Kampung air di Sabah, terutama di pantai timur, dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi hadapi ancaman keselamatan, demikian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah diberitahu semalam.

Pensyarah kanan sains sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) Wan Shabaruddin Wan Hassan berkata kajian pada 2002-2005 mengenai impak terhadap keselamatan akibat kehadiran pendatang haram di Sabah mendapati pendatang berkenaan terutama dari selatan Filipina, lebih suka mendiami kampung air sebagaimana kebiasaannya di negara asal mereka.

"Dalam pemerhatian kami, kampung-kampung air dilihat sebagai berbahaya oleh kerana penempatan ini menjadi sarang kegiatan haram, termasuk penyeludupan senjata yang polis sifatkan bukan sesuatu yang luar biasa.

"Semasa lawatan kami ke sebuah kampung air di Lahad Datu, kami terserempak dengan kegiatan mengedar wang palsu Malaysia yang digunakan dengan meluas di situ," kata beliau.

Wan Shabaruddin, yang mengajar dasar luar, berkata jenayah kecil seperti mencuri biasa saja berlaku di kampung air seperti di selatan Filipina.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan memantau dan mendaftar penduduk di semua kampung air daripada meruntuhkan kampung tersebut oleh kerana warga Malaysia juga tinggal di situ.

MP Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau memberitahu siasatan terdapat keperluan untuk mengkaji semula pengeluaran kad pengenalan di Sabah.

Madius, yang juga setiausaha agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), mengsorkan supaya kad pengenalan di Sabah ditarik balik dan dikeluarkan semula kepada mereka yang mempunyai sijil beranak bagi mengenalpasti warga Malaysia tulen.

Siasatan diketuai oleh bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Turut menyertai panel ialah bekas naib canselor UMS Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas ketua polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Datuk KY Mustapha, dan bekas timbalan ketua menteri Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas peguam besar Sabah.

Siasatan bersambung hari ini.

- Bernama