamatan RM2 bilion di sekolah sia-sia


4:13PM Okt 1 2013  
Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan salah pengendalian teruk sehingga RM2.051 bilion dalam mengupah kontraktor keselamatan untuk sekolah antara 2010 hingga 2012.

Daripada penyediaan kontrak sehingga mengambil pengawal keselamatan, ketua audit negara berkata, pengurusan perkhidmatan keselamatan di 35 sekolah dan asrama yang ditinjau rata-rata tidak memuaskan.

Audit, yang melibatkan sekolah-sekolah di Selangor, Perlis dan Sabah, mendapati bahawa kontraknya tidak seragam.

Tidak dinyatakan juga keperluan khusus yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Ini termasuk, pelaksanaan sistem jam jaga, bagi memastikan dua pengawal bertugas untuk satu-satu masa dan spesifikasi kamera CCTV dan sistem penggera.

28.9.13

Menteri: Penahanan tanpa bicara sama seperti UK, AS


 
Penahanan tanpa bicara dalam pindaan yang dicadangkan dalam Akta Pencegahan Jenayah adalah sama dengan amalan reman di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang, Nancy Shukri, yang menegaskan demikan berkata ini menunjukkan bahawa negara-negara yang menjadi contoh kepada orang lain, juga melakukan amalan yang sama.

Berucap dalam satu forum di Putrajaya hari ini, Nancy berkata ia adalah untuk memberi masa kepada polis mengumpul bukti sebelum  mendakwah pesalah.

11.9.13

Facebook Adun Paroi diceroboh

 Wartawan Sinar Harian

SEREMBAN – Adun Paroi, Mohd Ghazali Wahid kecewa apabila akaun Facebook beliau diceroboh individu yang dipercayai sengaja mahu menjatuhkan kariernya sebagai wakil rakyat.

Menurut Ghazali, laman Facebook yang menjadi penghubung beliau dengan orang ramai disedari diceroboh sejak tiga hari lalu apabila muncul status asing di dinding akaunnya, selain terdapat beberapa video lucah kononnya ditonton beliau.

Akibat itu, ramai pengikut beliau yang mengutuk dan ada antaranya memberi komen sinis.

“Sebaik sahaja saya masuk ke akaun Facebook, saya terkejut dengan dengan status tidak senonoh terpamer di dinding akaun saya. Akaun laman sosial ini dikawal pegawai khas saya selaku admin, dan tidak mungkin perkara sebegini boleh berlaku," katanya.

Berikutan kejadian itu, Ghazali berkata, beliau menutup serta merta akaun Facebook berkenaan bagi melakukan siasatan menyeluruh, sebelum melaporkan kepada polis.

"Saya minta maaf kepada pengikut Facebook saya. Saya minta mereka tidak salah sangka dengan perkara ini kerana ia bukan dilakukan saya sendiri," katanya.

26.8.13

Waytha: Maka, kita tembak semua gengster?


12:07PM Ogos 26 2013  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata keganasan bukan satu jalan untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi masyarakat India berhubung peningkatan kadar jenayah.

“Di setiap bandar utama di pantai barat, saya pasti ada beberapa kumpulan dan mungkin sama ramai seperti di Pulau Pinang. Itu jumlah yang besar dan menggusarkan.

“Adakah timbul cadangan supaya kita tembak semua anak muda yang tidak terkawal ini untuk membersihkan jalanan kita dari jenayah?,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kritikan ke atas kenyataannya sebelum ini berhubung tindakan polis menembak lima orang pemuda di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Episod tersebut mungkin menghapuskan lima orang dari jalanan dengan cara tersebut, tapi adakah ia benar-benar menyelesaikan masalah jenayah?m” soalanya.

Beliau juga mengakui kenyataan polis pada hari Sabtu lalu bahawa masyarakat India menghadapi ancaman serius dalam peningkatan gengsterisme.

"Dalam perarakan pengebumian salah seorang dari yang meninggal dunia pada hari itu, akhbar melaporkan seramai 800 orang pemudia India didakwa anggoa Geng 04 menyertainya.

"Semalam dilaporkan bahawa pengarah CID Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata rekod polis mengenai anggota gengster menunjukkan 71 peratus dari kalangan orang India,” katanya.

Mahkamah terima rayuan, Sirul mungkin dianiaya


 
Penghakiman bertulis dalam kes rayuan oleh dua anggota polis elit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu menunjukkan bahawa tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar mungkin telah dianiaya.

altantuya razak baginda murder 050707 sirul azhar umarMahkamah Rayuan pada hari Jumaat lalu menggariskan bahawa Sirul dan tertuduh pertama Cif Insp Azilah Hadri dibebaskan dari tuduhan berkenaan memandangkan pembantu peribadi Datuk Seri Najib Razak, Musa Safri tidak ditampilkan sebagai saksi.

Sirul dalam kenyatannya dari kandang tertuduh telah menyebut bagaimana beliau dijadikan “kambing hitam” oleh polis untuk dikorbankan demi memelihara rancangan pasukan tersebut.
Hakim Mahkamah Rayuan Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman bertulis tersebut menjelaskan sebab mahkamah tidak menerima bukti daripada pegawai polis yang membawa Sirul ke rumah tertuduh berkenaan untuk mengecam bahan bukti.

Terdapat pengakuan bertentangan dan tidak konklusif mengenai penemuan satu jaket hitam dan barang kemas milik Altantuya dalam jaket tersebut, penghakiman itu dipetik.

altantuya razak baginda murder trial 010807 sirul jacketTengku Maimun juga menyatakan, tiada keterangan yang konklusif mengenai kata-kata yang disebut oleh Sirul berhubung penemuan jaket tersebut.

Katanya lagi, seorang saksi polis menyebut bahawa Sirul memberitahu barang kemas itu disimpan dalam jaket tersebut tetapi seorang lagi pegawai polis tidak mendedahkan kenyataan seperti itu.

Hakim itu berkata, Sirul dalam keterangan menyebut bahawa pegawai polis yang mendakwa barang kemas itu disimpan dalam jaket berkenaan telah meminta tertuduh memegang jaket tersebut untuk rakaman gambar, sebanyak dua kali.

"Pegawai polis yang sama mengeluarkan beberapa barangan daripada jaket yang sama dan meletakkan ke atas katil sebelum memaksa (Sirul) menunjukkan, dengan jari, ke arah kesemua barangan tersebut sebelum gambarnya dirakam.

"Perayu kedua dengan itu menyatakan bahawa polis meletakkan barang kemas itu di rumahnya,” katanya.

Mahkamah turut mengambil kira fakta bahawa kunci rumah tersebut dipegang oleh anggota polis sebelum pencarian untuk jaket berwarna hitam dibuat dari dalam almari yang tidak berkunci di bilik Sirul yang tidak berkunci, kata hakim tersebut.

23.8.13

Hakim tersilap arah mensabitkan Azilah, Sirul Azhar

PUTRAJAYA 23 Ogos - Mahkamah Rayuan hari ini menggariskan beberapa alasan berhubung keputusan pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh model sambilan, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

Salah seorang ahli panel tiga hakim bersidang, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan, kuorum itu sebulat suara berpuas hati bahawa hakim bicara tersilap arah dalam pelbagai aspek ketika mencapai keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-duanya.

Ketika membacakan penghakiman ringkas, Hakim Tengku Maimun menyatakan, hakim berkenaan antaranya gagal menimbang pembelaan alibi iaitu berkaitan diari polis yang mencatatkan Azilah tiada di tempat kejadian, sebaliknya berada di Bukit Aman.

Beliau turut berpendapat, isu bahan letupan C4 dan kawalan terhadapnya yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya turut tidak diberi pertimbangan sewajarnya oleh hakim bicara.
Mahkamah turut menyatakan pendirian bahawa hakim bicara tersilap arah ketika memutuskan isu berhubung maklumat yang diterima yang membawa kepada pendedahan Azilah dan Sirul Azhar berhubung tempat kejadian.

Keputusan hari ini bagaimanapun hanya menyentuh isu-isu utama yang dibangkitkan ketika penghujahan yang didengar selama dua hari berturut-turut iaitu pada 24 dan 25 Jun lalu.

Pada sesi penghujahan, peguam bela ada membangkitkan isu kemungkinan hakim bicara telah mengakses bahan-bahan di internet dan mempengaruhinya membuat keputusan tidak memihak terhadap perayu-perayu. - UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd

14.7.13

Polis: Jangan sebar khabar angin kes pergaduhan


 
Polis Selangor hari ini memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menyebar khabar angin dan maklumat palsu menerusi media sosial berhubung insiden pergaduhan di daerah Klang Utara, dalam minggu ini.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata pergaduhan yang berlaku pada 10 Julai dan awal pagi ini bukan disebabkan rusuhan kaum sebaliknya berpunca daripada salah faham dan rasa tidak puas hati individu terlibat.

"Insiden berkenaan bukan rusuhan dan tidak berkaitan antara satu sama lain. Jadi saya beri amaran kepada sesiapa yang sebarkan maklumat palsu sehingga membimbangkan masyarakat kita akan ambil tindakan tegas dengan menahan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua MIC Bahagian Kapar, T Ganesan;  Ketua Pemuda MIC Selangor Shanker Raj Ayanger; dan anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Kapar, Abdul Rahim Shaharudin.

Mereka menafikan maklumat palsu tersebut.

Menurut Thaiveegan, pihak yang didapati menyebarkan maklumat palsu melalui SMS dan Facebook akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau sebarang kemusykilan perlu berhubung terus dengan pihak polis bagi mengelakkan wujudnya rasa bimbang atau takut.

Abdul Rahim meminta orang ramai supaya tidak bimbang berikutan pihak polis sentiasa menjalankan tindakan pencegahan di kawasan terlibat.

Dalam kejadian pada 10 Julai lepas, polis menahan tiga lelaki selepas terlibat dalam kejadian serangan ke atas sekumpulan lelaki di kawasan Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja di sini menyebabkan dua lelaki berumur lingkungan 20-an cedera parah di kepala serta beberapa anggota badan.

Kejadian itu berpunca daripada salah faham susulan satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada Rabu lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi ini pula, tiga lelaki yang sedang minum cedera selepas diserang sekumpulan 10 lelaki bermotosikal yang bersenjatakan kayu besbol dan parang di kawasan perumahan Taman Ismail, Sungai Pinang di Klang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap seorang daripada mangsa yang bertindak membakar motosikal miliknya pada Februari lepas.

Ekoran insiden itu, dua lelaki berumur 24 dan 32 tahun ditahan pihak polis di Batu 1, Jalan Kapar, Sungai Pinang kira-kira dua jam selepas kejadian.

Ketiga-tiga mangsa berumur 20-an dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 148 Kanun Keseksaan.

- Bernama

11.7.13

3 atlet Sukma didakwa rogol pegawai pengiring


3:12PM Jul 11 2013
Tiga atlet bola baling lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 hari ini masing-masing mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya atas pertuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan bola baling itu, Khamis lepas.  
  
Megat Farzeril Faiz Megat Razali, 19, Mohammad Shaizzad Md Shafie, 19, dan Adib Adha Ismail, 18, masing-masing memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim iaitu Yasmin Abdul Razak, Abu Bakar Manat dan Rozina Ayob.
  
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol wanita berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, antara jam 4 pagi hingga 4.10 pagi, 4 Julai lepas.
  
Megat Farzeril Faiz didakwa merogol wanita itu pukul 4 pagi, Mohammad Shaizzad pula pada jam 4.05 pagi dan Adib Adha pula 4.10 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
  
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu Adib Adha dan Mohammad Shaizzad perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mereka juga diperintahkan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Jian tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kesemua tertuduh dengan alasan kes itu berprofil tinggi kerana dikhuatiri semua tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang terdiri daripada rakan tertuduh sendiri.
   
