Black 505
 MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
22 Jun 2013

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mendakwa tujuan himpunan Black505 adalah untuk membuktikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa rakyat bersama PR membantah keputusan PRU13.

"Kita tidak rela ditipu oleh SPR, kita mahu pengerusi dan timbalan pengerusi SPR letak jawatan," katanya ketika memberi ucapan sempena himpunan Black505 di Padang Merbok.

Beliau pada masa sama menolak kenyataan bahawa himpunan berkenaan bertujuan untuk mewujudkan suasana huru hara dan cuba mencetuskan provokasi di Kuala Lumpur.

"Mereka kata akan berlaku huru hara, tetapi kita lihatlah sendiri hari ini, suasananya sungguh aman dan tenang," katanya.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor turut menyatakan bahawa kuasa rakyat sudah diiktiraf kerana rakyat dibenarkan secara aman untuk berhimpunan di Padang Merbok.

"Bila mereka membenarkan rakyat masuk dalam Padang Merbok, maknanya kuasa rakyat semakin diiktiraf.

"Kalau dulu rakyat  disembur dan ditembak, tetapi kini mereka sudah tidak buat dah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menambah tujuan himpunan ini juga adalah bagi mendesak semua kawasan yang dihantar petisyen diadakan semula pilihan raya.

"Kita mintak semua kawasan yang ada petisyen sama ada dari PR dan BN buat balik PRU kecil, setakat ini ada 50 kawasan," katanya.

Himpunan ini juga katanya sebagai amaran supaya persempadanan semula tidak dilakukan selagi pegawai SPR baru tidak dilantik.

"Jangan buat persempadanan baru sehingga Pegawai SPR  baru dibentuk oleh rakyat," katanya.