Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

28.4.13

Pengundi Profesional & Fitnah saat akhir

5 Mei 2013 semakin menghampiri. Anda semua dan saya ada beberapa hari sahaja lagi. Untuk menganalisa dan mengkaji. Untuk mengundi. Siapakah calon wakil rakyat pilihan hati. Natijah undian boleh membawa negara ke arah kemakmuran, tetapi kalau tersalah, merisikokan negara ke arah kerosakan yang berterusan. Justeru, jangan sekali ambil ringan, jangan sekali tersilap keputusan.

Nasihat saya ini khusus dituju kepada generasi muda. Juga buat mereka yang dikatakan atas pagar dan dari kalangan orang biasa yang tidak mendalam ilmu agama khusus dalam soal yang sedang dibicara.

Undilah kerana (mencari keredaan) Allah, yang maha berkuasa. Parti dan calon manakah yang diredai-Nya. Syaratnya! Syaratnya! Jadilah bijaksana supaya tidak mudah terpedaya. Hanya pilihan orang berilmu dan diberi hidayah akan membuat pilihan yang hak dan benar. Analisa dengan ilmu dan mohonlah hidayah untuk memilih ‘permata’ bukan ‘kaca’. Inilah pengundi professional yang berprinsipkan:-

”..dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Surah –al-Israa’ : 36) dan “ … yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah –al-Zumar : 18)

Logik mudah, orang Islam yang baik dan beriman perlu diundi berbanding orang Islam yang tidak baik dan tidak amanah. Faham,kan. Tapi pada perkara yang susah dan mengelirukan kita mesti mendapatkan pandangan dua atau lebih ilmuan yang dipercayai. Contoh dalam isu calon orang islam vs. calon bukan Islam, calon bukan Islam vs. calon bukan Islam. Contoh

(1) bagaimana kalau calon bukan Islam yang ada kerjasama dengan parti Islam yang baik vs. calon orang Islam dari parti yang kemungkarannya banyak diketahui dan kesungguhannya untuk Islam telah diragui.

(2) Calon bukan Islam yang bekerjasama dengan parti yang Islam tidak dicintai vs. calon bukan Islam yang bekerjasama dengan parti orang Islam yang Islam dicintai, yang al-Quran dan al-sunnah adalah perlembagaan parti. Begitu juga dalam isu-isu sensitif seperti isu kalimah Allah dan lain-lain. Sekiranya parti yang sekian lama beriltizam dengan Islam telah dipertikaikan oleh parti yang tidak serius dalam menegakkan Islam, menyebabkan anda terkeliru, maka anda perlu dapatkan penjelasan daripada ulama parti itu.

Contoh; rujuklah kepada penjelasan Dato Prof. Dr. Haron Din dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan keterangan dari ilmuan bersifat wasatiyah dan popular seperti Dr. Zaharuddin, Dr. Zahazan, Dr. Zulkifli al Bakri. Kredebiliti yang diketahui dan dikenali.

Ini dia nak cerita! Hari itu 24 April (Rabu) berlaku sesuatu yang mendesak saya untuk menulis perkara ini. Mengapa? Rumah bapa saya di sebuah kampung kecil di Melaka telah dicampakkan sebuah bungkusan. Ingatkan bungkusan hadiah, rupanya bungkusan fitnah. Saya percaya rumah-rumah orang kampung yang lain menerima bungkusan yang sama. Bukti, terdapat bungkusan yang sama (belum dikutip) didepan sebuah rumah kayu kecil yang serba kekurangan (bertutup-penghuni keluar).

Bungkusan ini mengandungi nota-nota layang dan 4 keping VCD yang tentulah tidak lain melainkan memburukkan pihak satu lagi. 1 VCD mengenai Mat Sabu pengkhianat negara. 1 VCD tentang ustaz Fathul Bari, 1 VCD pula pada gambar luarnya kelihatan berunsur lucah, apa tidaknya, ditulis juga ‘skandal seks’.

Mungkin fitnah berkaitan tokoh pembangkang. Hanya vcd ustaz UMNO ini yang saya berminat untuk bicarakan, yang lain lebih baik terus dibuang. Ustaz muda UMNO ini membicarakan tentang antaranya isu doa melaknat UMNO dan memberikan hujahnya dalam menafikan kewajaran doa itu.

Saya suka melihat beliau merujuk kepada ayat Quran, hadith serta kisah sahabat tetapi persoalannya kefahaman dia dan usaha mengaitkan dengan realiti semasa, kejujuran dan keadilan dia dalam memfokus masalah sebenar, itu yang menjadi isu dan pertikaian.

Manakala nota-nota layang pula kebanyakannya memburukkan DAP di kaca mata umat melayu, orang kampung. Biasalah tektik sebegini iaitu orang melayu ditakutkan dengan kecinaan, orang cina ditakutkan dengan kemelayuan. Sedangkan banyak kes kerugian projek berkaitan harta kerajaan (atau sebenarnya harta rakyat) bukankah menyaksikan adanya hubungan kerjasama antara kaum berbeza dalam politik, meniaga dan kuasa?

Saksikan juga video menarik di youtube (the banker who knew too much) tentang siasatan tragedi pembunuhan al-marhum Jalil Ibrahim dan skandal kerugian sgt besar berkaitan Bank Bumiputera, puluhan tahun yang lalu.

Pada pandangan saya, logik mudah ialah terdapat kemungkinan munasabah bahawa orang-orang biasa yang tidak jelas atau masih keliru dalam isu-isu tertentu boleh menjadi lebih terkeliru dan terpedaya lalu percaya. Ini kerana 3 sebab mudah,

(1) Isikandung nota dan VCD itu telah disunting , diadun dan direka bagi tujuan memburukkan pihak yang ditentang

(2) Pihak yang di’kenakan’ itu tidak berpeluang menjawab dan mempertahankan diri atau menyerang kembali

(3) boleh menyebabkan orang menjadi keliru, lalu terpedaya untuk membuat pilihan yang salah dan apabila kebenaran diperolehi, semuanya sudah terlambat. Kekallah apa yang tidak diingini. Sepenggal lagi. Jelas, orang-orang kampung cuba diperdaya dengan cara yang tidak adil dan saksama.

Sebenarnya dalam isu ini, untuk kita buat analisa tidaklah susah. Kalau kita relaks sekejap , dan benarkan otak kita berfungsi secara fitrah. Kita akan mendapat jawapannya dengan menggunakan kaedah ‘logik-mudah’. Logik mudah menyatakan :-

(1) Penyebaran mencampak bungkusan ini adalah tektik kotor dan hina. Cubaan mengelirukan dan memperdayakan manusia. Cara yang salah dan mengundang dosa.

(2) Kos buat ini berapa? Kalau kata orang satu VCD cetak rompak berharga RM5.00, kos printing bagi nota sebesar A4 size, bercetak depan belakang, berwarna, lebih 12 helaian. 1 bungkusan ada 2 buku nota ini. Kalau 1 bungkusan boleh mencapai kos RM30-00. Bayangkanlah kalau dibuat 500 bungkus. Sendiri kiralah.

(3) Sukar dikata manusia yang menyebarkan ini yang mengeluarkan kos melainkan mereka dipercayai dibayar. Maka, ada peruntukan atau pembiaya. Persoalannya adakah ia dilakukan dengan biayaan, dengan arahan, dengan kebenaran atau dengan keredaan calon tertentu berkenaan? Kalau dilakukan oleh pihak pembiaya yang kaya , untuk apa, untuk siapa, untuk manfaat bagaimana? Semua boleh menjawab dengan mudah dengan kaedah logik mudah. Just let your brain work in its natural course, all will be crystal clear.

(4) Satu kesilapan besar yang memakan diri dalam penyebaran bungkusan fitnah ini ialah bila mereka mencampuradukkan dan menyatukan antara VCD berunsur agama (yang ada nas alQuran dan al-Sunnah/hadis nabi) oleh ustaz mereka dengan VCD yang bersifat fitnah dan VCD yang berunsur lucah. Tidakkah ia suatu kejahilan, kekotoran dan kebatilan yang telah digaulkan bersekali dengan perkara agama? Asal boleh punya kerja.

(5) Manakala bagi isu agama yang dibangkitkan oleh ustaz muda itu biarlah para ilmuan yang menjawab. Saya percaya mereka telah menjawab. Dapatkan jawapan berkualiti, berhujah nas dan dalil al- Quran dan al-sunnah daripada ilmuan-ilmuan Islam yang lain. Rujuklah ‘professor’ Google dan carilah di youtube.

Cuma satu lagi sahaja. Hairannya kini banyak kepelikan dan kekeliruan dalam isu-isu agama dibangkitkan termasuk oleh beberapa manusia yang dipanggil ‘ustaz’. Isu Islam ditindas, isu kalimah Allah tidak diperjuangkan, isu murtad yang berleluasa, isu keruntuhan akhlak generasi muda, isu hukum hudud yang dilupa dan tidak dilaksana.

Hairannya, hairannya, hairannya kesalahan ditujukan kepada pihak yang tidak memerintah atau yang tidak memegang kuasa. Saya nak tanya satu sahaja, ni semua, semua-semua ini, (isu-isu agama di atas) -

Ini semua, semua ini berlaku dalam zaman siapa? Zaman pemerintahan siapa? Siapa yang ambil tampuk kuasa dari penjajah dan diberi amanah sehingga kini untuk memerintah? Tak cukup lama kah? Jadi kegagalan ini, kegagalan siapa? Sebenarnya?

(6) Kini, setelah sekian lama. Salahkah seseorang itu, kalau dirinya yang telah lama kecewa, dengan layanan yang diberi kepada agama kecintaannya, seperti merasa benar terhadap apa yang kini begitu popular dikata.

….Cukuplah! Ini kali lah! Kerana-Nya, ini kali-lah!

-hisham-ahmad.blogspot.com

Tiada ulasan: