Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, kejadian tiga tahanan mati di dalam lokap dalam masa dua minggu akan menjatuhkan imej serta reputasi polis sekiranya tiada tindakan tegas diambil pada pegawai yang terlibat.

Beliau juga berkata, selaku badan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat, anggota polis yang melakukan kesalahan sehingga menyebabkan tahanan di dalam lokap terbunuh perlu dikenakan tindakan yang tegas serta tidak dilindungi oleh undang-undang.

NONE"Sepatutnya balai polis jadi tempat ruang terselamat bagi mana-mana orang kerana ia tempat yang mengikut undang-undang.

"Bila perkara begini berlaku dan menteri dalam negeri tak ambil tindakan tegas, ini menjatuhkan imej dan reputasi polis dan juga menghilangkan kepercayaan rakyat pada polis," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Dalam masa kira-kira dua minggu, sebanyak tiga insiden kematian tahanan dalam lokap iaitu pada 21 Mei, N Dhamendran, 32, mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada 26 Mei pula, R Jamesh Ramesh, 40, ditemui mati sehari selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. Manakala, pada 1 Jun lalu pula, jurutera P Karuna Nithi, 42, mati dalam tahanan polis di Tampin, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam sidang medianya semalam pula berkata, anggota polis yang didakwa terlibat dengan kematian Dhamendran akan digantung tugas hariannya.

Bagaimanapun, mengulas mengenai tiga kematian tahanan tersebut, Zahid yang mempertahankan pasukan polis berkata, tidak adil jika menyalahkan pasukan polis secara keseluruhan hanya disebabkan tindakan sesetengah anggota yang melampaui garis panduan operasi siasatan.