|
Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuannya agar mahkamah membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut memfailkan notis usul untuk menangguhkan perbicaraan kes, yang sedang berjalan, sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan itu didengar di Mahkamah Persekutuan.
Disertakan bersama notis rayuan adalah afidavit Anwar.
Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar@Izhar Ma''ah sebulat suara menolak rayuan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.
Mereka memutuskan bahawa Anwar gagal membuktikan bahawa pertuduhan atau pendakwaan terhadap beliau bersifat tidak adil dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan sehingga 25 Mac sementara menunggu rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya supaya Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan