Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

21.6.13

Umno Sabah: Kekalkan gandingan presiden, timbalan



Badan Perhubungan Umno Sabah membuat ketetapan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata anggota badan itu merasakan bahawa presiden Umno sedia ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu gandingan mantap yang perlu dikekalkan.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata kepimpinan mereka berdua juga mendapat sokongan yang begitu kuat di kalangan anggota Umno khususnya di peringkat akar umbi.

"Kita percaya kepimpinan dan gandingan yang berwawasan ini akan membawa parti ke tahap yang lebih teguh, dinamik dan berdaya menang. Kita berbincang (membuat ketetapan) demi kebaikan Umno khususnya d Sabah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama badan itu, selepas pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, di Bangunan Umno, di Kota Kinabalu malam tadi.

Turut hadir timbalan pengerusi badan itu Datuk Seri Salleh Said Keruak dan setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin.

Musa berkata pada mesyuarat itu, beliau turut berterima kasih kepada semua ketua bahagian, ketua pemuda, wanita dan puteri Umno yang bekerja keras, bersatu padu dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan Umno dan BN khususnya di Sabah pada pilihan raya umum lepas.

"Berkat kesepaduan, kesepakatan kami bersama, maka Umno Sabah "tatap" mantap, dan kami menang hampir semua kerusi (yang ditandingi calon Umno)...cuma di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kita kalah satu kerusi di DUN Klias (kerusi negeri di kawasan Parlimen Beaufort)," katanya.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata ini jelas membuktikan bahawa Umno Sabah masih kuat dan mantap selain menggambarkan wujudnya kesepakatan dan kerjasama yang kuat.

"Dalam hal ini, saya minta kesepakatan ini diteruskan dan terus turun padang untuk memastikan, selain kita ucap terima kasih banyak kepada pengundi kita, kita juga terus memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: