Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

20.6.13

'Tindakan boleh diambil jika penumpang enggan bayar caj 10%'



Tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mana-mana penumpang yang enggan membayar caj tambahan 10 peratus seperti yang dibenar oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kata Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Beliau berkata tindakan juga boleh diambil terhadap mana-mana pengusaha bas yang mengenakan caj lebih.

"(Sehubungan itu) Saya menyeru kepada penumpang dan pengusaha bas supaya menerima caj tambahan 10 peratus seperti yang dibenarkan oleh SPAD.

"Saya menggesa semua penumpang dan pengusaha bas untuk mematuhi pengumuman SPAD ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lepas, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan suruhanjaya itu bersetuju pengendali bas ekspres mengenakan caj tambahan 10 peratus bagi musim perayaan akan datang.

Beliau berkata kelulusan caj tambahan itu dikenakan bagi semua perjalanan dari 8 Julai hingga 8 September tahun ini, merangkumi semua perkhidmatan bas ekspres dan bas tambahan.

Syed Hamid berkata langkah itu dapat membantu dan menampung kos operasi syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan tinggi daripada pengguna, terutama semasa musim perayaan.

Mengulas permintaan persatuan itu untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres, Mohamad Ashfar berkata perbincangan secara terperinci telah diadakan dengan SPAD semalam.

"SPAD telah menjelaskan bahawa satu kajian terperinci perlu dijalankan untuk dikemukakan kepada Kabinet.

"Kabinet akan memberi kelulusan bagi sebarang kenaikan tambang bas dan proses itu mungkin akan mengambil masa beberapa bulan," katanya.

Mohamad Ashfar juga berkata tiada undang-undang yang menyatakan pengusaha bas perlu menjual tiket lebih awal sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata langkah itu merupakan perkhidmatan yang disediakan pengusaha bas secara individu berdasarkan model perniagaan mereka sendiri.

"Oleh itu, untuk perjalanan semasa perayaan Aidilfitri, pengusaha bas akan mula menjual tiket lebih awal berdasarkan model perniagaan mereka," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pengusaha bas akan memastikan bilangan bas mencukupi bagi membolehkan semua orang pulang dengan selamat semasa perayaan Aidilfitri.

-Bernama

Tiada ulasan: