Umno dan Barisan Nasional (BN) akan memperkuatkan jentera pilihan rayanya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata BN Terengganu juga mesti menang di DUN itu bagi mengelakkan status 'DUN Tergantung' memandangkan BN mentadbir Terengganu dengan kelebihan dua kerusi DUN sahaja.

"Dengan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut, kedudukan sekarang ialah BN 16 dan Pakatan 15, jika pakatan menang di DUN Kuala Besut, kedudukan 16-16, ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

"Jadi untuk kestabilan pemerintahan negeri, BN mesti menang dan mempertahankan kerusi itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Akauntan Negara, di Putrajaya semalam.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia semalam akibat kanser paru-paru. Ini membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya kecil iaitu yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 bulan lepas.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan bagaimanapun optimis pengundi di Kuala Besut tetap bersama Umno dan BN.

Tambahan pula katanya Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan Kedua, merupakan pemimpin yang popular dalam kalangan penduduk di Besut, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 itu dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Pada pilihan raya umum itu BN Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan.

-Bernama