KUALA LUMPUR 3 Feb. – Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberitahu bahawa dia berhenti bekerja dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mahu diliwat lagi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
‘‘Saya tidak rela lagi diperlakukan seperti dalam pertuduhan,’’ katanya yang dipanggil sebagai saksi pertama memberi keterangan pada perbicaraan kes liwat yang dihadapi oleh Anwar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurutnya, ia adalah sebab sebenar dia berhenti kerja sebagai pembantu peribadi Ketua Pembangkang itu walaupun perkara tersebut tidak dinyatakan dalam e-mel yang dihantarnya kepada Anwar.
Kata anak sulung daripada dua beradik itu, e-mel yang menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan dihantar melalui telefon bimbit Blackberry miliknya kepada e-mel Anwar ketika dia berada di ibu pejabat PKR di Tropicana Square, di sini.
Dalam e-mel itu, menurutnya, dia menyatakan alasannya untuk berhenti kerja ialah dia seorang yang tidak berdisiplin kerana sering datang lewat ke pejabat sehingga menyebabkan Anwar selalu memarahinya.
Selain itu, kata Mohd. Saiful Bukhari, 25, dia berasa tertekan kerana diberikan sebuah bilik di pejabat baru PKR itu walaupun berasa kurang berkelayakan berbanding pekerja-pekerja lain yang tidak diberikan bilik.
Menceritakan bagaimana boleh bekerja dengan Anwar, saksi itu berkata, dia telah dijemput oleh rakannya untuk bekerja dengan Penasihat PKR itu pada awal Mac 2008.
Disoal oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden sama ada dia boleh mengecam bekas majikannya itu, Mohd. Saiful Bukhari lantas menoleh ke galeri awam lalu menunjuk dengan ibu jari ke arah Anwar di kandang tertuduh.
Anwar tunduk tanpa memandang Mohd. Saiful Bukhari.
Menurut pemuda yang menyatakan statusnya sebagai penganggur kini, dia mula bekerja dengan Anwar sebagai sukarelawan seminggu sebelum pilihan raya umum pada 1 Mac 2008.
‘‘Banyak kerja yang perlu saya buat seperti mengatur jadual perjalanan program ceramah pilihan raya. Adakalanya saya ikut beliau ke program-program ceramah,’’ katanya.
Menurutnya, dia bekerja sebagai sukarelawan kira-kira dua bulan sahaja dan pada penghujung April, Anwar sendiri melantiknya sebagai pembantu peribadi walaupun tiada surat-menyurat bagi pelantikan tersebut.
Sebagai pembantu peribadi, katanya, dia ditugaskan untuk mengatur pertemuan sulit Anwar seperti ketika itu untuk berkomunikasi dengan ejen-ejen Ahli Parlimen yang ingin melompat parti dan membantu Ketua Staf, Ibrahim Yaacob dalam mengatur jadual Anwar.
‘‘Di samping itu, saya juga membuat pemfailan dokumen-dokumen sulit Anwar seperti akaun-akaun bank dan kawal selia telefon bimbit peribadi beliau. Setiap pagi, beliau akan bagi telefon bimbitnya dan suruh saya semak khidmat pesanan ringkas (SMS) dan highlight atau cetak mana-mana yang penting,’’ katanya.
Menurut Mohd. Saiful Bukhari, secara rasmi dia dibayar gaji RM1,000 dan secara tidak rasmi, diberi elaun sebanyak AS$1,000 (RM3,400) dan 10,000 dolar Hong Kong (RM4,300) bergantung pada perjalanannya ke luar negara.
Saksi itu berkata, dia hanya bekerja sekitar empat bulan dengan Anwar iaitu mulai awal Mac hingga 28 Jun 2008.
Terdahulu, dalam keterangannya, Mohd. Saiful Bukhari memberitahu, selepas belajar di tiga buah sekolah rendah, dia meneruskan pembelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama sebelum melanjutkan pelajaran di Taylor’s College.
Menurutnya, pada 2004, dia ditawarkan mengikuti kursus Asas Kejuruteraan Kuasa Elektrik di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di universiti itu dalam bidang yang sama.
Walaupun pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti itu, katanya, dia tidak menamatkan pengajiannya setelah berasa malu apabila mendapat keputusan peperiksaan yang teruk.
Terdahulu, semasa Mohd. Saiful Bukhari menuju ke kandang saksi sewaktu dipanggil memberi keterangan, terdengar jeritan ‘‘Taubatlah !’’ dari galeri awam. Jeritan itu tidak dihiraukan olehnya.
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan