Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.2.10

Saiful mengaku diliwat ketika di HKL


BLOK bangunan Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara semasa tinjauan lokasi oleh barisan pendakwaraya pada hari kedua perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MD NOR


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Akibat penat kerana telah pergi ke dua buah hospital sebelum itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terus membuat pengakuan bahawa dia telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada seorang doktor lelaki ketika di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Pengakuan tersebut menyebabkan doktor berketurunan India bernama Dr. Daniel itu terkejut.

Ekoran pengakuan tersebut, doktor yang berada di wad pesakit luar hospital berkenaan telah menulis satu nota dan mengarahkan bekas pembantu peribadi Anwar itu untuk ke wad kecemasan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre - OSCC) HKL.

Dia yang tiba di unit pesakit luar hospital berkenaan kira-kira pukul 3 petang terpaksa menunggu sehingga pukul 9 malam sebelum diperiksa di OSCC.

Sebelum diperiksa, seorang doktor yang datang menemui Mohd. Saiful Bukhari di wad berkenaan telah menasihatinya untuk membuat laporan polis kerana tanpa laporan tersebut, pemeriksaan rapi akibat diliwat tidak boleh dijalankan.

Terdahulu, ketika disoal oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden sama ada dia terus ke HKL, saksi pendakwa pertama itu memberitahu telah pergi ke dua hospital swasta sebelum itu.

Dua hospital tersebut ialah Hospital Tawakal di Jalan Pahang dan Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak, di sini.

Di Hospital Pusrawi, Mohd. Saiful Bukhari memberitahu dia telah berjumpa dengan seorang doktor lelaki tetapi hanya memberitahu doktor tersebut bahawa dia mengalami sakit perut dan sakit di bahagian dubur.

Doktor tersebut kemudian dipanggil sebelum dicamkan oleh bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Dia kemudian memperkenalkan dirinya kepada mahkamah sebagai Dr. Mohd. Osman Abdul Hamid.

MOHD. YUSOF (MY): Bila jumpa Dr. Osman, beritahu apa pada Dr. Osman?

MOHD. SAIFUL BUKHARI (MSB): Pada mulanya saya beritahu saya sakit perut dan sakit di bahagian dubur.

MY: Apa yang doktor buat?

MSB: Beliau suruh tanggalkan seluar dan baring atas katil dan meniarap.

MY: Sepanjang pengetahuan kamu, ada doktor gunakan apa-apa peralatan?

MSB: Beliau ada memasukkan sesuatu namun semasa beliau memasukkan benda itu, saya terus-terang dengan beliau bahawa saya telah diliwat dan mahu lakukan pemeriksaan.

MY: Bila beritahu apa yang telah berlaku, apa doktor buat?

MSB: Doktor tersebut terus berhenti pemeriksaan dan suruh saya pakai seluar.

MY: Ada kamu tanya kenapa doktor hentikan pemeriksaan?

MSB: Ya. Selepas selesai pakai seluar, beliau beritahu dua perkara. Pertama di hospital tersebut tiada kelengkapan untuk pemeriksaan forensik. Kedua, laporan hospital swasta tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah. Doktor arahkan saya untuk ke hospital kerajaan dan hospital terdekat ialah HKL.

MY: Dia arahkan atau cadangkan?

MSB: Dia cadangkan.

Mohd. Saiful Bukhari kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia menerima cadangan tersebut dan terus ke HKL sebelum diperiksa oleh sekumpulan doktor kira-kira pukul 9 malam.

Saksi yang juga pengadu kes tersebut memberitahu, terdapat beberapa orang berada di sampingnya ketika itu dan bertanya pelbagai soalan sebelum diperiksa.

Mereka terdiri daripada seorang doktor lelaki berketurunan Cina, dua doktor Melayu dan seorang doktor wanita Melayu yang sedang mengandung serta jururawat.

Seorang anggota polis yang kemudian dicamkan sebagai Supritendan Jude Pereira yang merupakan pegawai penyiasat kes berkenaan turut berada di OSCC.

Antara soalan-soalan yang ditanya menjurus kepada tujuan bekas pembantu peribadi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu datang ke hospital berkenaan, sama ada dia dicederakan dan tanda-tanda kecederaan.

MY: Bahagian mana badan kamu yang diperiksa?

MSB: Seluruh anggota dari rambut hingga ke kaki termasuk bahagian dubur.

MY: Ada mereka guna alat untuk periksa dubur?

MSB: Ada.

MY: Ada kesempatan melihat alat tersebut?

MSB: Tidak.

MY: Adakah semua doktor bahagi peranan untuk memeriksa atau semua periksa sekali?

MSB: Tak pasti.

MY: Selain daripada itu, ada apa-apa contoh diambil.

MSB: Banyak, saya tak ingat.

MY: Macam mana diambil.

MSB: Mereka menggunakan putik kapas (cotton bud) di bahagian badan, dubur dan leher.

Sementara itu, sebelum prosiding tamat, peguam utama Anwar, Karpal Singh yang mewakili Anwar memohon untuk melawat lokasi kejadian semula pada esok pagi ekoran pihaknya dan tertuduh tidak berkesempatan untuk melawat pejabat pengurusan yang menempatkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sewaktu lawatan ke pejabat pengurusan tersebut dibuat, Karpal dan barisan peguam bela yang lain serta Anwar dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah meninggalkan Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini.

Hakim Mohamad Zabidin bagaimanapun sempat berpatah balik ke tempat kejadian.

Perbicaraan bersambung esok dengan beberapa lagi soalan daripada pihak pendakwaan sebelum kesemua pihak yang terlibat melawat semula ke tempat kejadian.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: