SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah
meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh
rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS
telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap
‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam
melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990,
kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat
kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS
telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25
peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini
meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga
penyelidik.
Sebenarnya, kemunculan PAS
dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951
apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan
sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama
persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS)
pada 24 November 1951, dalam satu
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang
berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul
Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan.
Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui
para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Kesedaran
yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan
atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan
terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika
itu. Longgokan kesedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi
Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948
kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar
al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung
Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun
1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap
selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik
kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi
pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah
mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan
isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti
Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff,
Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai
Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan
beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan.
Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya
Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu
umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih
lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu
pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan
lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh
Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka
telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi
politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para
ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi,
seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang
dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi
menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951.
Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam
yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah
membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak
bentuk-bentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan
manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang
memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi
pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan
mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan
orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji
Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan
yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang
merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara
yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih
kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya
terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’
dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan
terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara
Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha
suci”2.
Penyertaan PAS dalam
pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan
Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh
Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di
Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan
di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya
yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di
Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik
kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN
mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah
satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk
memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima
tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr
Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda
Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS
untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah
dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS
menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang
lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama
Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada
beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura
antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969
yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd
Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965
telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka
kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara,
mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan.
PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran
PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional
(BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan
PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga
membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih
berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan
politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan
melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan
pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977
yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut
kehilangan Kelantan.
Setelah melalui
tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa
berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA
dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan
ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk
memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan.
Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas
perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan
terhadap kewajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih
tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus
membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis
Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah
disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam
seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan
Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan
lain-lain.
Paling mencabar pada era
kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku
pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan
Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula
tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS.
Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga
parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd
Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik
dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula
di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan
Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin
kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’,
PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah
yang berada dalam bidang kuasanya.
Pada
1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang
menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989
berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan
ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya
gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat
Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian
menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya
merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu
sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum
Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga
kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS
dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu
Islam.
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini,
PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu
Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias
(1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd
Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil
Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS
ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu
kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri
(1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan
ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka
mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap
kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak
(1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula
(1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan
PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan
ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa
pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan