Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

20.6.13

Isu PKFZ: Ling selesai bela diri


 
Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selesai membela diri selepas memanggil saksi terakhirnya, iaitu Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Faizal Abdullah.
Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, mengemukakan sembilan saksi, termasuk dirinya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan 22 Julai untuk hujahan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.
 
Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Terdahulu, Faizal memberitahu mahkamah bahawa Dr Ling tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat KDSB atau syer dan tidak pernah menawarkan habuan untuk projek PKFZ.

Faizal, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Operasi KDSB ketika projek itu berlangsung, berkata sepanjang proses penjualan tanah di Pulau Indah beliau hanya berurusan dengan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, bekas Timbalan KSU Datuk Abdul Rahman Mohd Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim P.Chandrasekaran.

Ditanya peguam Wong Kian Kheong sama ada beliau pernah berjumpa Dr Ling ketika itu, Faizal berkata: "Saya tidak ingat."

Dr Ling didakwa pada 29 Julai 2010, dan perbicaraan yang bermula 1 Ogos 2011 membabitkan 25 saksi pendakwaan termasuk bekas pegawai Kementerian Pengangkutan dan menteri kabinet.

Barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

- Bernama

Tiada ulasan: