Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

18.2.10

Seks haram: Hentikan 'wabak' merotan


Feb 18, 10 11:55am

Tindakan Jabatan Penjara merotan tiga perempuan Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram dianggap satu diskriminasi terhadap wanita.

Sisters in Islam (SIS) mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Dalam kenyataan akhbarnya hari ini, Pengarah Eksekutif SIS Hamidah Marican (kiri) berkata memandangkan beberapa isu syariah berhubung perlaksanaan hukuman seperti kes Kartika Sari Dewi Shukarnor yang masih belum selesai, tindakan kerajaan itu dipertikaikan.

“Dengan melaksanakan hukuman itu, secara tidak langsung, ia menggambarkan kerajaan cuba menyembunyikan layanan tidak adil dan memalukan ini daripada pengetahuan umum, katanya

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram).

Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini..

SIS menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (kanan) untuk segera bertindak bagi mengatasi masalah yang timbul akibat hukuman merotan itu dan juga kes Kartika.

Kerajaan juga, menurut beliau perlu mengkaji semula sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan.

'Rotan tidak efektif'

“Kajian juga menunjukkan merotan bukan hukuman yang efektif bagi menjamin kesalahan jenayah seksual atau keganasan tidak akan berulang,” katanya.

Turut membidas tindakan merotan oleh kerajaan ialah Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam).

Dalam kenyataan akhbarnya, Awam menuntut Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengapa hukuman dijalankan secara rahsia.

Presidennya, Sofia Lim Siu Ching berkata hukuman itu dijalankan dengan niat jahat dan bertentangan dengan kepentingan awam yang mendapat perhatian seluruh dunia.

"Menteri Dalam Negeri perlu menjelaskan mengapa hukuman dijalankan tergesa-gesa sedangkan beberapa persoalan berhubung kes Kartika masih belum selesai," katanya.

Tamatkan 'wabak' merotan

Kumpulan hak

asasi manusia antarabangsa, Amnesty International (AI) juga mahukan Malaysia menamatkan segera apa yang dilabelkan mereka sebagai 'wabak merotan'.

AI juga mendakwa pihak berkuasa di negara ini telah merotan ribuan lelaki selain kes berprofail tinggi tiga wanita berkenaan.

Kumpulan yang berpangkalan di London itu berkata lebih 35,000 orang, kebanyakan mereka bukan rakyat Malaysia - dirotan atas kesalahan imigresen sejak 2002.

Menurut timbalan pengarah Asia-Pasifik AI, Donna Guest "ribuan kes berkenaan merujuk kepada wabak merotan yang mula berleluasa di Malaysia."

"Kerajaan Malaysia perlu menghapuskan hukuman merotan yang memang kejam dan zalim tanpa mengira apa jua kesalahan mereka," Katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Hukuman kuno

Majlis Peguam dengan keanggotan 13,500 ahli juga membidas tindakan merotan tiga wanita berkenaan.

Menurut badan perundangan itu, ahli-ahlinya telah meluluskan satu resolusi tiga tahun yang menolak sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana beranggapan ia hukuman kuno dan tidak selaras dengan konsep masyarakat penyayang.

Pendapat kami selaras dengan norma-norma hak asasi antarabangsa yang membantah hukuman merotan dan juga hukuman membabitkan bentuk jasmani yang dianggap kejam, tidak berperikemanusiaan serta memalukan.," kata pengerusinya, Ragunath Kesavan (kanan).

Tambahnya lagi, hukuman merotan ke atas wanita adalah juga bertentangan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

"Adalah memeranjatkan, kerajaan hanya mengumumkan perkara itu (merotan tiga wanita berkenaan) setelah hukuman sudah dilaksanakan," katanya juga dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

MalaysiaKini

RangBul@n:

Tidak dinyatakan berapa sebatan dikenakan terhadap tiga wanita ini. Ikut mengikut Hukum Hudud pastinya sebanyak 100 sebatan di kalayak ramai. Jika tidak bertepatan RangBul@n berpendapat adalah tidak bertepatan dengan ajaran pun anjuran agama Islam.

Bagaimana pun adalah tidak adil mengatakan hukuman merotan ini adalah hukuman kuno jika Islam menganjurkan sedemikian dalam beberapa perkara keruntuhan moral berzina bagi yang bujang, pun memfitnah zina. Rotan yang dianjurkan oleh Islam adalah amat berbeda dengan rotan yang lazim dilakukan oleh mahkamah sivil.

Pesalah syariah insaf selepas dirotan
Feb 18, 10 6:24pm

Tiga wanita yang menjalani hukuman sebat syarie menyatakan rasa reda dan insaf mereka terhadap kesalahan yang dilakukan selepas pelaksanaan hukuman pada 9 Februari lepas di Penjara Wanita Kajang.

Pengakuan mereka dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berdasarkan maklum balas yang diterima.

"Mereka melahirkan rasa keinsafan sebab mereka merasakan hal ini melepaskan diri mereka daripada dosa dan rasa bersalah kepada Allah SWT," katanya kepada pemberita semasa Program Pemukiman agensi di Jabatan Perdana Menteri di Genting Highlands hari ini.

Jamil berkata, mereka kini sedar perbezaan antara sebatan syariah dan sivil, selain terharu selepas mengetahui apa yang didengar tentang sebatan syariah sebelum ini ternyata tidak benar.

Sebatan syariah tak sama sebatan sivil

"Kata mereka, 100 sebatan syariah tidak sama walaupun dengan satu sebatan sivil. Dia rasa keinsafan kesedaran sehingga dia memohon supaya rakan-rakan yang lain untuk tidak melakukan kesalahan seperti yang dilakukan mereka," katanya.

Ketiga-tiga mereka turut diberi khidmat kaunseling dalam konteks keagamaan sebelum dan selepas menerima hukuman bagi menyedarkan mereka tentang kesalahan yang dilakukan.

Tiga pesalah wanita itu dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar nikah.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh pelaksanaan hukuman sebat dan membuktikan kerajaan serius mahu melaksanakan hukuman itu.

"Pelaksanaan ini (hukuman sebat syarie) menyangkal pandangan sesetengah pihak yang menggambarkan seolah-olah hukuman sebat adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan," kata Presidennya, Mohamad Isa Abdul Ralip, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu takut dengan hukuman sebat syarie kerana ia sebenarnya bertujuan mendidik, memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah.

Mohamad Isa berkata, hubungan sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor harus disegerakan bagi mengelakkan orang ramai memandang rendah institusi keadilan Mahkamah Syariah.

- Bernama

Tiada ulasan: