Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

18.2.10

Blog cetus minat modifikasi

Melalui blog, Zairul Faiz membantu kawan-kawannya mencari pelanggan untuk kerja-kerja modifikasi kereta.


ATAS: Enjin yang diubah suai perlu menepati syarat prestasi dan keselamatan.


RUANG bengkel milik syarikat Hikmat Ulung Sdn. Bhd. tidak gah seperti kebanyakan bengkel kereta lain apatah lagi lokasinya di celah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Cerakah, Puncak Alam, Selangor tersorok daripada pandangan dan pengetahuan ramai.

Tetapi, jangan terkejut sekiranya anda melihat kereta yang 'bersusun' menunggu giliran untuk diuruskan. Para mekaniknya pula bagaikan tidak cukup tangan menyelenggara dan membuat kerja-kerja modifikasi.

Kereta-kereta yang mendapatkan perkhidmatan di bengkel ini pula bukan calang-calang. Daripada kereta Perodua dan Proton hinggalah model BMW dan Mercedes serta Evolution, semuanya datang ke sini.

Sekiranya ada antara para peminat kereta yang pernah melayari blog azam97.wordpress.com, pasti akan disaran untuk mendapatkan perkhidmatan ubah suai kereta, tukar enjin, membaiki dan mengecat kereta di bengkel ini.

Ini kerana, Zairul Faiz Mohd. Dzomir, 28, bukan sahaja pelanggan tetap tetapi secara sambilan membantu bengkel tersebut mempromosikan perkhidmatannya melalui blog tersebut yang dikendalikan bersama abangnya.

"Saya bantu kawan-kawan yang bekerja di bengkel ini secara sambilan sahaja. Masa mula-mula buka blog ini pun hanyalah sekadar suka-suka tetapi selepas itu ramai orang telefon untuk dapatkan servis modifikasi kereta.

"Jadi, saya akan beri cadangan kepada mereka untuk dapatkan servis dan modifikasi kereta di sini selain membawa mereka berjumpa dengan mekanik untuk mendapatkan nasihat tertentu mengenai kereta," jelas bekas pelajar jurusan automotif ini.

Tambah Zairul, dia tidak lokek untuk berkongsi pengetahuan, nasihat atau tip tentang kereta dengan pengunjung blognya kerana merasakan pengalaman itu sangat menyeronokkan selain berpeluang menambah kenalan.

"Memang seronok apabila ramai pengunjung blog menelefon dan bertanya itu dan ini mengenai kereta. Lebih istimewa, ada di kalangan mereka yang telah mendapatkan servis modifikasi di sini akan menjadi kawan dan pelanggan tetap lantaran sentiasa berhubung.

"Apatah lagi apabila sama-sama minat bercakap tentang topik yang sama iaitu kereta," katanya yang turut menghabiskan RM20,000 untuk modifikasi keretanya sendiri.

Sekiranya punya kelapangan waktu, Zairul juga tidak keberatan untuk membawa sendiri pelanggan kali pertama ke bengkel tersebut.

Hobi mahal

Sekadar mahu mengingatkan mereka yang gemar pada hobi modifikasi kereta, perkara paling penting untuk aktiviti ini adalah penyediaan wang yang secukupnya memandangkan ia menuntut pelaburan yang bukan sedikit.

"Bagi mereka yang serius inginkan modifikasi kereta yang memuaskan dan mempunyai impak, banyak wang perlu dilaburkan tetapi hasilnya pasti menggembirakan.

"Ini kerana, bagi mereka yang gila kereta, sekali modifikasi pasti tidak cukup. Ramai pelanggan di sini tidak datang hanya sekali. Mereka pasti datang buat kali kedua dan seterusnya," jelas Zairul.


BERMULA dengan hobi di blog, Zairul kini mempunyai rangkaian hubungan yang luas.


Setelah menjalani proses ubah suai, tidak bermakna pemilik kereta bebas memandunya di jalan raya sebelum ujian keselamatan dijalankan.

Sebagai perkhidmatan bernilai tambah kepada pelanggan, Zairul akan menyelesaikan urusan pemeriksaan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi setiap kereta yang telah diubah suai.

"Pelanggan tidak perlu susah-susah fikir. Selepas lulus pemeriksaan di Puspakom barulah mereka ambil kereta dan tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan kereta.

"Tambahan pula, ada pelanggan yang tidak tahu mengenai kereta dan memerlukan pandangan mengenai modifikasi yang selamat sepenuhnya," katanya.

Tegas Faiz, kereta yang dimodifikasi bukan bertujuan untuk menyertai perlumbaan haram. Ia sekadar hobi istimewa dan pemandu sering diingatkan tentang sikap bertanggungjawab.

"Memang kereta yang diubah suai ada impak tetapi janganlah sampai masuk lumba haram. Pemandu mesti cermat dan mengamalkan gaya pemanduan yang selamat supaya tidak membahayakan sesiapa.

"Apa pun, kereta yang telah dimodifikasi mestilah mendapatkan pemeriksaan Puspakom bagi menjamin 'kelulusannya' di atas jalan raya," jelasnya.

Kosmo!

Tiada ulasan: