Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

12.6.13

EAIC serap pegawai MACC terlibat kes Beng Hock?


6:44PM Jun 12 2013  
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) didakwa menyerap seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal siasat mendiang Teoh Beng Hock yang mati pada tahun 2009.

Dalam kenyataan media bersama, MP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan MP Bukit Mertajam, Steven Sim berkata perkara itu akan menyebabkan integriti EAIC dicurigai khalayak.

Persoalan itu dibangkitkan mereka ekoran terdapat laporan mengenai seorang pegawai bernama Mohd Nadzri Ibrahim yang menganggotai panel enam orang untuk menyiasat dua kematian dalam tahanan baru-baru ini.

Menurut laman web EAIC, Mohd Nadzri adalah Penolong Pengarah Kanan bagi Seksyen Siasatan & Pencegahan, Bahagian Siasatan EAIC.

Mohd Nadzri adalah saksi ke-24 dalam inkuiri Suruhanjaya Di Raja (RCI) untuk menentukan punca kematian Teoh.

Beliau merakam kenyataan Teoh beberapa jam sebelum Teoh ditemui mati.

Bagaimana pun, RCI tidak mensabitkan Mohd Nadzri terhadap sebarang kesalahan dan mengaitkan tiga yang lain - Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Ketiga-tiga mereka bagaimana pun tidak pernah dijatuhkan sebarang hukuman.

Zairil dan Sim percaya bahawa bukti menunjukkan Mohd Nadzri yang tersenarai di laman web EAIC adalah orang yang sama yang menyoal Teoh sebelum beliau mati.

Perkara itu kata mereka menyebabkan Nadzri tidak layak menganggotai panel bagi menyiasat kematian dalam tahanan.

"Memandangkan EAIC berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, kami menggesa perdana menteri agar segera mengesahkan dan menjelaskan sama ada Mohd Nadzri Ibrahim daripada EAIC ini merupakan pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan Teoh Beng Hock dahulu.

"Jika ya, Mohd Nadzri Ibrahim harus dilucutkan serta merta daripada pasukan petugas EAIC serta daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan," kata mereka dalam kenyataan.

EAIC sewaktu dihubungi memohon sedikit masa untuk mengulas dakwaan Zairil dan Steven Sim.

Tiada ulasan: