KUALA LUMPUR 9 Feb. – Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi ditangguhkan hari ini bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan beliau agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada mendengar kes tersebut.
Peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berkata, pihaknya perlu membalas afidavit jawapan tersebut yang difailkan oleh pihak pendakwaan petang semalam.
Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 9.30 pagi esok untuk mendengar permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.
Ini kali kedua perbicaraan yang sepatutnya disambung semula semalam, terpaksa ditangguhkan setelah Anwar memohon supaya hakim Mahkamah Tinggi berkenaan menarik diri daripada mendengar kes tersebut.
Permohonan itu dikemukakan setelah Anwar mendakwa wujudnya elemen berat sebelah apabila hakim berkenan tidak mengambil tindakan menghina mahkamah dan memberi amaran terhadap Utusan Malaysia.
Perbicaraan yang bermula 3 Februari lalu masuk hari kelima hari ini.
Terdahulu, Karpal berhujah, pihaknya perlu menjawab afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang menafikan kandungan tertentu dalam afidavit Anwar.
Berikutan itu, beliau meminta nota prosiding mahkamah dibekalkan kepada mereka.
Mohd. Yusof pula membangkitkan isu bagaimana kandungan afidavit jawapannya yang difailkan semalam telah disiarkan di akhbar hari ini sedangkan ia belum dikemukakan di mahkamah terbuka.
‘‘Berdasarkan Akta Profesion Guaman 1976, kandungan sesuatu afidavit tidak boleh disiarkan selagi ia belum dibaca di mahkamah terbuka,’’ katanya.
Ujarnya, ini kerana mungkin terdapat fakta-fakta melampau dalam sesuatu afidavit yang telah difailkan, ingin diketepikan oleh pihak-pihak berkaitan selepas itu.
Sehubungan itu, Mohd. Yusof meminta mahkamah mengingatkan media agar membuat laporan yang betul.
Bagaimanapun, Karpal memaklumkan, berdasarkan keputusan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin, dokumen mahkamah akan menjadi dokumen awam sebaik sahaja ia difailkan dan dengan itu isi kandungannya boleh dilaporkan oleh pihak media.
Hakim Mohamad Zabidin kemudiannya mengambil kesempatan untuk mengingatkan pihak media.
‘‘Saya tidak mahu dilihat menceroboh kebebasan akhbar. Saya percaya kepada kebebasan akhbar tetapi bukan bermakna akhbar boleh membuat laporan yang tidak tepat.
‘‘Jika akhbar melaporkan perkara yang tidak tepat, akan ada akibat yang bakal diterima. Sekiranya pihak-pihak berkaitan mengambil tindakan dan mahkamah mengenakan hukuman, jangan pula menyalahkan mahkamah dan menyatakan bahawa mahkamah menyekat kebebasan akhbar,’’ katanya.
Berhubung rasa tidak puas hati Karpal terhadap pegawai polis dari Unit Cawangan Khas, menurut hakim itu, mereka mempunyai hak untuk mengikuti prosiding itu tetapi perlu duduk di galeri awam dan bukannya di kawasan yang menempatkan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding.
Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Perbicaraan kini di peringkat pemeriksaan balas pihak pembelaan terhadap Mohd. Saiful Bukhari yang merupakan saksi pendakwa pertama yang juga pengadu dalam kes tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan