Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

19.2.10

Rakyat digantung kes Anwar-Saiful


Hishamuddin Rais
Feb 19, 10
2:04pm

Akhirnya perbicaraan Anwar Ibrahim bermula. Perbicaraan ini satu kes ulang buat. Dalam dunia filem, ulang buat bukan sesuatu yang pelik dan menghairankan. Banyak filem yang diulang buat. Pengulangan ini kerana pembuatan pertama dianggap berjaya daripada hasil jualan tiket.

King Kong pertama kali dibuat pada tahun 1933. Filem ini diulang buat pada 1976 dengan minah cun Jassica Lange sebagai kekasih King Kong. Apabila teknologi komputer berkembang, sekali lagi King Kong diulang buat pada 2005.

Psycho, klasik seram, daripada kerja seni Alfred Hitchcock dibuat hitam putih pada tahun 1960. Kemudian pengarah Belanda, Gus Van Sant mengulang buat pada 1998. Ulang buat daripada kerja mamat Belanda ini cukup rapi. Dia meniru bingkai demi bingkai kerja seni mamat gemok Alfred Hitchcok. Dari filem hitam putih, Psycho baru telah menjadi berwarna-warni.

Lawak bodoh

Sayangnya kebanyakan filem yang diulang buat ini menjadi kantoi dan gagal. Psycho yang diulang buat dilihat sebagai lawak bodoh.

Nasib baik pengarah Belanda itu tidak membunuh diri kerana malu. Jassica Lange menyesal tetapi ketika itu dia belum ada pilihan. King Kong 2005 juga menjadi lawak yang dipenuhi dengan kerja komputer dan bukan kerja membuat filem.

Malah, apabila ada sahaja desas-desus sesebuah filem ingin diulang buat, maka akan muncul lawak-lawak mengatakan betapa kurangnya idea dan cerita baru dari Hollywood. Ada pengarah yang akan menyorokkan muka ke bawah bantal kerana malu tidak ingin terbabit dalam kes ulang buat ini.

Warga Malaysia kembali berlabon, bersembang dan berbincang apabila mendengar tuduhan terhadap Anwar. Akhirnya satu Malaysia ketawa dan tersenyum. Perbicaraan ini juga satu kes kerja ulang buat.

Tema sandiwara ulang buat ini cukup senang untuk difahami: Anwar wajib dimasukkan kembali ke dalam penjara kerana dia telah berjaya membawa satu politik baru untuk Malaysia. Politik baru ini telah mengikat satu setiakawan di antara PKR, DAP dan PAS.

Gabungan setiakawan tiga parti ini dipanggil Pakatan Rakyat - satu ikatan politik baru yang akan menggantikan United Malays National Organisations dan BN untuk mentabir Malaysia.

BN menahan marah

Pilihanraya 8 Mac 2008 telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia berani dan sanggup menerima satu perubahan budaya politik baru. Daripada nisbah kiraan undi, terbukti majoriti rakyat Malaysia telah memilih Pakatan Rakyat. Perkembangan ini menjadikan para gerombolan dalam BN terpaksa menahan marah.

Justeru, Pakatan Rakyat wajib ditumpaskan. Satu konspirasi wajib diwujudkan sekali lagi. Konspirasi ini bertujuan menumpaskan Pakatan Rakyat. Jalan pintas untuk memecahkan Pakatan Rakyat ialah dengan memenjarakan Anwar. Khalas. Finito.

Jika Pakatan Rakyat tidak ditumpaskan, maka segala pelesit yang selama berpuluh-puluh tahun ini menghisap darah rakyat akan menghadapi masa depan yang amat gelap. Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentabiran Malaysia, maka segala kerja jahat mereka - harta-harta rasuah mereka, kes samun dan kes bunuh mereka – semuanya akan diadili oleh rakyat.

Justeru kerana takutkan balasan ini, tidak dapat tidak Anwar wajib dipenjarakan sekali lagi. Apa sahaja yang wajib dilakukan akan dilakukan untuk memastikan Anwar masuk ke dalam sel sekali lagi. Inilah sebenarnya tema ulang buat sandiwara yang sedang kita lihat sekarang.

Kes ulang buat ini sama seperti kes pada 1998 dahulu. Seorang protoganis baru telah ditemui. Lokasi baru telah dikenali. Tetapi ulang buat ini masih menggunakan skrip lama. Apa yang telah diubah hanya dialog atau kata bual. Dialog kali ini dilihat agak gempar.

Dialog seorang supir

Banyak dialog telah diubah suai dan diperbaiki daripada kelam-kabut pengucapan kata bual seorang supir yang daya fikirnya sama seperti Zulkifli Noordin. Yang baru datang hanya si pereka set, si tukang lampu dan para pak pacak.

Manakala yang di belakang kamera pun masih orang-orang jahat yang lama. Ramai orang-orang jahat ini hampir pencen tetapi mendapat talian hayat untuk membuat 'the last bottom show'.

Jika kerja jahat ini gagal, mereka juga akan turut mati oleh serangan bom angin berjuta-juta rakyat Malaysia yang pada hari ini sedang menyimpan gas setelah lama memakan petai jeruk dan pengat labu.

Awas! warga Malaysia wajib sedar. Di belakang semua ini Mahafiraun. Mahafiraun amat sedar jika Anwar tidak dipenjara, maka yang akan masuk ke dalam penjara ialah Mahafiraun sendiri. Kes jahat Mahafiraun ini sudah berkepok-kepok. Kalau hendak dihitung tidak cukup pasir dan batu di Telok Kemang. Kalau hendak ditulis, dakwat seluas Laut China Selatan akan kering.

Kalau Anwar tidak dipenjara, Mahafiraun sedar dia sendiri akan tenggelam lemas dalam air ludah rakyat Malaysia. Justeru hari ini Mahafiraun akan melakukan apa sahaja termasuk mencari rambut palsu baru untuk isterinya. Semua kerja jahat Mahafiraun ini bertujuan untuk memastikan Pakatan Rakyat tidak akan dapat mentabir Malaysia.

Apabila Psycho keluar untuk pertama kali pada 1960, dunia filem gempar. Berpusu-pusu dan berbaris-baris kaki wayang datang untuk mengintai dada Janet Leigh yang basah dan mungil dalam babak mandi sebelum dibunuh oleh Mister Bates, lakonan Anthony Perkins.

Lawak seram

Apabila Psycho diulang buat, tidak ada sesiapa yang percaya lagi tentang keupayaan pengarah barunya. Ia dilihat sebagai lawak seram yang tidak menyeramkan.

Perkara yang sama sedang berlaku pada kes Anwar. Apabila kes Anwar diulang sekali lagi di mahkamah, kelihatan tidak ada satu babak pun yang akan memeranjatkan warga Malaysia lagi.

Sebenarnya warga Malaysia berasa hiba dan pilu, bukan untuk Anwar tetapi untuk pakar konspirasi yang dilihat amat bodoh. Warga Malaysia terpaksa bersimpati sedih atas kebodohan pihak yang merancang konspirasi ini.

Bayangkan betapa sedihnya tanah air kita hari ini. Sebuah negara yang penduduknya berjumlah hampir 30 juta orang sedang terumbang-ambing. Masa depan negara dengan 30 juta warga sedang bergantung kepada satu lubang.

Sedih lagi pilu. Ratap lagi meraung. Ia menjadi talian hayat Najib Razak. Kes ini menjadi garis ekonomi negara kita - naik turunnya Bursa Saham Kuala Lumpur sama seirama dengan tekanan perbicaraan ini. Sistem pertahanan negara kita ini juga bergantung kuat dengan berapa lamanya ia bertahan.

Dalam sejarah tamadun dunia, perkara ini tidak pernah berlaku. Tiongkok dipertahankan daripada serangan Mongol bukan melalui kes seks tetapi melalui Tembok Besar China. Alhambra dipertahankan dan berkembang sebagai tamadun bukan melalui kes seumpama ini tetapi melalui ilmu dan falsafah.

Lucah dan meloyakan

Inilah hakikat yang sedang berlaku ke atas negara kita hari ini. Tidak ada tangisan yang akan dapat mengalihkan hakikat ini. Memang betul, bunyinya lucah dan meloyakan. Malu lagi memualkan.

Lucah dan meloyakan terjadi kerana pada ketika ini United Malays National Organisation sedang cuba menarik nafas untuk mendapat talian hayat dengan menghidu rapat kepada kekuatan kes ini. Kemenangan kes ini diharapkan akan menyambung kembali nyawa United Malays National Organisation.

Kita tunggu dan lihat apabila keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan ini terbarai setelah ia tidak membuang hampas busuk selama 52 tahun. Tiga puluh juta warga Malaysia wajib bersedia. Hampas busuk ini akan bertaburan. Ketawa salah, hendak menangis pun kita tidak berair mata lagi.

Tiada ulasan: