19.4.13
PECAH BERITA! Umno Cuma Berani Bertanding 10 Kerusi Parlimen Di Selangor!
Posted on Saturday, April 20 @ 08:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Blog Jalan Pulang
Heboh dicanang ke seluruh dunia kononnya atas semangat mempertahankan ketuanan Melayu, Umno sebaliknya hanya mampu menurunkan 10 calon parlimen daripada 26 kerusi yang akan ditandingi menjelang hari penamaan calon.
Sedangkan Pakatan Rakyat jauh meninggalkan Umno dengan menyenaraikan 13 calon parlimen, iaitu separuh dari 26 jumlah kerusi parlimen keseluruhan di negeri ini yang akan ditandingi calon PAS dan KEADILAN.
Berikut menunjukkan bukti 13 kerusi parlimen yang ditandingi calon Melayu dari PAS dan KEADILAN di negeri termaju di Malaysia ini.
P 092 - Sabak Bernam - Dr Abdul Aziz Bari (KEADILAN)
P 093 - Sungai Besar - Mohd Salleh Husin (PAS)
P 094 - Hulu Selangor - Khalid Jaafar (KEADILAN)
P 095 - Tanjong Karang - Dr Mohd Rashidi Deraman (PAS)
P 096 - Kuala Selangor - Dr Dzulkefly Ahmad (PAS - penyandang)
P 098 - Gombak - Azmin Ali (KEADILAN - penyandang)
P 099 - Ampang - Zuraida Kamaruddin (KEADILAN - penyandang)
P 100 - Pandan - Rafizi Ramli (KEADILAN)
P 101 - Hulu Langat - Dr Che Rosli Che Mat (PAS - penyandang)
P 108 - Shah Alam - Khalid Samad (PAS - penyandang)
P 111 - Kota Raja - Dr Siti Mariah Mahmud (PAS - penyandang)
P 112 - Kuala Langat - Abdullah Sani Abdul Hamid (KEADILAN - penyandang)
P 113 - Sepang - Hanipa Maidin (PAS)
Sebagai perbandingan, ini pula merupakan senarai 10 calon Umno yang akan bertanding menentang calon Pakatan Rakyat:
P 092 - Sabak Bernam - Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Umno)
P 093 - Sungai Besar - Noriah Kasnon (Umno)
P 095 - Tanjong Karang - Noh Omar (Umno)
P 096 - Kuala Selangor - Irmohizam Ibrahim (Umno)
P 098 - Gombak - Raman Ismail (Umno)
P 099 - Ampang - Dr Rozaidah Talib (Umno)
P 101 - Hulu Langat - Adzhaliza Mohd. Nor (Umno)
P 108 - Shah Alam - Zulkifli Noordin (Umno)
P 112 - Kuala Langat - Sharuddin Omar (Umno)
P 113 - Sepang - Mohd Zain Mohamed (Umno)
Tiga lagi kerusi parlimen yang tidak ditanding Umno ialah di Hulu Selangor, Pandan dan Kota Raja.
Kesemua kerusi berkenaan ditanding sama ada calon dari MIC atau MCA.
Ternyata Umno terus mengkhianati orang Melayu secara tidak sedar walaupun mengetahui Pakatan Rakyat akan meletakkan calon Melayu lebih ramai di seluruh negara.
Pakatan Rakyat akan meletakkan 145 calon Melayu keseluruhan termasuk DAP yang turut menyenaraikan tiga calon parlimen Melayu di Bukit Bendera, Raub dan Tanjong Piai berbanding hanya 131 dari Umno dan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) di kerusi parlimen Sarawak.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebentar tadi melahirkan rasa syukur dan terharu atas kesudian DAP menggunakan lambang parti PAS sempena penamaan calon pilihanraya umum ke-13 yang akan dilangsungkan esok.
Dengan tajuk "Penggunaan Logo PAS Oleh Calon DAP : Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan" di laman Facebook miliknya, Tuan Guru Nik Aziz menyifatkan ia sudah memecah benteng agama dan perkauman kerana slogan PAS For All benar-benar direalisasikan.
Sambil mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Makkah, Tuan Guru Nik Aziz juga berkata kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.
Di saat itulah tambah Tuan Guru Nik Aziz, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah.
Berikut pula merupakan kenyataan media Tuan Guru Nik Aziz.
KENYATAAN MEDIA MURSYIDUL AM PAS
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam pilihanraya umum 5 Mei ini.
Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.
Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari.
Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman.
Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.
Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan.
Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional.
Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya.
Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.
Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya.
DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.
Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Mekkah.
Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.
Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah.
Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.
Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim.
Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All.
Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.
Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS.
Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam.
Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar.
Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru.
Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.
Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!
Salam hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013M
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan