Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

20.11.08

Zaman gelap hantu raya Mahathir

Hishamuddin Rais | Nov 20, 08 3:03pm

Apabila saya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting pada 2003, saya telah mengeluarkan slogan "Tangkap! Tangkap Madey!" Ramai yang tersalah faham kenapa saya mengeluarkan slogan ini.

Slogan ini bukan kerana dendam. Saya tidak mendendami sesiapa pun. Slogan ini adalah hasil daripada analisis politik.

Di hari Dr Mahathir (Madey) meninggalkan pejabat PM, pada malamnya saya telah mengadakan pesta yang saya panggil "Malam Menghalau Hantu Raya".

Di malam itu, ramai kawan datang untuk berpesta termasuk berbelas-belas anggota polis dan tuan OCPD dari Brickfeilds.

Saya pangil Madey Hantu Raya kerana dari mitologi Melayu ada kepercayaan di mana seseorang yang telah berjanji dengan setan tidak akan mati-mati. Rasa saya metafora Hantu Raya untuk Madey cukup tepat.

Justeru slogan "Tangkap! Tangkap Madey!" itu semakin terbukti tepat. Dan pesta Menghalau Hantu Raya itu juga memang tepat.

Ramai tersalah baca tentang Hantu Raya. Ramai salah analisis dan tidak memahami perjalanan politik. Salah baca ini muncul kerana: Pertama - penganalisisan dan pembacaan politik mereka tidak memiliki asas ekonomi dan kelas. Kedua – penganalisisan politik ini dicampuradukkan dengan harapan dan mimpi si penganalisis itu sendiri.

Politik ialah perebutan kuasa. Kuasa muncul daripada ekonomi. Ekonomi ialah harta dan wang ringgit. Politik ialah perjuangan satu kumpulan atau satu kelas yang ingin mendapatkan kuasa agar dapat memiliki punca harta kekayaan.

Hukum politik dan kuasa ini tidak akan berubah-ubah sama ada di Saudi Arabia yang Islam, di India yang Hindu, di Nepal yang menganut Buddha, di Itali yang Katholik atau di Peranchis yang sekular.

Harus diakui bahawa Hantu Raya ini telah meninggalkan kerusi PM kerana telah dihalau oleh ombak Reformasi. Hantu Raya tidak akan pergi tanpa dihalau. Keputusan pilihanraya umum 1999 membuktikan jika Hantu Raya ini tidak pergi, maka ombak Reformasi akan melingkupkan United Malays National Organisation.

Ketika Hantu Raya mengundur dan hilang kuasa, kita dapat melihat bagaimana polong-polong dan para kroni seperti Halim Saad, Daim Zainuddin, Lim Goh Tong, Ananda Krishan, Eric Chia, Vincent Tan – mula menguncup.

Eric Chia dibawa ke mahkamah untuk kes Pewaja, Vincent Tan dibawa ke mahkamah kerana terlibat dalam kes korek, korek, korek (correct, correct, correct). Malah Hantu Raya sendiri telah diheret ke mahkamah dalam kes pita video Lingam. Keadaan ini cukup menggerunkan Hantu Raya.

Polong dan kroni-kroni Hantu Raya telah mula hilang pengaruh dan hilang kunci untuk dapat merompak dana negara dan merompak harta rakyat tanpa dihalang-halang. Waspada, kaum pemodal yang menjadi polong ini tidak akan pergi tanpa melawan kembali.
Justeru, mereka bersama Hantu Raya telah menyusun strategi untuk kembali berkuasa.

Saya telah banyak menulis dan cuba menerangkan kenapa Hantu Raya ini wajib dilihat sebagai musuh orang ramai. Banyak tulisan yang membuktikan bahawa selama 22 tahun Hantu Raya berkuasa banyak porak-peranda telah menimpa orang ramai.

Dasar penswastaan atau mengagih-agihkan harta rakyat seperti syarikat MAS, syarikat air, elektrik, jalan raya, keretapi, hospital - kepada kroni dan para polong adalah salah satu daripada dasar Hantu Raya yang kita semua rakyat merasai parah akibatnya.

Memaksa kanak-kanak sekolah belajar sains dan ilmu kira-kira dalam bahasa Inggeris adalah satu lagi bukti. Dasar ini dilaksanakan tanpa perbincangan dan pengkajian. Dasar ini telah dan sedang memporakperandakan sistem pembelajaran kebangsaan. Hasilnya bahasa pengucapan kebangsaan semakin parah dan cacamarba.

Hantu Raya juga telah mengusutmasaikan dan merobek lembaga kehakiman negara. Kes pembuangan hakim pada 1988 masih dirasakan musibatnya. Lembaga kehakiman negara menjadi porak-peranda sehinggakan ada susuk peguam, susuk magistret dan susuk hakim boleh dijual beli.

Untuk berkuasa kembali, Hantu Raya telah merancang dengan licik. Hantu Raya telah membuat kelentong hinggakan Tengku Razaleigh Hamzah merasa yakin bahawa dialah yang layak untuk memimpin United Malays National Organisation.

Lihat pula bagaimana Rais Yatim naik ekor dan hampir terpancut apabila badannya diurut-urut oleh Hantu Raya. Tiba-tiba Rais Yatim merasa dialah susuk yang berwibawa untuk menjadi timbalan presiden gerombolan United Malays National Organisation.

Susuk-susuk ini diurut-urut oleh Hantu Raya agar mereka bangun bertandak untuk melekeh dan mengkritik Abdullah Ahmad Badawi. Tidak cukup dengan ini, Hantu Raya telah menggunakan taktik – polis baik dan polis jahat – untuk memberi tekanan kepada Abdullah agar mengundur.

Polis baik ialah Najib Razak. Polis jahat ialah Muhyiddin Yassin. Taktik klasik ini selalu digunakan oleh polis semasa melakukan siasatan. Satu orang akan memberi tekanan secara kasar ganas dan yang satu lagi akan memberi tekanan secara halus. Akhirnya Abdullah Badawi terlucut seluar.

Dari 2003 lagi saya telah menulis dan berkeyakinan bahawa pilihan 'agung' Hantu Raya ialah Najib Razak. Malah kita jangan lupa hampir tiga bulan sesudah menjadi PM, Abdullah Badawi tidak memilih sesiapa pun sebagai timbalan sehingga Hantu Raya membuat pengisytiharan. Abdullah Badawi terpaksa mengiyakan pilihan Hantu Raya.

Maka Najib Razak menjadi timbalannya.

Sila lihat corak siapa yang dilantik dan diyakini dalam kabinet Hantu Raya. Semuanya yang dijadikan pemimpin kanan adalah susuk-susuk yang memiliki masaalah. Rahim dengan budak kecik, Megat dengan penjual kedai video, Nazri dengan teksi-teksinya, Rafidah dengan APnya.

Lagi banyak si menteri bermasalah, lagi setia menteri ini dengan Hantu Raya. Lagi banyak berasuah, lagi senang polong-polong ini mengikut kata Hantu Raya.

Apakah Najib ada masaalah? Saya tidak perlu menjawab soalan bodoh ini. Kalau seekor tikus yang bertanya mungkin saya akan cuba menerangkan kepada tikus ini tetapi kalau warga negara yang celik otak bertanya, maka saya meminta orang yang bertanya ini pindah ke Zimbabwe.

Hantu Raya memiliki strategi berjangka panjang. Semuanya telah, sedang dan akan diatur dengan licik. Tujuan akhir ialah untuk menobatkan anak Hantu Raya. Ini untuk meneruskan dinasti dan memastikan harta kekayaan negara ini akan terus selamat di tangan kaum keluarganya. Juga untuk memastikan Hantu Raya sendiri tidak akan dibawa ke mahkamah untuk menghadapi seribu satu pertuduhan.

Siapa sebenarnya yang diwakili oleh Hantu Raya ini? Jawabnya, bukan Mak Cik dari Felda Taib Andak, bukan tuan punya warong di Pantai Dalam, bukan ahli United Malays National Organisation Bukit Jelutong.

Hantu Raya mewakili borjuis nasional, cukong-cukong besar – Daim Zainuddin, Lim Genting, Vincent Tan, Ananda, Tin Phek Bakun – ini hanyalah beberapa nama cukong borjuis nasional yang diketahui umum.

Mereka ini semuanya menjadi polong kaya-raya menghisap darah kekayaan negara kerana setia kepada Hantu Raya.

Justeru pertempuran antara Hantu Raya dengan Abdullah Badawi wajib dibaca sebagai pertempuran kepentingan ekonomi dari dua kelas yang berbeza. Syarikat Scomi, ECM Libra, atau Ethos Capital adalah pendatang baru yang belum bertahap borjuis nasional. Syarikat-syarikat ini kaya tetapi belum cukup kaya-raya yang melimpah ruah.

Kumpulan kelas baru ini cuba mengambil punca-punca ekonomi melalui payung kuasa Abdullah Badawi. Inilah sebab musabab kenapa Hantu Raya siang dan malam menggodam Khairy Jamaluddin, menggodam Tingkat Empat dan menggodam Kalimullah Hassan.

Penggodaman yang dilakukan oleh Hantu Raya tidak ada sangkut paut dengan Islam, dengan Melayu, United Malays National Organisation, nilai patriotisme, dasar luar negara dan, dan, dan... Pergaduhan politik ini ialah perebutan ekonomi.

Pada akhir 2008, kuda-kuda tunggangan Hantu Raya telah tersedia untuk ditunggang. Kuda sudah sedia. Celana sudah dipasang. Malaysia akan kembali ke zaman gelap Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimana dengan Najib Razak? Najib Razak ini siapa?

Malaysia

30.10.08

Membongkar sejarah 'Revolusi 48'




Amin Iskandar | Oct 30, 08 6:48pm

Presiden pertama Indonesia, Soekarno pernah berkata dalam pidatonya ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-19:

"Sejarah adalah sebahagian dari diri sebagai bangsa, dia tidak boleh dipisahkan apalagi dilupakan. Melupakan sejarah - apalagi meninggalkan sejarah - sama ertinya dengan kehancuran sebuah bangsa." (Soekarno, 17 Ogos 1966)

Begitulah pentingnya sejarah dari kaca mata presiden pertama Indonesia sehinggakan dia mengatakan jika sejarah ditinggalkan ertinya sama seperti kehancuran sesuatu bangsa.

Akan tetapi sejarah seringkali dimanipulasi dan dibolot oleh orang-orang yang memegang kekuasaan – seperti yang berlaku di negara kita Malaysia.

Dalam buku-buku teks sejarah sekolah, perjuangan kemerdekaan negara hanyalah milik Umno dan Perikatan. Hanya perjuangan mereka ditonjolkan, sementara perjuangan orang-orang kiri pelbagai bangsa digelapkan dan dipropagandakan sebagai pengganas dan penjahat.

Akan tetapi, kerja-kerja menyembunyikan sejarah bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kebenaran pasti akan terbongkar jua. Apa lagi di zaman internet apabila manipulasi sejarah dan maklumat dapat dipecahkan dengan pelbagai pendapat dan fakta daripada pelbagai sumber.

Sebelum Revolusi 48

Selepas berjaya dengan dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka, Fahmi Reza muncul dengan dokumentari terbaru bertajuk Revolusi 48.

Pengarah filem ini membongkar kembali peristiwa bersejarah pada 1948 yang telah memainkan peranan penting dalam usaha-usaha memerdekakan negara daripada penjajahan British.

Peranan orang-orang kiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam memerdekakan Malaya tidak boleh dinafikan.

Malahan jika dikaji kembali sejarah, mereka inilah perintis perjuangan untuk memerdekakan negara. Ketika Umno yang ditubuhkan pada 1946 bangga dengan slogan “Hidup Melayu”, mereka (baca: golongan kiri) telah melaungkan slogan “merdeka”.

Pak Mamat, Mak Minah, Pak Chou Tong dan Pak Waimin menceritakan kembali apa yang sebenarnya berlaku pada ketika Malaysia berada di zaman pra-kemerdekaan bermula dari zaman penjajahan Jepun, kembalinya British selepas ketewasan Jepun, darurat diisytiharkan dan golongan kiri mengangkat senjata.

Peranan Lai Teck

Jika Khalid Jaafar, setiausaha akhbar Anwar Ibrahim sewaktu beliau masih timbalan perdana menteri menganggap bahawa Lai Teck yang berasal dari Vietnam sebagai penyelamat agung kepada negara dari pengaruh komunis, filem Revolusi 48 menceritakan sebaliknya.

Chou Tong menceritakan dengan jelas dalam dokumentari ini tentang peranan Lai Teck yang digunakan oleh British untuk menggagalkan usaha memerdekakan negara selepas Jepun menyerah kalah.

Chou, atau nama sebenarnya Au Heng Fong, berkata Lai Teck pernah berkhidmat dengan Perancis ketika di Vietnam sebagai ejen perisikan. Selepas diketahui tentang peranannya sebagai tali barut penjajah oleh rakyat Vietnam, beliau menyusup ke Singapura untuk membantu British.

Di Singapura, Lai Teck pada mulanya menjadi buruh dan kemudian aktif di kesatuan buruh. Dari situlah beliau berjaya menyusup masuk dalam gerakan kiri dan sekali gus rapat dengan PKM.

Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu dan Singapura, Lai Teck menjadi tali barut kepada penjajah Jepun pula. Beliaulah yang banyak membongkarkan rahsia kepada Jepun mengenai gerakan anti-Jepun.

Namun apabila Jepun menyerah kalah, dengan cepat Lai Teck bertukar kiblat kepada British. Antara tugasan pentingnya ialah menggagalkan pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah.

Jika tiada Lai Teck, Malaya akan merdeka sepuluh tahun lebih awal!

Gerakan bersenjata

Dalam dokumentari ini juga, keempat-empat penggerak PKM ini menceritakan latar belakang bagaimana dan mengapa mereka menyertai gerakan bersenjata untuk melawan penjajah British.

Pada 1948, British mengisytiharkan darurat. PKMM, API, AWAS dan PKM yang sebelum ini bergerak secara sah diharamkan dan ramai pemimpin parti-parti tersebut ditahan.

Jika British tidak menghalang kebangkitan gerakan kiri, mereka akan dihalau oleh rakyat dari Malaya seperti rakyat Indonesia menghalau Belanda.

British tahu gerakan menuntut kemerdekaan menjadi semakin popular. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur untuk memberi kemerdekaan kepada Malaya.

Jika orang-orang kiri berjaya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, kepentingan British akan hilang seratus-peratus.

Maka British terpaksa menyokong Umno dan Perikatan yang lebih menjamin kepentingan mereka. Apabila darurat diisytiharkan pada 1948, maka revolusi pun bermula.

Ramai pemuda dan pemudi dari golongan buruh dan petani menyertai perjuangan mengangkat senjata untuk melawan British.

Selepas penjajah meninggalkan Malaya pada 1957, kerajaan yang dipimpin Tunku Abdul Rahman meneruskan perang terhadap golongan kiri dan PKM.

Tindakan ini telah menyebabkan perjuangan bersenjata berterusan sehinggalah Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani antara Malaysia, Thailand dan PKM pada 1989.

Contohi Megawati

Dokumentari Revolusi 48 satu usaha membongkar kembali sejarah-sejarah yang telah disembunyikan selama separuh abad. Pada masa akan datang, lebih banyak lagi yang akan terbongkar.

Penulisan sejarah haruslah adil kepada semua pihak. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Fakta ini tidak dapat diubah.

Baru-baru ini, serikandi negara Shamsiah Fakeh pulang ke rahmatullah. Apa yang menyedihkan, pemergiannya tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya oleh pemerintah dan aktivis-aktivis politik di Malaysia.

Perkara ini saya khabarkan kepada seorang teman di Indonesia yang kini aktif dengan gerakan Islam. Beliau turut bersedih dengan cara Malaysia melayan tokoh bangsa.

Beliau memberitahu, ketika acara pengebumian bekas diktator Jeneral Soeharto, ramai hadirin yang hadir termasuklah bekas presiden Megawati Soekarnoputri.

Ketika zaman kegemilangan Soeharto, Megawati ditindas teruk oleh Soeharto. Parti PDI-P yang dipimpinnya pernah dipukul oleh jeneral tentera itu.

Bukan itu sahaja, ayah Megawati iaitu presiden pertama Indonesia, Soekarno dijatuhkan oleh rampasan kuasa yang dipimpin oleh Soeharto.

Malaysia harus mencontohi Megawati. Tidak kira apa ideologi politik sekalipun, tokoh tetap tokoh.

Jasa yang besar harus diberi penghargaan dan penghormatan.

Ke mana Najib larikan RM5 bilion?

Hishamuddin Rais | Oct 30, 08 7:47pm

Hari ini telah dipastikan bahawa sistem ekonomi kapitalis neoliberal telah berakhir. Krisis ekonomi yang melanda sistem kapitalis neoliberal ini sedang nazak. Secara bengong, hanya Najib Razak sahaja yang cuba menafikannya dan berkata Malaysia “terselamat.”

Dasar Ekonomi Bengong (DEB) ini akan membawa mudarat yang amat sangat kepada orang ramai. Justeru, mari kita memahami dasar ekonomi Najib ini.

Dua hari sebelum meninggalkan Kementerian Pertahanan, Najib telah menandatangani perjanjian membeli Eurocopter. Helikopter ini berharga RM2 bilion. Brazil telah membeli helikopter yang sama dengan harga 1 bilion ringgit. Apakah Malaysia ditipu 1 bilion ringgit?

Jawabnya - tidak. Harga helikopter ini sama. Tidak berubah-ubah. Tukang buat dan tukang jual ini tidak menipu. Kita rakyat Malaysia yang kena tipu oleh Najibk. Harga ini telah ‘dinaikkan’. Yang membayar nanti kita semua kerana yang membeli helikopter ini kerajaan.

Kerajaan itu orang ramai. Orang ramai itu kita semua.

Cara “menipu” ini samalah seperti cara Najib membeli jet pejuang Sukhoi (Rusia) dan kapal selam Scorpene (Perancis). Yang berbeza kali ini hanyalah tidak ada perterjemah cun dari Mongolia. Juga kali ini bukan syarikat perunding Razak Baginda yang menjalankan urus jual-beli.

Berita masih belum jelas syarikat kroni mana pula yang mendapat komisen 1 bilion ringgit membeli Eurocopter ini.

Dari mana agaknya duit-duit ini akan datang? Apakah duit ini juga datang dari punca yang sama? Dalam suasana gawat ini banyak persoalan timbul kenapa beli helikopter?

Pertanyaan ini terjawab pantas. Belum pun satu bulan menjadi menteri kewangan, Najib telah “melarikan 5 bilion ringgit” duit KWSP. Duit ini ialah duit simpanan kaum buruh dan kaum pekerja. Duit KWSP adalah duit simpanan yang wajib disimpan oleh semua pekerja.

Majikan juga diwajibkan menyumbang dalam dana KWSP. Duit KWSP ini untuk kegunaan di hari tua – sebagai pencen atau untuk diambil membuat rumah, pergi naik haji dan sebagainya.

Menurut DEB Najib, duit 5 bilion ringgit ini akan disalurkan kepada syarikat ValueCap Sdn Bhd. Penyaluran duit KWSP ini bertujuan menaikkan harga nilai saham syarikat-syarikat yang dianggap “jatuh nilai”.

Persoalan timbul - nilai saham ini rendah kerana orang ramai tidak yakin terhadap syarikat-syarikat ini. Memasukkan duit ke dalam syarikat ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Untuk sementara waktu, kemungkinan nilai saham syarikat ini akan naik tetapi akhirnya akan jatuh terlingkup juga.

Apabila saham ini mendapat suntikan 5 bilion ringgit, maka nilai sahamnya naik. Apabila nilainya naik, maka makin ramai tuan empunya saham akan menjualkan saham mereka kerana ekonomi sedang gawat. Apabila saham banyak terjual, maka nilai saham ini akan jatuh kembali.

Hanya orang bengong sahaja yang tidak faham bagaimana spekulasi bergerak pantas di bursa saham Kuala Lumpur. Lima bilion ringgit ini akan dicekup oleh pemodal besar terutama dari luar negara.

Dalam masa yang singkat 5 bilion ringgit ini pasti akan hangus. Lima bilion ringgit ini adalah duit kita semua yang diperjudikan di Bursa Malaysia oleh Najib.

Lihat pula ekonomi kita. Harga bahan bakar petroleum telah jatuh. Ketika artikel ini ditulis, harga setong minyak mentah 62 dolar. Untuk mengeluarkan minyak dari perut laut, Petronas memerlukan 60 dolar. Ertinya, dalam satu tong kita hanya untung 2 dolar. Jika harga minyak jatuh lagi maka tidak berbaloi Petronas mengeluarkan minyak.

Lihat pula harga kelapa sawit. Harganya juga jatuh. Pada ketika ini harga setan minyak sawit kurang lebih 1,500 ringgit. Perbelanjaan mendapat setan minyak sawit dianggarkan antara 1,200 ke 1,700 ringgit. Dalam masa yang tidak lama kos pengeluaran – baja, buruh, pengangkutan – lebih tinggi daripada pendapatan.

Justeru, kerana menyedari semua ini Pakatan Rakyat meminta agar Belanjawan 2009 disemak kembali. Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen sekarang berdasarkan harga minyak yang melebihi 100 dolar setong dan harga sawit hampir 3,000 ringgit setan.

Pendapatan negara yang dijadikan asas Belanjawan 2009 bergantung kepada hasil petroleum dan minyak sawit. Jika harga dua bahan eksport utama negara kita jatuh, ertinya pendapatan negara jatuh. Justeru Belanjawan 2009 wajib dikaji semula.

Najib yang menjalankan DEB (Dasar Ekonomi Bengong) telah menolak permintaan Pakatan Rakyat di Parlimen. Apa yang dilakukan oleh Najib ialah “melarikan duit KWSP.”

Selama lebih 30 tahun sistem ekonomi kapitalis neoliberal diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Kapitalis neoliberal bermakna “apa yang boleh jual akan dijual, apa yang boleh beli dibeli”.

Sistem ini mengetepikan peranan daulah. Kerajaan tidak dibenarkan memiliki hospital, sekolah dan universiti, janakuasa elektrik, sistem pengangkutan, air atau menyediakan subsidi untuk orang ramai.

Menurut falsafah neoliberal, jika kerajaan campur tangan, maka sistem ekonomi akan cacat.

Justeru gerombolan United Malays National Organistion telah turut mengamalkan sistem kapitalis neoliberal. Hasilnya – lembaga elektrik dijual pada kroni, lembaga agihan air dijual pada kroni, jalan raya dijual pada kroni, hospital dijual pada kroni.

Siapa kroni ini ? Mereka anak-beranak dan kaum keluarga gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk menipu rakyat, maka gerombolan United Malays National Organisation mengatakan bahawa ini adalah Dasar Ekonomi Baru untuk menolong orang Melayu. Apabila ada kritikan muncul, maka gerombolan ini akan berselindung bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak keistimewaan Melayu.

Jika kritikan datang daripada bukan Melayu, maka mereka akan mengatakan bahawa bukan Melayu tidak ada hak untuk membincangkan hak keistimewaan Melayu. Gerombolan ini akan mengancam mereka dengan tindakan undang-undang.

Tingkah laku dan perangai gerombolan United Malays National Organisation ini samalah seperti satu gerombolan perompak – selepas melakukan rompakan, mereka berselindung di masjid, kuil atau gereja.

Beginilah taktik yang telah dilakukan oleh gerombolan United Malays National Organisation berulang-ulang kali.

DEB Najib ini akan membawa mudarat yang maha besar kepada kita semua – Melayu dan bukan Melayu. Ekonomi kapitalis tidak pernah kenal kamu beragama apa, kamu berbangsa apa atau kamu bersembahyang di mana.

Apabila ekonomi kuncup, yang terpukul tenat ialah kelas bawahan – kaum pekerja, kaum buruh, kaum tani dan nelayan dipukul hebat. Ramai warga hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Kita wajib menerima hakikat bahawa Malaysia turut sama mengamalkan sistem ekonomi kapitalis neoliberal. Sistem ini berpusat di Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat menguncup, maka semua ekonomi kapitalis neoliberal dalam dunia ini juga akan turut menguncup.

Justeru Pakatan Rakyat tidak ada pilihan melainkan wajib mengambil alih kerajaan secepat mungkin untuk menyelamatkan negara daripada bencana kemelesatan ekonomi.

DEB Najib wajib digantikan secepat mungkin. Malah Najib sendiri wajib dihumbankan dalam tong sampah sejarah.

Langkah awal ialah konsep kembali ke bumi. Pertanian wajib dijadikan tulang belakang ekonomi Malaysia. Pertanian ini bukan hanya menanam sawit atau getah sahaja tetapi rakyat wajib dibantu untuk menghasilkan tanaman makanan.

Jika ekonomi meleset, orang ramai masih ada makanan. Makanan untuk diekspot bukan tujuan utama kerana pasaran makanan dunia juga sedang menguncup. Jika kita dapat mengekspot makanan, maka anggaplah ini sebagai bonus.

Kembali ke bumi bertujuan membeli masa agar kita dapat menyusun kembali struktur ekonomi kita yang selama 30 tahun ini telah diporak-perandakan oleh dasar kapitalis neoliberal.

Tidak dapat tidak penstrukturan baru ekonomi yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat tidak akan berpandukan keuntungan maksimum atau dasa “apa boleh jual, jual; apa boleh beli, beli”.

Struktur ekonomi baru wajib memperlihatkan peranan daulah yang lebih kuat. Wajib diwujudkan garis pemisah untuk mengasingkan pengaruh kaum pemodal dari politik negara.

Kuasa kaum pemodal menentukan dasar ekonomi negara berlandaskan neoliberal. Dasar ini sedang terbogel dan terbukti gagal. Dasar kapitalis neoliberal ini wajib ditinggalkan. Rakyat dunia memerlukan satu struktur baru yang berasaskan kekutaan kaum pekerja, buruh dan tani.

MalaysiaKini

19.9.08

Kenapa PM masih berdegil tidak mahu untuk letak jawatan.

Kita tidak tahu apa sebenarnya yang terlindung kenapa PM kita tidak mahu meletak jawatan biarpun perbagai pihak bagaikan mendesak. Paling ketara adalah desakan dari mantan PM kita yang lama.

Jika kita berfikir secara waras & terbuka. Bilamana kita telah dapat melihat perbelanjaan negara kita melalui jawatan Menteri Kewangan yang kita sandang pasti ada perkara yang kita setuju & tidak setuju tentang belanjawan yang telah pemimpin dulu lakukan.

Kita pula ada visi sendiri yang tentunya belum selesai. Maka tidak mungkin secara mendadak mahu melepaskan jawatan yang kita sandang.

Sekarang kita tahu Pak Lah telah menyerahkan jawatan penting itu kepada timbalannya Datuk Sri Najib. Pasti ada sesuatu yang Pak Lah mahu Najib belajar atau mengkaji sebelum dia mengambil alih kerajaan sebagai PM pada bila-bila sahaja kini.

Amanah sebagai orang utama dalam kerajaan Malaysia bukannya satu amanah yang ringan. Segala tenaga & pengalaman pertadbiran kenalah ditumpukan.

Belum lagi kita membincangkan tentang kuasa dalam memegangkan kementerian yang lain. Sebagai contoh Menteri Pertahanan yang tentunya satu kementerian yang menggunakan bajet & wang negara yang banyak. Kenapa Pak Lah berminat dengan kementerian ini, tentunya ada agenda di sebaliknya yang kita rakyat marhaen tidak tahu.

Bagi mereka yang berfikiran matang & terbuka. Asakan demi asakan yang Pak Lah terima dalam kancah politik ini pasti dapat merasakan tindakan beliau ke arah ini tersembunyi sesuatu muslihat. Menolak jawatan ini & menerima jawatan lain bukan tindakan sewenang-wenangnya... Kita tunggu & lihat akan perkembangan politik orang Melayu kita yang makin menarik & meruncing ini.

Peluit: Makin merindui suasana damai dulu.

19.8.08

Kes liwat: Saiful jumpa JAWI

Andrew Ong | Aug 19, 08 11:43am
Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar brahim, memberi keterangan berhubung dakwaannya itu kepada Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.

Dengan memakai baju kemeja berwarna biru dan berseluar hitam serta bersongkok, beliau tiba jaml 10 pagi dengan iringi bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguamnya Zamri Idris.

Mohd Saiful dipercayai dipanggil oleh JAWI bagi memberi keterangan mengenai dakwaan kononnya beliau diliwat pada 26 Jun lalu oleh Anwar yang juga bekas majikannya.

Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.

Saiful berada selama tiga jam di JAWI dan beredar dari situ tanpa disedari oleh para wartawan yang menunggunya.

Saiful berjaya mengelak kira-kira 12 orang wartawan yang menunggu di sekitar pintu di bangunan Jawi.

Tiga jam di JAWI

Apabila Saiful keluar dari jabatan tersebut pada kira-kira jam 1.10 tengahari, dia tidak mengendahkan para media seperti sebelum ini.

Dia ditemani oleh beberapa orang yang tidak dikenali sebelum terus menaiki kereta Proton Waja yang terus beredar dari situ.

Menurut saksi, kelihatan empat lelaki berkaca hitam di dalam kereta tersebut.

Saiful kini dalam perlindungan polis dan tidak diketahui di mana dia berada.

Manakala peguam Saiful - Zamri - juga mengelak dan enggan mengulas mengenai kehadiran Saiful di JAWI.

Sebelum beredar, Zamri hanya berkata, Saiful datang untuk menemui beberapa pegawai JAWI.

Bernama pula memetik Zamri memberitahu pemberita bahawa kedatangan Mohd Saiful ke JAWI bukan berhubung siasatan mengikut kesalahan qazaf.

"Tujuan datang pagi ini untuk bertemu dengan pegawai JAWI. Ini bukan berkaitan qazaf, kita akan maklumkan kemudian," katanya.

Pada 9 Julai lalu, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful, kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan JAWI, mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan bawah jenayah syariah bagi tuduhan palsu).

Angkat sumpah

Penasihat PKR itu dilaporkan sebelum ini sebagai berkata, atas nasihat ulama dan peguam, beliau telah membuat aduan tersebut bagi membersihkan namanya dan keluarganya daripada fitnah jahat dan mengaibkan itu.

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Pada 15 Ogos lalu, Saiful mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antara yang hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel kemudiannya, Saiful mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR itu di kondominium mewah di Damansara.

Malaysia Kini

Akhirnya Saiful menjadi wira dan penyelamat

Dilulus terbit pada Wednesday, August 20 @ 00:26:07 MYT oleh SongkokPutih


Oleh mohdnoorawang

"Isu saiful diliwat dan sumpah atau melafazkan sumpah didalam masjid serta dihadiri oleh Pengarah Jabatan Ugama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta imam dan pegawai masjid Wilayah Persekutuan.

Pada Jumaat 15.8. 2008 mencatat sejarah hitam dalam peradapan budaya melayu dan yang amat di jijik sekali mencabar undang-undang Islam serta tatacara bersumpah mengikut kaedah Islam yang sebenar. Kami tidak rela sumpah Saiful hanya sekadar menjadi wira dan penyelamat untuk satu kumpulan manusia yang rakus dan sombong serta berbau fitnah.

Kaedah dan cara sumpah Saiful sukar dimengertikan dan mengundang satu plot pengajaran dan pemahaman tentang hukum-hukum Islam yang sebenar. Jadi siapa yang sepatutnya menerang dan menjelaskan cara dan bentuk sumpah yang diamal oleh Rasululullah dan para sahabat serta ulama yang muktabar mengikut kaedah yang terdapat dalam Alquran?

Umat Islam terkeliru dan sukar mencari jawapan yang sebenar. Mungkin penjelasan yang diberi oleh Tuan Guru Dato' Seri Haji Hadi Awang, Tuan guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Haji Harun Din ada motif politik atau tidak dapat diterima oleh sebahagian umat Islam di Malaysia. Itu tak mengapa.

Jadi dimana tugas dan peranan MUFTI atau jabatan mufti di 13 negeri di Malaysia dan Jabatan Islam Wilayah Persekutuan untuk menjelaskan isu bersumpah yang dibuat oleh Saiful?... Kenapa tiada penjelasan atau cakap mudah betul ke... Saiful bersumpah mengikit kaedah ajaran Islam sebenar?...

Tak salah ingatan saya tiada satu pun 13 mufti dan Jabatan Islam Wilayah Persekuatuan menerang dan menjelaskan satu kekusutan umat dalam peristiwa saiful bersumpah. Kami amat rasan dukacita dan sedih pakar dalam agama dan ada autoriti malah digelar mufti diam seribu bahasa. Rakyat perlu bimbingan dan penjelasan sesuatu isu dan peristiwa yang melibatkan orang Islam .

Kami dengan rasa rendah diri agar 13 orang MUFTI negeri di Malaysia menjelaskan sumpah Saiful dalam ketogari MUBAHALAH?, AL-YAMIN?. atau LI'AN?. KAMI HARAP DAPAT RESPON dan penjelesan dari kerusi empuk para -para mufti.

"

TranungKite

18.8.08

Sumpahan Saiful

Ada ketikanya apa jenis sumpahan pun tidak akan menjadi macam si Tenggang. Sebabnya tidak semua ummat ini disayangi Allah Azzawajalla. Andai kata seorang kafir bersumpah sememangnya tertolak. Orang kafir berjudi berdosakah mereka.

Si Saiful tidak kafir dia masih ummat Islam, selagi dia tidak syirik dia masih saudara kita. Di sebalik ceritera sebenarnya sememangnya kita payah untuk menduga. Apakah dia bersumpah atas kerelaan hatinya. Atau pun ada agenda lain; mainan politik sebab masa & ketikanya pengaruh DS Anwar makin lebar. Pun dakwaannya amat rapat dengan hari penamaan calon DS Anwar mahu bertanding.

Bilamana penyokong kuat yang rapat tetiba berpaling tadah secara lojiknya sememangnya dia akan cuba mencari jalan untuk menjatuhkan orang yang dulunya rapat dengan dia. Apatah lagi si Saiful ini berlindung di kubu lawannya DS Anwar. Jika si Saiful ini tidak berkubu dengan parti yang mahukan DS Anwar jatuh sudah pasti dakwaan liwat yang dilakukan DS Anwar terhadapnya akan nampak lebih menyakinkan.

Jika dulu tuduhan liwat gugur & ianya begitu lama tidak timbul lagi, rasanya pasti DS Anwar serik jika dia benar-benar seorang peliwat. Tempoh dipenjara bukannya kejap. Tidak mungkin orang yang setua DS Anwar mahu mengaibkan kali kedua keluarganya. Dia & keluarganya ada kedudukan.

Bagaimana pun kita lihatlah akan balasan dari Allah SWT jika si Saiful ini berdusta dengan sumpahannya. Jika tidak pun balasan di dunia akan terbukti di akhirat nanti. Bagi DS Anwar dia ada sebab tersendiri tidak mahu bersumpah di masjid. Jika benar DS Anwar ini seorang yang keji lagi hina pasti juga kita akan dapat lihat pembalasan dari Ilahi. Tidak di dunia pasti di akhirat kelak kita ketahui jua. Tidak perlulah kita payahkan fikiran dengan mainan politik ini. Tunggu & lihat sahaja!!!.

Lagi tentang Saiful

11.8.08

8 faktor BN tewas lawan Anwar

K Raveendran Nair | Aug 11, 08 4:04pm
Bahagian I 'Malaysia Baru' Anwar pukau pengundi

Berdasarkan senario semasa, BN berdepan dengan satu tentangan yang amat luar biasa dan peluang untuk menguasai kerusi tersebut amat sukar berdasarkan faktor-faktor berikut:

Pertama, Umno sama ada di peringkat Permatang Pauh mahupun di peringkat negeri berada dalam keadaan yang amat lemah.

Transformasi politik di peringkat negeri telah melemahkan kedudukan Umno Pulau Pinang dan sehingga kini masih belum pulih dan terus bergolak.

Misalnya Umno Jelutong parah sehingga sumber berita menyatakan ahli-ahli cawangan meninggalkan parti untuk menyertai PKR.

Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain yang lemah dan mempunyai hubung kait dengan kelemahan dan perebutan kuasa dalaman yang sedang berlaku di peringkat persekutuan kesan daripada keputusan pilihanraya umum lepas.

Transformasi kerajaan negeri daripada BN kepada Pakatan Rakyat telah menyebabkan punca pendapatan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat bahagian tergendala.

Pemimpin-pemimpin peringkat ini tidak lagi mempunyai apa-apa peranan dalam negeri - dan keadaan ini turut menyumbang kepada kelemahan pentadbiran peringkat bahagian.

Berbeza sama sekali dengan Pakatan Rakyat yang semakin kukuh dari segi pengurusan organisasi.

Kedua, faktor calon akan menyumbang kepada prestasi parti dalam pilihanraya kecil namun sehingga kini calon umno belum diumumkan. Malah tawaran diri untuk bertanding oleh Mohamad Ezam Mohd Nor telah ditolak oleh Umno Permatang Pauh.

Manakala mufti Perlis walaupun ditawarkan untuk bertanding telah menolak.

Calon tempatan bersesuaian, namun kemungkinan besar akan berlaku sabotaj di peringkat bahagian sendiri kerana sekiranya calon BN dari Umno menang, beliau akan menjadi pemimpin besar baik di peringkat bahagian mahupun persekutuan.

Pemimpin bahagian yang tidak terpilih pula akan berusaha untuk menghalang kemenangan tersebut.

Calon PKR iaitu Anwar sendiri dilihat sebagai seorang calon gergasi - berbanding keupayaan berpidato calon BN yang amat kurang dalam kalangan pemimpin BN buat ketika ini.

Ketiga, keputusan kerajaan Persekutuan menangguhkan atau membatalkan beberapa projek mega yang dijanjikan kepada rakyat Pulau Pinang telah meningkatkan perasaan tidak berpuas hati di kalangan rakyat negeri.

Walaupun perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi sendiri anak negeri itu, tindakan kerajaan pimpinannya telah ditafsirkan sebagai satu keputusan politik untuk "membalas dendam". Perkara ini dijangka menjadi satu isu dan akan diinterpretasikan dalam bentuk undi.

Kerajaan negeri, walaupun dikuasai oleh Pakatan Rakyat, namun masih terlalu awal untuk menilai keupayaan dan kebolehan pentadbiran.

Pemimpin-pemimpin negeri akan mengadu bahawa kerajaan persekutuan menganaktirikan kerajaan negeri dan gagal memberikan bantuan sewajarnya walaupun rakyat Pulau Pinang turut menyumbang dari segi bayaran cukai.

Keempat, kenaikan harga barang, petroleum dan situasi ekonomi yang tidak menentu juga turut menjadi isu. Walaupun pilihanraya umum telah berlalu, namun setakat ini kerajaan persekutuan masih belum bergerak dengan pantas kerana perebutan kuasa dalam Umno.
Perebutan kuasa dan usaha-usaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti telah menghalang penumpuan dalam tugas-tugas kerajaan. Hasilnya, usaha-usaha untuk menangani kemelesetan ekonomi dan isu-isu yang mempunyai kepentingan rakyat terbantut.

Keadaan ini menyebabkan taraf kehidupan rakyat semakin terancam dan terganggu. Ia akan menimbulkan ketidakpuasaan hati yang akan mendorong pemilih untuk tidak mengundi calon BN.

Isu-isu projek mega yang gagal dan isu komisen akan turut berkumandang. Misalannya projek MRR2. Projek tersebut dibina dengan kos RM238 juta, kemudian baik pulihnya menelan lagi kos RM70juta dan kini lebuhraya jejambat itu kembali retak.

Kelima, kes moral yang ditimbulkan semula mempunyai kesan timbal balas kepada parti pemerintah. Majoriti tidak bersetuju dan tidak percaya tuduhan terbaru terhadap Anwar.

Kajian Merdeka Center membuktikan masyarakat tidak menerima tuduhan tersebut dan menganggap laporan polis ke atas Anwar satu konspirasi politik. Dalam situasi yang sedemikian, Umno sebenarnya terperangkap.

Sekiranya tuduhan dikenakan ke atas Anwar sebelum tarikh penamaan calon, maka dunia akan melihat tindakan tersebut sebagai satu usaha kerajaan BN untuk menghalang beliau daripada kembali ke dalam arus perdana politik negara tetapi sekiranya Pejabat Peguam Negara berpendapat, tidak ada fakta untuk didakwa di mahkamah, maka dunia akan turut menyalahkan parti pemerintah kerana cuba membina kes palsu untuk menghalang kebangkitan Anwar.

(Anwar telah dituduh di mahkamah atas tuduhan mengadakan hubungan seks luar tabii sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] mengumumkan tarikh 16-26 Ogos untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh - editor)

Keenam, tidak dilupakan juga pengundi Cina dan India. Gabungan dua kumpulan pemilih tersebut 17,826 undi yang merupakan satu jumlah yang agak besar.

Dalam situasi sekarang, tidak keterlaluan sekiranya dinyatakan sebilangan besar daripada dua kumpulan masyarakat tersebut tidak akan mengundi parti pemerintah. Tahap ketidakpuasaan hati mereka lebih tinggi terhadap Umno daripada MCA atau MIC.

Sikap pemimpin Umno yang celupar dan menghina kumpulan pengundi bukan Melayu dengan memanggil sebagai 'penderhaka' kerana mengundi pembangkang akan ditiupkan sebagai satu isu.

Malah keengganan pemimpin MIC untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa akan turut menjauhkan masyarakat India daripada MIC dan BN. Kedudukan MIC baik di peringkat negeri mahupun bahagian juga lemah.

Kemasukan masyarakat Cina bersama PKR dan masalah dalaman MCA juga akan turut menyumbang undi pengundi cina kepada PKR. Manakala Gerakan dan PPP berada dalam situasi yang sangat lemah untuk memberikan apa-apa impak untuk memenangi hati pengundi.

Ketujuh, Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) tetap merupakan satu kuasa politik masyarakat India yang akan membantutkan usaha untuk memenangi hati pengundi India. Keengganan kerajaan untuk membebaskan kelima-lima pemimpinnya ditafsirkan sebagai keengganan Umno, dan bukan keputusan BN.

Anggapan ini muncul kerana kesemua komponen BN dari Semenanjung telah menggesa kerajaan agar membebaskan kelima-lima pemimpin Hindraf kecuali Umno.

Anwar menjanjikan pembebasan kelima-lima pemimpin tersebut dan sudah tentu ia akan mempengaruhi minda pemilih India. Oleh yang demikian sudah tentu pengundi India akan melihat Umno dari perspektif negatif.

Malah kedudukan dari segi jawatan kerajaan untuk masyarakat India bawah kerajaan Pakatan Rakyat lebih menonjol berbanding kerajaan persekutuan.

Kelapan, walaupun BN masih mempunyai kelebihan kerana menguasai media, sumber kewangan dan jentera kerajaan, namun P44 bukanlah satu laluan mudah untuk dimenangi.

Sekiranya kerajaan persekutuan membuat pelaburan secara besar-besaran seperti yang dilakukannya dalam pilihanraya Ijok atau menumpukan terlalu banyak masa untuk menonjolkan isu moral atau melaksanakan strategi serangan peribadi ke atas Dr Wan Azizah, ia akan mengundang lebih banyak tindak balas negatif daripada pemilih.

Berdasarkan analisis ini, saya berpendapat Anwar akan memenangi kes beliau di "mahkamah rakyat" dengan kuasa majoriti sekurang-kurangnya 20,000 undi.

Bagaimanapun tidak dinafikan kedua-dua pihak mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kedua-dua parti yang bertanding harus bekerja untuk memenangi hati rakyat. Sebarang kesilapan atau tindakan keterlaluan boleh menyebabkan kekalahan.

Pendekatan bersopan wajar menjadi pegangan. Pilihanraya ini sebenarnya satu medan yang terbaik untuk penganalisis politik menjalankan kajian akan peranan kuasa rakyat.


Menurut blognya Security, K Raveendran Nair dilahirkan di Bukit Mertajam, bersebelahan Permatang Pauh, 33 tahun lalu.

8.8.08

Bik Mama & Itek Angsa naik katil

Hishamuddin Rais | Aug 8, 08 10:19pm

(Mengikut al-kesahnya, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan lari dari kampung hingga ke Pekan. Demikianlah al-kesah cerita turun-temurun yang disampaikan oleh nenek kepada cucu dan cucu kepada cicitnya)

Rupa-rupanya mengikut yang empunya cerita, al-kesah Kerbau Jantan ini belumlah tamat adanya...

Anak Tok Penghulu Lama bersama Dua Budak Suruhan termengah-mengah cuba melarikan diri dari orang kampung yang memburu mereka. Lintang-pukanglah mereka lari - banir terlanggar, belukar diredah - dengan harapan mereka akan terselamat.

Lari punya lari akhirnya mereka pun sampailah di hadapan sebuah rumah besar terletak jauh dari Pekan.

Rumah besar ini kelihatan tidak berpenunggu. Jantan Bertiga ini memberanikan diri lalu masuk terus ke bilik tidur. Tetapi mereka masih berasa tidak selamat lalu meloncat ke atas katil dan menyorok di dalam kelambu. Tujuh hari tujuh malam mereka duduk di dalam kelambu. Tidak ada seorang pun yang berani keluar.

Di hari ketujuh, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tapak kaki masuk ke rumah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Dari dalam kelambu, mereka ternampak wajah seorang Betina mengheret badannya menuju ke arah katil. Jantan Bertiga dalam kelambu mula menggigil ketakutan.

Dari celah kain kelambu mereka ternampak seorang Betina yang kilo di badannya tidak ada dacing di alam semesta ini yang berani mengukurnya. Rambutnya tidaklah panjang dan tidaklah pula pendek. Matanya tidaklah sepet dan tidaklah bundar.

Di lehernya bergemelapan rantai mutiara yang hampir menjerut hingga ke dagu. Telinganya panjang kerana gayutan subang permata intan berlian. Gelang di tangan kiri dan kanan dipasang hingga ke siku. Jari sepuluh penuh dengan cincin permata.

Hendak dikatakan Betina ini seorang Nenek Kebayan paras rupa bukan nenek kebayan. Nak dikatakan Anak Dara sudah macam Mak Janda. Nak dikatakan Hantu, ada bentuk macam Manusia. Nak dikatakan Manusia, ada pula rupa macam Hantu - inilah perihal yang menakutkan Jantan Bertiga di dalam kelambu.

Dengan serta-merta Betina ini menyelak kelambu, maka kelihatan Tiga Jantan ini sedang berpelukan sesama sendiri kerana teramatlah takutnya mereka.

Betina ini kemudian bersuara keras: "Aku Bik Mama... kamu bertiga akan menjadi hamba aku."

Apabila Bik Mama diberitahu tentang al-kesah Anak Muda bakal Tok Penghulu Baru yang menghalau mereka, maka Bik Mama naik berang.

Bik Mama ini bukan calang-calang orangnya. Betina ini cukup hebat. Pernah satu ketika dahulu Bik Mama menjadi gundek seorang Panglima Kerajaan Melayu Melaka, tetapi Panglima ini ditangkap kerana si Panglima amat kepingin dengan Kanak-kanak.

Kemudian Bik Mama dikisahkan telah menjadi gundek seorang Menteri Melayu dari Negara Islam Darul Papa. Tetapi Menteri ini hilang menterinya apabila orang kampung marah kerana dia menyimpan terlalu banyak gundek.

Apabila Bik Mama mengetahui ada di antara Tiga Jantan ini seorang anak bekas Tok Penghulu, maka Big Mama pun naik minyak - badannya semakin mengembang.

Mengikut yang empunya cerita, Anak Tok Penghulu Lama telah terperangkap di atas katil Bik Mama. Anak Tok Penghulu Lama tidak ada pilihan lalu bernikahlah dia dengan Bik Mama.

Selesai sahaja perkahwinan, Bik Mama pun mula merancang untuk menobatkan Anak Tok Penghulu Lama menjadi Tok Penghulu Baru.

Bik Mama marah dan ketawa kerana rancangan kerbau dahulu gagal. Bik Mama anggap Dua Budak Suruhan ini bodoh macam telor.

Tidak ada otak, macam batang keladi.

Mereka membuat rancangan baru. Dua Budak Suruhan diminta mencari saekor Itek Angsa. Maka ke hulu ke hilirlah Dua Budak Suruhan itu. Mereka mencari di sekeliling Pekan. Dari reban ke reban mereka menggeledah. Ditakdirkan maka Dua Budak Suruhan ini bertemulah dengan saekor Itek Angsa berbulu hijau lebat.

Apabila Itek Angsa ini dibawa ke hadapan Bik Mama, maka sukalah hati Bik Mama. Tetapi mereka memiliki satu masaelah besar - bagaimana hendak membawa Itek Angsa ini masuk ke kampung kerana Orang Kampung semua sudah kenal muka mereka.

Dengan bangganya Budak Suruhan yang paling bebal mencadangkan agar mereka memakai topeng. Bik Mama mengherdik mereka kerana cadangan ini cukup bodoh.

Kalau mereka memakai Topeng masuk kampung, pastilah Orang Kampung sedar dan tahu. Orang Kampung memang tahu yang bertopeng itu pastilah Orang Jahat. Hanya Orang Jahat sahaja yang memakai Topeng.

Akhirnya Bik Mama mendapat satu jalan. Hendaklah dicari seorang yang cergas dan berlari pantas. Jika boleh orang yang dicari ini pemecut yang bertauliah.

Dua Budak Suruhan itupun mencari di sekeliling Pekan tetapi tidak juga bertemu. Bila pencarian mereka gagal, Dua Budak Suruhan ini dengan takut pulang untuk menghadap Bik Mama.

Dalam ketakutan, Dua Budak Suruhan ini duduklah di atas tangga menunggu Bik Mama. Tiba-tiba muncul saekor Makhluk dari dalam rumah. Makhluk ini agak pelik - hendak dikatakan betina dia gagah macam lelaki. Hendak dikatakan Melayu kulitnya pula hitam lagi legam. Hendak dikatakan sida dia bersusu. Entah jantan entah betina Makhluk ini.

Dalam kehairanan ini, Bik Mama muncul di tepi pintu. Bik Mama menerangkan, Makhluk ini ialah bekas pemecut terhandal. Makhluk ini pelari terpantas di sekeliling Pekan. Lalu Bik Mama menerangkan bagaimana rancangan ini wajib diuruskan.

Mula-mula Makhluk ini akan berlari deras sambil membawa Itek Angsa masuk ke dalam kampung. Itek ini hendaklah ditinggalkan dalam bilik tidur Anak Muda. Kemudian Makhluk ini akan lari pulang ke Pekan. Dengan bangga Bik Mama menepuk dada kerana rancangan ini lebih masuk akal daripada rancangan bodoh mereka dahulu.

Ketika semua ini sedang dirancang, Anak Tok Penghulu Lama hanya sanggup mengangguk-angguk kepala. Mengikut tuan yang empunya cerita, semenjak bernikah dengan Bik Mama ini Anak Tok Penghulu Lama ini telah menikus takut terutama apabila Bik Mama bersuara.

Akhirnya, suatu petang yang cerah telah dipilih sebagai hari yang terbaik untuk rancangan mereka. Satelah semuanya dirancang dengan rapi, maka si Makhluk pun mengepit Itek Angsa dan berlari dari Pekan masuk ke kampung. Rumah yang dituju tidak lain dan tidak bukan rumahlah si Anak Muda yang pada ketika itu sedang bekerja di bendang.

Sesampai di rumah Anak Muda, dengan pantas si Makhluk masuk ke rumah. Itek Angsa ini ditinggalkan di atas katil Anak Muda. Selesai sahaja kerja ini, si Mahkluk pun berlari menuju ke Pekan kerana Bik Mama, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan sedang sedia menunggu untuk meneruskan rancangan seterusnya.

Mereka telah merancang untuk mencanangkan bahawa di Pekan ada orang telah kehilangan Itek Angsa.

Itek Angsa yang terletak di atas katil Anak Muda itu menjadi hairan kerana dia ditinggalkan sunyi kesaorangan. Maka Itek Angsa ini pun mula bersuara dengan harapan akan ada lagi kawan-kawan itek atau ayam berhampiran.

Itek Angkas ini pun bersuara - pet, pet, pet, pet. Itek Angsa terus bersuara dan tergedik-gedik turun dari katil lalukeluarlah ia ke kawasan halaman rumah.

Mengikut tuan yang empunya cerita, pada ketika itu ada satu kumpulan Kanak-Kanak sedang bermain konda-kondi. Apabila Itek Angsa ini bersuara pet, pet, pet, maka Kanak-Kanak ini pun tertawa besar apabila mendengar bunyi suara Itek Angsa ini.

Kanak-Kanak ini mengejar Itek Angsa ini sambil turut sama bernyanyi pet, pet, pet. Mengikut kata sahibul hikayat, rancangan Bik Mama gagal lagi. Itek Angsa yang mereka rancang akhirnya menjadi teman mainan Kanak-Kanak di kampung.

Untuk menyedapkan al-kesah, Itek Angsa ini telah diberi nama Uncle Pet oleh Kanak-Kanak di kampung. Hingga ke hari ini Uncle Pet ini telah menjadi daya tarikan bahan lawak ketawa bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi seantero alam.

Malah telah diberitakan, Uncle Pet ini telah dipancar suaranya di suatu halaman untuk tontonan seluruh alam. Pet, pet, pet... Demikianlah adanya al-kesah yang diturunkan dari mulut ke mulut, dari anak hingga ke cucu, dari cucu hingga ke cicit.

MalaysiaKini

7.8.08

'Mengapa saya sahaja didakwa?'

Jimadie Shah Othman | Aug 7, 08 12:36pm
dikemaskini Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa beliau seorang sahaja yang didakwa di mahkamah jika beliau dikatakan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan bekas pembantunya secara suka sama suka.

"Jika suka sama suka, kenapa hanya saya yang dipanggil (dakwa)? Sepatutnya dakwa kedua-dualah," katanya kepada pemberita sambil berkata, ia adalah satu pendakwaan politik.

"(Pertuduhan) ini fitnah khianat."

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, No 99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Beliau juga terus mengecam perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana meneruskan dakwaan liwat terhadapnya.

"Yang saya kesalkan hanyalah pendakwaan diteruskan walaupun saya yakin berdasarkan cara pendakwaan itu, pendakwa pun nampaknya dipaksa juga oleh tokoh-tokoh politik.

"Kalau tidak, mustahil pendakwaan itu dibuat," katanya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11.10 pagi.

Beliau juga berkata, semalam Abdullah berkata kes beliau sebagai "rogol" dan menyifatkan kenyataan itu "yang paling biadap."

Anwar menyifatkannya sebagai satu politik kotor oleh seseorang yang akan kehilangan kuasanya.

Ketua umum PKR itu juga berkata beliau kini akan menumpukan perhatiannya kepada kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Hakim SM Komathy menetapkan kes itu disebut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 September untuk memutuskan tarikh perbicaraannya.

Malaysia Kini

Anwar mengaku tidak bersalah

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri | Aug 7, 08 10:02am
kemaskini 6:31pm Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Pihak pendakwa tidak membantah Anwar dibenar ikat jamin dan mencadangkan ketua umum PKR itu dikenakan jaminan RM20,000 dan menyerahkan pasportnya.

Hakim SM Komathy kemudiannya membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Hakim menambah, Anwar tidak perlu menyerahkan pasportnya kerana mahkamah yakin mantan timbalan perdana menteri itu tidak akan melarikan diri.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 10 September depan di Mahkamah Tinggi untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Anwar dihadapkan ke mahkamah susulan laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful pada 28 Jun.

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya (lihat carta), Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Beliau keluar dari mahkamah jam 11.10 pagi dengan disambut kira-kira 500 penyokongnya yang berada di beberapa tempat, termasuk di perkarangan kompleks mahkamah dan di luar pintu utama.

Anwar tiba di kompleks mahkamah itu pada jam 9.38 pagi tadi untuk menghadapi tuduhan liwat.

Sementara itu, seorang peguam bela Anwar, Sankara Nair berkata anak guamnya gembira dengan keputusan mahkamah membenarkan jaminan peribadi.

"Ini adalah kuasa mahkamah. Kali ini mahkamah mengambil keputusan yang kuat dan adil. Keputusan jaminan hari ini adil," katanya.

Peluang anak guamnya "bagus" jika sistem kehakiman berjalan adil, tambahnya.

Berdasarkan pertuduhan yang dibuat, Anwar mempunyai alibi kukuh, katanya.

"Kita ada alibi. (Perkara) ini telah diberitahu kepada polis apabila kenyataannya (Anwar) dirakam pada 16 Julai di balai (ibu pejabat polis Kuala Lumpur).

"Jadi, kami tidak faham kenapa dakwaan terhadap Anwar dibuat," kata Sankara.

Menurut peguam lagi, pada tanggal dan masa Anwar dituduh melakukan kesalah itu, anak guamnya berada di kondominium berkenaan bersama lebih kurang lima orang lagi.

"Beliau ada di tempat itu (Desa Damansara Condominium), tetapi ramai orang di sekelilingnya disebabkan mereka ada pertemuan.

"Beliau telah memberikan nama orang-orang itu dan polis telah merakamkannya," kata Sankara.

Ditanya kemungkinan Anwar menghadapi dakwaan lain, peguam itu berkata: "Kalau ada dakwaan, biasanya (dibuat) bersama."

Setakat ini, Anwar diwakili sembilan orang peguam, diketuai Sulaiman Abdullah.

Selain Sankara, peguam lain termasuklah Sivarasa Rasiah, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon dan Leela J Jesuthasan.

Kumpulan peguam ini mungkin bertambah, kata Sankara.

Turut hadir di mahkamah pagi ini, peguam-peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam dan badan-badan hak asasi manusia yang berpejabat di Washington, Paris dan Bangkok.

Malaysia Kini

28.7.08

Bukti Laporan Doktor, Saiful Tidak Diliwat

Dilulus terbit pada Monday, July 28 @ 15:59:23 MYT oleh reformis


Oleh Truckster

"

Terjemahan RPK: Doktor Dlm Pelarian, Polis Mahu Beliau Membuat Laporan Palsu Liwat Terhadap Anwar

Sebelum membuat satu report Polis Mohd Saiful Bukhari telah membuat satu medical check-out pertama di Hospital Pusrawi Jln Tun Razak KL seorang doktor telah membuat pemeriksaan. Doktor itu dalam laporannya,dia kata tidak ada bukti Anwar melakukan liwat terhadap anak muda ini.

Polis kemudian menahan doktor ini selama tiga hari. Walaupun polis cuba memaksa doktor ini untuk menukar laporannya untuk membabitkan Anwar, doktor tersebut enggan melakukannya. Sehingga hari ini, doktor tersebut tetap dengan pendiriannya mengatakan tidak ada bukti terhadap Anwar. Dia tahu dia terpaksa membayar harganya tapi dia tidak peduli. Dia tidak akan menukar laporannya dan mengatakan Anwar meliwat Saiful, walau apa pun terjadi kepadanya. Kecewa dengan ini, polis terpaksa membebaskan Anwar dengan jaminan polis. Doktor tersebut enggan menukar laporannya dan Anwar enggan memberikan contoh DNA nya.

Sebenarnya, doktor tersebut ialah Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawidan dia bersama seluruh anggota keluarganya telah bersembunyi kerana polis sedang mencari mereka dan mahukan doktor ini mengubah laporan perubatan yang dibuatnya.

Pada 2.00 petang, 28 June 2008, Mohd. Saiful Bukhari Bin Azlan telah pergi menemui Dr. Mohamed Osman dan mengadu tentang kesakitan dibahagian dubur yang dialaminya. Saiful memberitahu doktor tersebut bahawa dia di "perkosa' oleh seorang yang sangat penting - maknanya, Anwar Ibrahim.

Dr. Mohamed Osman memeriksa Saiful tetapi mendapati tiada bukti bahawa dia diliwat, samaada oleh Anwar Ibrahim ataupun sesiapa saja. Laporan doktor (boleh dilihat dibawah) mengatakan TIADA kesan luka pada kulit, TIADA pendarahan, TIADA kesan-kesan nanah dsb - secara asasnya bermakna tidak mungkin dia mengalami kesakitan di duburnya, seperti yang didakwa.

Pemeriksaan doktor menolak kemungkinan Saiful telah diliwat. Dengan lain perkataan,Mohd. Saiful Bukhari Bin Azlan tidak mengalami apa-apa kesakitan di duburnya, dan tidak juga diperkosa atau diliwat.

Saiful kemudiannya memberitahu bahawa dia mahu membuat laporan polis, lantas Dr. Mohamed Osman mencadangkan dia (Saiful) pergi untuk membuat pemeriksaan kedua di hospital kerajaan. Saiful kemudiannya pergi ke hospital kerajaan dan doktor di situ juga mendapati perkara yang sama. Walaubagaimana pun, Saiful masih membuat laporan polis di pondok polis yang terdapat di hospital.

Di sebalik semua pengesahan doktor yang mengatakan Saiful tidak pernah diliwat, polis masih meneruskan kes ini.Anwar Ibrahim kemudiannya telah ditangkap oleh kira-kira 20 anggota UTK yang bersenjata dan memakai topeng di hadapan rumahnya walaupun dia telah bersetuju untuk melapur diri kebalai polis pada pukul 2.00 petangseperti yang dijanjikan.

Polis kemudiannya telah menahan Anwar di dalam lokap sehingga keesokan harinya, malah telah dibawa kehospital untuk pemeriksaan dan mencuba untuk memperolehi sampel untuk tujuan profil DNA walaupun polis sudah pun mempunyai profil DAN Anwar padatahun 1998 dan doktor-doktor dari dua buah hospital telah mengesahkan Saiful tidak diliwat.

Sudah jelas, kerajaan sedang mencuba untuk memalsukan bukti terhadap Anwar dan mencuba untuk membuktikan Anwar bersalah, melalui tuduhan liwat palsu. Dan siapakah dibelakang konspirasi ini, kalau bukan AG dan IGP, dua pelakon yang sama dengan konspirasi 1998.

Laporan doktor amat jelas. Saiful TIDAK pernah diliwat, sama ada oleh Anwar atau sesiapa pun. Mengapa kerajaan masih meneruskan kes ini terhadap Anwar? Dan mengapa mereka masih mencari doktor itu bersama keluarganya yang sekarang terpaksa bersembunyi?

Pertubuhan-pertubuhan masyarakat, NGO dan Majlis Peguam tidak seharusnya berdiam diri. Polistelah pun menahan doktor tersebut selama tiga hari tetapi masih enggan memalsukan laporannya. Anwar tidak meliwat Saiful dan laporan doktor melaporkan dengan begitu jelas dan polis juga mempunyai salinan laporan yang sama supaya mereka tahu apa yang aku tahu. Dan sekarang, rakyat Malaysia sudah pun mengetahui apayang polis dan aku tahu.... iaitu Saiful tidak pernah diliwat olehse siapa pun.

TranungKite

16.7.08

Musa: Penahanan Anwar ikut undang-undang

Jul 16, 08 6:27pm
Penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah sesuatu amalan biasa dalam siasatan kes jenayah dan
dibuat mengikut proses undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata adalah menjadi amalan kepada semua pihak termasuk Anwar, selaku tertuduh untuk tampil dan memberikan keterangan bagi membolehkan polis membuat siasatan secara adil.

"Polis tahu apa yang mereka lakukan dan polis hanya jalankan tanggungjawab bagi menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang petang ini dari Brunei.

Menurut Bernama, Musa pulang ke tanahair selepas menerima anugerah pingat kebesaran Sultan Brunei bergelar Datuk Seri Pahlawan semalam.

Musa juga menasihati penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya tidak membuat sebarang kekecohan ekoran perkembangan terbaru itu.

"Saya amat berharap mereka (penyokong PKR) tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang.

"Jika ada pihak yang sengaja membuat kekacauan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.

Polis pantau keadaan

Musa juga telah mengarahkan anggotanya untuk membuat pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal.

Sementara itu, PKR menerusi Biro Penerangannya mengeluarkan kenyataan meminta supaya penyokong parti itu bertenang berikutan penangkapan Anwar.

Terdahulu, peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu wartawan bahawa Anwar kini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat.

Katanya jika perlu Anwar akan dikenakan perintah reman selam 24 jam atau tidak melebihi 14 hari bagi membantu siasatan.

Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohd Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lalu.

Malaysia Kini

Kami dikepung, kata peguam

Jul 16, 08 6:12pm
"Saya berada di dalam kereta bersamanya ketika apabila beliau ditahan. Kami dikepung. Mereka (pasukan polis) berkata 'anda ditahan'"

Peguam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - N Sankara Nair - memberitahu pemberita demikian ketika menceritakan apa yang berlaku ketika Anwar ditahan tengahari tadi.

Katanya, anggota polis tidak menunjukkan sebarang waran tangkap ketika mereka menahan Anwar dekat rumahnya di Segambut Dalam.

Bagaimanapun, katanya, Anwar tidak digari ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda yang bercermin gelap.

Menurut Sankara, penahanan Anwar tiada kena mengena dengan keengganannya hadir di IPK KL Isnin lalu.

"Malah, beberapa minit sebelum beliau ditahan, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira menelefon kita bertanyakan sama ada kami akan datang. Kami jawab, kami akan berada di sana tepat jam 2 petang," katanya.

"Jika Anwar tidak hadir pada jam 2 petang, maka saya faham mengapa beliau perlu ditahan. Pihak polis telah melanggar kepercayaan dan keyakinan kami sebelum ini terhadap mereka," katanya.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar - Mohd Saiful Bukhari Azlan - telah membuat laporan polis, mendakwa dia telah diliwat oleh ketua umum PKR itu.

Manakala Anwar pula mendakwa, ia merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi ia dinafikan oleh pemimpin kerajaan.

Sankara berkata, pihak polis mesti menjelaskan tujuan Anwar ditangkap secara begitu.

Beliau juga menegaskan bahawa mengikut undang-undang, Anwar tidak perlu memberi contoh DNA kepada pihak polis.

Polis mula merakam kenyataan Anwar pada kira-kira 2.50 petang mengenai dakwaan liwat terhadapnya.

Adalah dipercayai Naib Presiden PKR, R Sivarasa - yang juga seorang peguam - hadir bersama Anwar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar mengesahkan bahawa Anwar telah ditahan, dan berkata mantan timbalan perdana menteri itu adalah suspek dalam kes liwat dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut AFP, beliau berkata, Anwar belum didakwa dengan apa-apa tuduhan lagi dan oleh itu, meminta supaya jangan dibuat sebarang kesimpulannya.

Beliau berkata, pihak polis perlu merakamkan kenyataan Anwar bagi menyiapkan siasatan.

Menurut Ismail lagi , sebaiknya semua fakta dikumpulkan, maka pihak polis akan membuat keputusan mengenainya.

Polis boleh menahan Anwar selama 24 jam dan selepas itu mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk tahanan reman sehingga 14 hari.

Tidak dapat dipastikan mengapa Anwar ditahan walaupun beliau telah bersetuju untuk disoalsiasat oleh pihak polis.

Anwar sepatutnya hadir di IPK Kuala Lulmpur pada hari Isnin untuk memberi kenyataan.

Bagaimanapun, beliau enggan berbuat demikian, dengan mendakwa pihak polis bertindak secara tidak profesional dan mengugut kakitangan dan anggota keluarganya, ketika hendak menyerahkan perintah mengikut Seksyen 111, Kanun Prosedur Jenayah, Ahad lalu.

Semalam, pihak polis memberi kata dua kepada Anwar supaya hadir di IPK Kuala Lumpur pada jam 2 petang atau menghadapi kemungkinan ditahan.

Malaysia Kini

Debat Anwar-Shabery : Satu Perspektif Peribadi.

Dilulus terbit pada Wednesday, July 16 @ 09:16:51 MYT oleh greenboc

Oleh AdukaTaruna

"Oleh : AdukaTaruna
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Pendahuluan.

Pertamanya tahniah kepada Agenda Daily. Selepas MyKMU, kini giliran Agenda Daily memacu satu elemen demokrasi sihat dari arena maya ke dunia terbuka. Entah bila lah kita dapat melihat TKO di bawah Pemuda PAS ini mempunyai satu elemen peneraju seperti ini. Satu ketokohan mencipta arus berbanding mengikut arus.


Tahniah kepada semua pihak.
Selepas penganjur, tahniah juga kepada penyokong kedua pihak yang matang, moderator (ada sedikit insiden lucu yang akan diulas), dan kepada pendebat sendiri. Anwar dan Shabery. Secara peribadi Shabery jauh lebih berkeupayaan dari Paklah atau Najib yang hamba ramalkan bakal menjadi budak belasahan sekiranya berdepan dengan Anwar.

Hamba menontonnya di sebuah restoran. Suasana seumpama melihat bola. Yang membezakannya ialah jika bola dipenuhi golongan muda, tetapi debat ini dipenuhi oleh golongan pertengahan.

Ketokohan Anwar.

Peristiwa debat ini, pada hamba, telah memperbaiki imej liwatnya, malah melonjakkan lagi popularitinya. Secara demokrasi, ianya adalah sesuatu peluang yang sihat. Tetapi secara peribadi, ianya (debat itu) membuatkan Anwar berada satu langkah di hadapan (berbanding taktikal peribadi).

Shabery semakin tenggelam apabila menghampiri hujung.

Pada hamba secara peribadi, Shabery semakin lari dari tajuk atau isu menjelang ke akhir. Dia banyak mempersoalkan kaedah politik Anwar berbanding tajuk debat minyak. Gerakan jalan raya, menentang Tun Razak, etc, adalah kaedah politik Anwar, bukan soal pokok isu minyak.

Ini yang hamba lihat lah. Berkenaan dengan inflasi, jumlah dan nilai, tidak berani hamba ulas kerana berada di luar kemampuan. Cuma, alangkah cantik sekiranya Anwar mempersoalkan, mengapa hasil minyak perlu dilacurkan untuk satu alasan pasarana sekolah / pembangunan? Di manakah sumber Malaysia lain seperti barangan elektronik, komoditi dan sebagainya?

Apabila itu dilakukan, maka, hampir setengah masa perdebatan yang berkisar subsidi minyak dipotong untuk perbelanjaan lain dapat dijimatkan. Pandangan peribadi lah.

Moderator yang lucu.

Dalam menilai dan melihat satu suasana Malaysia negara dunia pertama, perbahasan yang bukan diwakili pendebat bertaraf YB Kinabatangan, tiba-tiba datang satu unsur lucu dari moderator berkenaan.

Soalan untuk Anwar. Mengapa perlu menjadi PM? Mengapa tidak diberi idea-idea kepada kerajaan sahaja? (lebih kurang maksud)

Hahahaha. Tertawa sebentar penonton di restoran. Sangat melucukan. Tidak perlu susah payah berarak di jalananlah kalau idea di dengar kerajaan. Hahahahaha. Malah Anwar menjawab dengan sinis bahawa kehadiran dia di situ adalah untuk menyampaikan idea lah. Hahahahaha.


(Sebentar, hamba berhenti menulis sebentar untuk sambung ketawa. Hahahaha)

Masalah PAS ialah dalam tajuk ketokohan.

Sekali lagi, dalam persaingan sihat, masalah terbesar PAS ialah masalah ketokohan untuk menawarkan jawatan pesaing. Apa yang berlaku adalah sesuatu yang sihat apabila di nilai dalam tajuk gelanggang yang sedang dipersiapkan. Tetapi adalah pukulan kepada PAS apabila di nilai dalam sebuah persaingan sihat tajuk tertentu. Hamba memilih untuk tidak menghuraikan.

Apa pun, tahniah kepada semua pihak. Tahniah kepada penonton BN dan BR yang profesional, baik di dalam dewan mahupun di hdapan kaca TV. Masalah minyak adalah masalah kita semua. Ini bukan masalah politik peribadi.

Syabas. Penonton BN dan BR duduk semeja menonton satu suasana negara kelas pertama.

Terima kasih Menteri Penerangan.

Terima kasih semua.

Izinkan hamba sambung gelak yang tadi. Hahahahahahahahaha.

Wallahualam.

http://www.adukataruna.blogspot.com/

Raja Petra terima waran tangkap

Jul 16, 08 4:43pm
Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin berhubung siasatan akaun berkanunnya yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra dikehendaki hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 10 pagi esok.

Peguam pengendali Malaysia Today menerima waran itu pagi ini dan
Raja Petra mengesahkan perkara itu dengan polis petang ini, kata isterinya Marina Lee Abdullah.

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 18 Jun lalu, Raja Petra menuduh Rosmah antara tiga individu yang berada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia itu dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat dua orang lagi di tempat kejadian.

Beliau menamakan dua individu itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya pakar bom 'C4' dan isterinya yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.

Laporan perisikan

Mayat Altantuya ditemui telah hancur dibom dengan 'C4' di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam. Kes perbicaraan pembunuhannya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa kolonel itu yang memasang bom C4 di beberapa tempat di badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan pengawal peribadinya.

Raja Petra mendakwa lagi, beliau membuat akuan itu kerana beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembabitan orang-orang berkenaan yang sehingga ini belum dikaitkan atau dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan kes tersebut.

Penulis blog sensasi itu berkata, beliau juga membuat akuan bersumpah tersebut kerana beliau sedar bahawa menjadi kesalahan jika tidak mendedahkan bukti-bukti yang boleh membantu polis dalam siasatan kes jenayah.

Datuk Seri Najib Razak dan isterinya menafikan pembabitan mereka dengan Altantuya dan kes tersebut seperti dakwaan Raja Petra.

Malaysia Kini

Anwar minta penyokong bertenang

Jul 16, 08 4:41pm
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta para penyokongnya dan rakyat Malaysia supaya bertenang ekoran tindakan polis menahannya hari ini.

Beliau juga meminta mereka supaya menolak sebarang percubaan provokasi, yang boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan keadaan darurat.

Mantan timbalan perdana menteri itu menyatakan demikan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat beliau petang ini.

Pagi tadi, Anwar memberi kenyataan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporannya terhadap ketua polis negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung insiden 'mata lebam' pada 1998.

Menurut kenyataan itu lagi, semua ini merupakan ulangan episod yang berlaku terhadap Anwar pada 1998.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tidak akan bertolak ansur jika sesuatu yang tidak baik berlaku terhadap Anwar.

"Kami ingin mengingatkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai janjinya untuk memastikan Anwar diberi perlindungan," tambah kenyataan itu lagi.

Menurutnya, Anwar ditahan di luar rumahnya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada jam 1.05 tengahari tadi.

Mantan timbalan perdana menteri itu dijadual memberi kenyataan kepada ibu pejabat polis (IPK) Kuala Lumpur pada jam 2 petang berasaskan kepada persetujuan yang dicapai dengan pihak polis pada hari Selasa.

Kenyataan itu berkata, Anwar baru pulang ke rumahnya dari ibu pejabat BPR selepas memberi keterangan berhubung laporan polis yang difailkan berhubung kes penyembunyian fakta, yang membabitkannya pada 1998.

Menurutnya, ketika beliau menghampiri rumahnya, 10 kereta polis, separuh daripadanya tidak bertanda, memintas kereta yang dinaiki Anwar.

Sekumpulan 20 orang anggota komando menghampirinya, sekaligus mengingatkan kembali insiden ketika Anwar ditahan di rumahnya pada September 1998.

Seorang pegawai mendatangi Anwar dan mengarahkannya menaiki kereta polis yang tidak bertanda untuk dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur. Peguam beliau tidak dibenarkan ikut bersamanya dalam kereta polis tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, Anwar ditahan kurang 15 jam selepas beliau mengambil bahagian dalam perdebatan mengenai kenaikan harganya minyak yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Malaysia Kini

Anwar ditahan polis bertopeng




Jul 16, 08 1:15pm
kemaskini 3:59pm Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.

Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Nuha - dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan tersebut.

Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk "membangkitkan isu tersebut".

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.

Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"(Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa," katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam).

Sementara itu, pada jam 5.40 petang, peguam N Sankara Nair memberitahu, Anwar masih lagi memberi kenyataan kepada pihak polis.

Malaysia Kini

Pemenang debat isu minyak ialah...

Jul 16, 08 2:49pm
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai "pemenang" debat mengenai kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung malam tadi, demikian menurut tinjauan pendapat oleh Malaysiakini.

Tinjauan selama 12 jam itu dimulakan sebaik sahaja perdebatan Anwar dengan menteri penerangan Datuk Shabery Cheek selesai pada jam 10 malam tadi.

Hasilnya menunjukkan pembaca Malaysiakini percaya prestasi Anwar jauh lebih menyerlah daripada Shabery.

Sejumlah 18,684 pembaca menyertai tinjauan pendapat tersebut, dengan 17,240 atau 95 peratus bersetuju bahawa hujah-hujah Anwar adalah lebih meyakinkan.

Menariknya, walaupun Anwar dilihat lebih menyerlah dalam perdebatan tersebut, tetapi majoriti pembaca (57 peratus) berkata beliau kelihatan bergantung pada notanya.

Shabery pula kelihatan kurang merujuk kepada nota-notanya.

Bagaimanapun, 90 peratus pembaca percaya, menteri penerangan itu mengelak menjawab banyak soalan yang dikemukakan oleh moderator dan dua orang penalis.

Diminta memberi mata 1 hingga 10 bagi kedua-dua pendebat tersebut, Anwar ternyata lebih menyerlah daripada Shabery.

Perdebatan selama sejam itu merupakan yang pertama membabitkan seorang menteri dengan seorang tokoh pembangkang yang disiarkan secara langsung di TV.

Malaysia Kini

12.7.08

KONTRAK SOSIAL MALAYSIA

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at July 12, 2008 11:27 AM

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) di mana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu digunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini. Tetapi kerana Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada asasnya kalah dalam pilihanraya 2008 dan sekarang mengetuai Kerajaan yang lemah, pihak ekstrimis dan penyanggah sekarang ini mempersoalkan kontrak sosial ini. Majlis Peguam kini telah menjadi sebuah parti politik yang percaya bahawa kepakarannya dalam undang-undang akan mengecualikan ianya daripada dipersoal tentang kelayakannya dan objektif politiknya.

44. UMNO Abdullah tidak berdaya menangkis apa-apa serangan terhadap kontrak sosial ini. Jika apa-apa terjadi Abdullah dan UMNO harus dipertanggungjawabkan.


--------------------------------------------------------------------------------
Saya tidak hanya menerima begitu sahaja apa yang dilihat, anda tidak boleh percaya sepenuhnya apa yang anda lihat atau dengar. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan tanpa berfikir...TUN M

3.7.08

Janna Syariza @ blogger?

Dilulus terbit pada Thursday, July 03 @ 15:39:24 MYT oleh greenboc

Oleh geromal

"Tertarik dengan perkembangan kes liwat anwar ibrahim, saya cuba mengenali dengan lebih dekat profil saudara Saiful Bukhari. saya dapat rasakan semua pembaca menerima byk bahan bacaan yang sama, terutamanya berkaitan dengan komen keluarga,kawan serta tunangnya.

Cuma yang menariknya saya melihat tunang saudara saiful mungkin hanya "aktif" menjadi blogger setelah tunangya mendedahkan kejadian yang berlaku. Saya agak musykil kerana blog ini http://www.jannamohdzaki.blogspot.com/ hanya didafatarkan pada June 2008 dan posting yang pertama pada 30 June 2008 iaitu sehari selepas kes ini diumumkan oleh media.

Mungkin saya terlepas pandang pada blog Janna yang lain tapi pautan blog ini menjadi platform yang utama bagi pelayar internet membaca bagaiman Janna menyampaikan pendiriaanya. Persoalan yang menarik disini adakah blog ini telah siap disediakan terlebih dahulu dan menanti untuk mensensasikan lagi isu ini ataupun sememangnya luahan perasaanya semata-mata. Kalau Janna menulis berdasarkan perasaan dan pedirianya terhadap isu ini.. well i have to salute u janna...cool and calm. Still ada masa untuk create blog dan menulis rasa hati.

Uncle Pat pulak masih boleh tersenyum lebar dengan reporters..Saya cuma hairan melihat senario seperti ini dari segi psikologi seorang manusia normal sekiranya menerima sesuatu musibah yang tak terjangka. Tidak perlu saya ulas panjang dengan lebih lanjut lagi. Bak kata Nabil... Lu pikirlah sendiri....l u tengoklah sendiri...

TranungKite

2.7.08

Gambar Anwar

http://pinkturtle2.wordpress.com/2008/07/02/gambar-ceramah-anwar-di-stadium-melawati-semalam/

Nafikan Penglibatan, Najib Berbohong!



Dilulus terbit pada Wednesday, July 02 @ 20:26:03 MYT oleh SongkokPutih
Oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat penafian yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak adalah merupakan satu pembohongan di sebalik penafian yang sangat dangkal dan langsung tidak mencerminkan wujud kesahihan di sebalik kenyataan beliau.

Pembohongan beliau bahawa beliau tidak terlibat di dalam laporan songsang yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan tergambar jelas melalui fakta-fakta di sebalik kenyataan bercelaru yang dibuat Najib semalam.

Kenyataan Najib bahawa kehadiran Saiful bertemu Pegawai Khasnya pada 12 Februari lepas 'untuk mendapatkan sokongan permohonan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran' juga menimbulkan pertikaian besar. Bagaimanakah seorang bekas mahasiswa yang menamatkan pengajian awal boleh memohon biasiswa?

Dalam keadaan pertemuan tersebut dibuat sehari sebelum pembubaran Parlimen (13 Februari 2008), dan Saiful juga mula bertugas sewaktu kempen Pilihanraya Umum Ke-12 bermula, apakah 'sekadar satu kebetulan' pertemuan tersebut berlaku di Pejabat Timbalan Perdana Menteri?

Apakah wujud elemen rasuah di sebalik 'ganjaran biasiswa' yang ditawarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri ke atas Saiful sehingga sanggup melacurkan maruah diri untuk membuat laporan songsang sebagaimana yang didakwa?

AMK mencabar Najib untuk menafikan bahawa wujud satu pertemuan sulit yang melibatkan beliau dan Saiful dengan disertai oleh beberapa orang lain beberapa hari sebelum laporan polis dibuat oleh Saiful pada 28 Jun 2008.

AMK percaya bahawa wujud kerjasama terancang yang melibatkan Najib dan kuncu-kuncunya dalam konspirasi ini, bertujuan untuk mengelakkan pendedahan gempar Raja Petra Kamaruddin melalui Perakuan Sumpah beliau mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

AMK secara terbuka juga membuat tawaran kepada mana-mana pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara yang berjiwa besar untuk tampil ke hadapan memberikan informasi-informasi berkaitan dengan komplot konspirasi terancang yang melibatkan Najib, Musa Hassan dan Abdul Gani Patail untuk merencana laporan songsang ini yang bertujuan untuk mewujudkan provokasi yang boleh memberikan keuntungan politik kepada Umno-BN.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

TranungKite