Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wanita harus memainkan peranan utama sekiranya negara-negara mahu membina ekonomi yang mampan dan berjaya.

Perdana Menteri berkata menyediakan peluang ekonomi untuk wanita dan remaja perempuan "bukan sekadar perkara betul untuk dilakukan tetapi merupakan perkara bijak untuk dilakukan."

"Saya percaya kejayaan dan kewibawaan sesebuah negara patut dinilai berdasarkan status yang diberikannya terhadap wanitanya," katanya dan menurutnya di Malaysia, wanita mempunyai hak untuk mengundi sejak kemerdekaan dicapai pada 1957 dan wanita menerima upah samarata sejak 1969.

Merasmikan Sidang Kemuncak Global Wanita 2013 bertema 'Wanita: Mewujudkan Ekonomi-Ekonomi Baharu" di Kuala Lumpur pada Khamis, Najib berkata negara telah mula beralih daripada 'perlindungan dan perwakilan' kepada 'pengiktirafan dan pemerkasaan' wanita.

"Kejayaan-kejayaan ini milik lelaki dan wanita Malaysia yang telah berjuang bagi kesamarataan lebih baik, yang telah dipamerkan menerusi pencapaian-pencapaian mereka bahawa kejayaan bukan hanya untuk individu, tetapi yang membawa manfaat kepada semua," katanya.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden Kosovo Atifete Jahjaga dan Naib Presiden Vienam Nguyen Thi Doan.

Najib berkata beliau mahu melihat lebih banyak usaha bersepadu dilakukan oleh sektor awam dan swasta untuk mewujudkan persekitaran kerja yang mengekalkan dan mampu menarik penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Beliau turut berkongsi dengan audien bahawa Bank Dunia menganggarkan antara 500,000 hingga 2.3 juta wanita Malaysia memilih untuk meninggalkan dunia pekerjaan untuk menjaga anak, ibu bapa yang telah berusia atau anggota keluarga mereka.

"Bagi banyak wanita, persekitaran kerja yang tidak mesra keluarga berupa sesuatu yang tidak mampan, jadi kita telah membazirkan bakat, pengalaman dan potensi. Ini merupakan satu daripada kehilangan tenaga kerja pakar yang paling serius yang kita perlu tangani," katanya.

Najib berkata bagi tiga tahun akan datang, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus, sasaran yang boleh dicapai sekiranya sektor awam dan swasta komited untuk mengekalkan pekerja berbakat yang telah meninggalkan sistem terlalu awal.

Bagi sektor awam, Najib berkata ini mungkin memerlukan semakan semula peraturan dan syarat yang telah ditulis semasa persekitaran kerja adalah berbeza dan tiadanya akses kepada kemudahan teknologi untuk berhubung dan persidangan video.

"Jadi cabaran saya kepada perkhidmatan awam Malaysia ialah; mari kita sama-sama mengkaji perubahan-perubahan yang dapat membantu wanita berbakat untuk memasuki semula perkhidmatan. Keadaan pada masa kini sudah berbeza," katanya.

Untuk mengalakkan sektor swasta menyahut cabaran itu, Perdana Menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan insentif pengurangan cukai berganda bagi syarikat yang mengekalkan dan menggaji wanita selepas berehat atau berhenti sementara.

"Dan saya telah mencabar sektor korporat untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan kanan pembuat keputusan dan lembaga korporat, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan dan pelbagai suruhanjaya, menjelang 2016," katanya.

Najib turut menonjolkan fakta bahawa Institut Pengupayaan Wanita Negara, di bawah program latihan pengarah wanitanya, telah melatih lebih 300 wanita yang bersedia untuk memegang jawatan dalam lembaga korporat.

Beliau berkata orang ramai perlu mengiktiraf bahawa kerja membabitkan penjagaan bukan khusus untuk wanita sahaja kerana lelaki juga perlu berkongsi tanggungjawab itu sekiranya mereka dapat berbuat demikian, membolehkan wanita mendapat peluang yang sama untuk memberi tumpuan kepada kerjaya mereka.

Lebih 1,000 peserta dari kira-kira 70 negara mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tiga hari itu, dan dalam sejarahnya selama dua dekad, telah menyediakan platform global bagi wanita berkongsi 'apa yang boleh dilakukan' dalam mempercepatkan kebolehcapaian ekonomi wanita.

- Bernama