NGO Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memberi amaran kepada bekas pemimpin NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua Kia Soong agar tidak mempertikai dasar pengambilan pelajar Melayu dan bumiputera sahaja ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Presiden 2 ISMA, Abdul Rahman Mad Dali berkata kedaulatan agama Islam serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera termasuk dalam "perkara yang telah lama dipersetujui".

"ISMA memberi amaran kepada Suaram dan pertubuhan liberal yang lain agar tidak mempertikaikan perkara yang sudah lama dipersetujui.

"Kalau kita tak beri amaran, nescaya banyak lagi isu seperti UiTM, MARA (Majlis Amanah Rakyat) malah institusi raja-raja pun mereka akan minta dihapuskan berdasarkan hujah-hujah kesamarataan dalam perjuangan hak asasi manusia yang ditaja Barat," kata ISMA dalam kenyataannya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dr Kua yang mempertikai polisi kemasukan Melayu dan bumiputera sahaja ke kampus itu, seperti dilapor FZ.com.

Kua dilapor berkata polisi tersebut mencabul konvensyen antarabangsa menentang perkauman dan diskriminasi kaum.

Abdul Rahman mendakwa Kua dilihat mempunyai motif lain apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian dan berasa pelik kerana seolah-olah seperti baru mengenali konsep negara.

Sebaliknya, katanya, Kua sepatutnya memahami tujuan UiTM ditubuhkan iaitu membangunkan orang Melayu dan itu adalah hak orang Melayu.

"Ia telah diterima oleh semua pihak seperti mana bangsa Cina dan India mendapat hak kewarganegaraan," kata beliau.