Beliau juga memohon supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama.
   
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Abu Bakar.
   
Peguam Stephanie Wong, yang mewakili Adib Adha memohon jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan dikenakan terhadap anak guamnya iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan selain akan memastikan dia tidak mengganggu mangsa dan siasatan polis.
   
Peguam Datuk Suraj Singh, yang mewakili Megat Farzeril dan Mohammad Shaizzad, memohon supaya kedua-dua anak guamnya dibenarkan diikat jamin selain memberi jaminan mereka tidak akan mengganggu mangsa.
   
Suraj berkata Megat Farzeril yang membantu ibunya berniaga hanya berpendapatan RM800 sebulan dan dia perlu menanggung empat beradik manakala Mohammad Shaizzad masih menuntut di sebuah kolej tempatan.
   
Peguam pemerhati Ranjit Singh yang bertindak bagi pihak mangsa, memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah larangan kepada pihak media supaya tidak mendedahkan sebarang nama dan identiti mangsa.
   
Suraj yang menyokong permohonan Ranjit, berkata: "Media juga harus diberi amaran supaya tidak membuat penilaian dalam kes ini sehingga mahkamah membuat keputusan".
   
Mahkamah membenarkan permohonan itu.
   
Sebelum prosiding bermula, ketiga-tiga tertuduh kelihatan menangis sambil memeluk ahli keluarga masing-masing yang hadir di mahkamah.
- Bernama

MPV polis hilang di Kamunting, jumpa di Bkt Mertajam


10:41AM Jul 11 2013
Polis mempergiatkan usaha memburu seorang suspek kes curi yang melarikan kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Perak semalam, susulan penemuan MPV itu di Bukit Minyak di Bukit Mertajam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan penemuan MPV itu yang dilapor dilarikan oleh suspek dalam kejadian di Kampung Dollah, Kamunting, Perak pada pukul 7.40 pagi tadi.

Polis kini menumpukan usaha mengesan suspek di kawasan berdekatan MPV itu yang ditemui pada pukul 9.30 malam tadi, katanya menambah suspek berasal dari Tasek Gelugor dekat Bukit Mertajam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof dilapor berkata dalam kejadian pagi tadi, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam beberapa kecurian di Taiping Perak.

Suspek ditahan hasil maklumat orang ramai, bagaimanapun ketika dia hendak dibawa masuk ke dalam MPV, suspek bertindak menolak seorang daripada dua anggota polis yang bertugas sebelum memandu kereta berkenaan dan melarikan diri.

- Bernama

9.7.13

Ketua Hakim: Hukuman berat pada pesalah jenayah jalanan


10:03AM Jul 9 2013
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menggesa semua hakim agar bertindak tegas dan menjatuhkan hukuman berat ke atas pesalah yang disabit dengan jenayah jalanan, termasuk ragut serta rasuah.

Beliau berkata hukuman yang bakal dijatuhi harus mencerminkan atau menjadi satu amaran keras bagi menangani jenayah berkenaan.

"Saya meminta semua hakim di semua peringkat supaya mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka ini, yang menjadi perosak kepada ketenteraman negara kita," katanya pada majlis mengangkat sumpah enam pesuruhjaya kehakiman yang baharu dilantik di Putrajaya semalam.

Arifin berkata mahkamah juga harus lebih peka dalam mempertimbang hukuman setimpal untuk pesalah terbabit.

"Hukuman yang bakal dijatuhi itu harus berupaya mengubah pesalah menjadi manusia yang lebih baik, dan pada masa sama, mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan serupa," katanya.

Arifin berkata dalam sesuatu kes jenayah, keadilan bukan hanya untuk tertuduh kerana mangsa juga perlu mendapat keadilan.

Pada majlis itu, pengerusi Lembaga Parol Wong Teck Meng, 54, serta tiga Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah, 54, Datuk Rozana Ali Yusoff, 53, dan Abu Bakar Katar, 53, mengangkat sumpah bersama dua peguam S. Nantha Balan, 53 dan Abu Bakar Jais, 51.

Dalam ucapannya, Arifin berkata Akta Saraan Hakim 1971 akan dipinda dalam masa terdekat bagi memasukkan satu opsyen bagi membolehkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bersara sebelum usia 60 tahun.

Beliau berkata hakim yang tidak sihat atau kurang berminat dengan tugas mereka boleh memilih opsyen ini dan mereka mencari kerjaya yang lebih menepati kehendak masing-masing, atau menikmati tempoh persaraan lebih lama.

Pada masa ini, umur persaraan wajib hakim ialah 66 tahun.

Arifin berkata dasar pemisah atau 'exit policy' sudah dibincang dan dipersetujui sebulat suara pada Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia kali ke-47 di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Beliau juga berkata hanya pesuruhjaya kehakiman yang mempamer keupayaan dan prestasi cemerlang akan disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

- Bernama

7.7.13

Polis: Jangan percaya kes kematian akibat sampel beracun


 
Polis menafikan khabar angin bahawa tujuh orang wanita mati di sebuah hospital swasta di Jalan Ampang dekat Kuala Lumpur baru-baru ini selepas mereka menerima bungkusan mengandungi sampel wangian atau losyen beracun.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh dalam satu kenyataan di Facebook polis berkata perkara itu disahkan tidak benar selepas semakan dibuat dengan pihak hospital berkenaan dan mendapati bahawa laporan itu tidak berasas sama sekali.

Beliau berkata dua tahun lepas turut dikhabarkan berlaku perkara yang sama di hopital berkenaan.

Polis menasihati orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin atau berita palsu sedemikian dan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada akan diambil kepada sesiapa yang menyebarkannya.

- Bernama

6.7.13

Polis minta saksi tampil bantu siasatan kes tembak


 
Polis Pulau Pinang meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian seorang lelaki ditembak mati di sebuah medan selera di Jalan Relau di Georgetown, Khamis lepas supaya tampil membantu polis
menjejak dua suspek terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Mazlan Kesah berkata kedua-dua suspek yang memakai topi keledar ketika melakukan jenayah itu dipercayai melepaskan tembakan terhadap mangsa, K Kuganeswaran, 30, dari jarak dekat.

"Tugas menjejaki suspek sukar berikutan lokasi kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup. Justeru kita berharap saksi kejadian datang ke balai membantu siasatan agar kita dapat membuat tangkapan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau berkata polis telah merekodkan keterangan keluarga mangsa dan sedang mengumpul bukti motif pembunuhan lelaki itu.

Mazlan berkata siasatan mendapati mangsa yang beralamat di Taman Damai Taiping, Perak telah dua tahun bekerja sebagai operator pengeluaran di negeri ini dan tinggal di sekitar Bayan Lepas.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa dikatakan baru lepas membeli tosai di gerai makanan di situ sebelum dipanggil dua lelaki dipercayai suspek kes itu.

Sebaik Kuganeswaran masuk semula ke dalam medan selera itu, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa ditembak.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian apabila tembakan itu mengenai dada, badan serta lehernya. Polis turut menemui empat kelongsong peluru berukuran 9mm di lokasi kejadian.

-Bernama

1.7.13

Pakatan simpati kepada Khairy; gesa pembaharuan polis

oleh Hasbullah Awang Chik

Seorang menteri yang rumahnya dimasuki pencuri pada hujung minggu lalu mendapat simpati daripada pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Saya tahu bagaimana rasanya rumah dimasuk pencuri kerana rumah saya sendiri pernah dimasuki pencuri dua kali pada tahun 2009 dan 2010 dan itu merupakan salah satu sebab mengapa saya berpindah ke pangsapuri pada 2011,” menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam satu kenyataan media lewat malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mendapati rumah banglonya di Bukit Damansara dimasuki pencuri pada siang hari Sabtu lalu sewaktu hanya pembantu rumahnya berada di rumah.

Pua turut menggesa pihak polis dan kerajaan agar berdepan realiti terhadap kejadian jenayah yang semakin berleluasa di Malaysia.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata: “Jika kerajaan dan polis tidak mahu menerima hakikat, maka tiada pendekatan yang akan diambil pihak berkuasa bagi membendung isu berkenaan.

“Jika kerajaan dan polis tidak mahu menerima kenyataan, kita pasti berdepan alasan demi alasan daripada pihak polis malah daripada Pemandu sendiri yang menggesa pemansuhan Ordinan Darurat meningkatkan kadar jenayah.”

Polis memberitahu The Malaysian Insider pemansuhan akta berkenaan akan meningkatkan kadar jenayah jalanan dan secara keseluruhannya.

Pua berkata kelemahan polis sebenar dalam membanteras jenayah adalah penempatan pasukan yang kurang tepat dan skala yang berlebihan.

“Sejak lapan tahun lalu, Cawangan Siasatan Jenayah terdiri daripada 9 peratus tenaga polis secara keseluruhannya. Sebagai perbandingan, 41 peratus polis beruniform melakukan tugas-tugas pentadbiran.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2005 mencadangkan kira-kira 20,000 pasukan beruniform atau 22 peratus kembali kepada tugas hakiki bagi memantapkan tugas polis. Malangnya cadangan tersebut tidak diambil serius oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Kementerian Dalam Negeri dan polis harus menerima cadangan RCI dan melaksanakan semua pendekatan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan dan profesionalisme pasukan polis.

“Selagi mereka berlengah-lengah, ini akan meningkatkan kadar jenayah dan menjadikan Malaysia tidak selamat bukan sahaja kepada rakyat malah pembangunan kondusif perniagaan dan pelaburan.”

“Merujuk kepada kes rompakan di kediaman Khairy, Pua berkata tidak kira sama ada menteri atau ahli politik dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional atau sesiapa yang berada di jalanan akan berdepan trauma apabila berdepan situasi jenayah.

“Kita bersyukur kerana dalam insiden ini tiada yang cedera. Kejadian ini dan yang lalu berlaku sejak kebelakangan ini kepada VIP termasuk ahli keluarga menteri dan pegawai polis membuktikan jenayah bukanlah persepsi semata-mata di Malaysia.

 “Jika menteri dan pegawai polis atasan tidak terlepas daripada jenayah maka bagaimana rakyat biasa dapat tidur lena? Kejadian jenayah telah memaksa penduduk setempat menggunakan perkhidmatan kawalan keselematan peribadi di kawasan kediaman mereka.

“Jutaan ringgit telah dibelanjakan oleh penduduk untuk menggunakan khidmat kawalan keselamatan bagi melindungi kediaman mereka. Statistik jenayah beberapa tahun lalu telah dimanipulasi bagi memberikan rakyat Malaysia persepsi yang salah berhubung isu keselamatan.

Kerajaan mendakwa jenayah jalanan telah berkurang kepada 40 peratus beberapa tahun ini manakala indeks jenayah turun kepada 25 peratus daripada tahun 2007 ke 2011.

“Apa yang kerajaan cuba sembunyikan daripada rakyat Malaysia adalah indeks jenayah telah meningkat kepada 69 peratus pada tempoh yang sama,” jelas Pua.

21.6.13

Jangan Mudah Terpedaya Dengan Kenalan FB

Terpesona dengan kenalan cinta Facebook, seorang jurujual perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial itu di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Marang, Terengganu itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira dua bulan lalu dan suspek mengajak mangsa keluar makan bersamanya kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila suspek membawa mangsa ke sebuah bangsal di Kampung Bukit Parit di Marang untuk melakukan adegan ‘ringan’ sebelum mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Mangsa menolak ajakan itu, namun suspek tetap berdegil dan tidak mempedulikan rayuan mangsa dan bertindak merogolnya.

Lebih malang, seorang lagi lelaki yang dikenali suspek tiba-tiba muncul selepas itu dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir termasuk meliwat mangsa.

Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis juga telah menahan seorang individu di Kampung Bukit Parit, di sini untuk siasatan lanjut. -SH