Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

21.6.13

Jerebu di S'pura bertambah buruk, IPU cecah 400



Keadaan jerebu di Singapura bertambah buruk dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat 11 pagi ini mencecah tahap berbahaya iaitu 400, kata Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA).

Bacaan IPU antara kosong dan 50 dikategori sebagai baik; 51 hingga 100, sederhana; 101 hingga 200, tidak sihat; 201 hingga 300, sangat tidak sihat; dan lebih 301, berbahaya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada sidang akhbar semalam memberi amaran kepada rakyat Singapura bahawa keadaan itu dijangka berterusan untuk beberapa minggu.

"Kami tidak dapat memberitahu jangka masa masalah jerebu ini. Ia mungkin berlanjutan selama beberapa minggu, dan mungkin agak panjang sehingga musim kemarau berakhir di Sumatera. Kita perlu menyesuaikan tindakan kita dengan perubahan keadaan dan melindungi diri kita dengan cara yang lebih praktikal," katanya.

Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Jerebu Antara Kementerian (HIMC) untuk menyelia usaha menyeluruh di peringkat nasional.

Jerebu asap daripada pembakaran hutan di Sumatera, bagi membersihkan tanah untuk pertanian, telah dibawa tiupan angin dari barat daya atau barat dan memberi kesan kepada Singapura serta beberapa negeri di semenanjung Malaysia.

Sementara itu, wakil Singapura mengadakan mesyuarat tergempar dengan pegawai Indonesia di Jakarta semalam untuk membincangkan keadaan jerebu yang semakin teruk.

Mesyuarat itu diatur Kementerian Luar Indonesia melibatkan pegawai kanan Indonesia, kata kenyataan yang dikeluarkan NEA.

Singapura menegaskan jerebu tetap merupakan masalah rentas sempadan yang bukan sahaja memberi kesan ke atas Indonesia tetapi juga negara serantau.

Indonesia memberi jaminan kepada Singapura bahawa ia akan memberi lebih perhatian kepada isu itu.

Pada mesyuarat itu, Indonesia memberi taklimat mengenai rancangannya meningkatkan keupayaan menangani kebakaran dan memastikan agensi-agensinya membuat laporan dua kali sehari kepada pasukan petugas kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Koordinasi bagi Kebajikan Rakyat, Agung Laksono.

Indonesia juga bercadang meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di lapangan dengan menghantar penyiasat ke Bengkalis bagi mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat perladangan yang tidak bertanggungjawab.

Berikutan ada laporan dari Kementerian Perhutanan Indonesia bahawa syarikat-syarikat Singapura mungkin terlibat dalam aktiviti pembakaran haram, Singapura meminta Indonesia berkongsi nama syarikat yang terlibat walaupun tanggungjawab untuk mengambil tindakan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap syarikat-syarikat itu terletak di tangan Indonesia.

Ia menekankan adalah lebih baik jika Indonesia mendedahkan kesemua syarikat yang terlibat dalam tindakan itu tanpa mengira sama ada mereka berdaftar di Indonesia, Malaysia atau Singapura agar mereka boleh dikenakan tindakan.

Singapura juga menawarkan pakej bantuan kepada Indonesia sama seperti sebelum ini yang antara lain ialah sebuah pesawat bagi operasi pembenihan awan dan gambar satelit dengan resolusi tinggi dan koordinat titik panas.

Singapura turut meminta Indonesia mengesahkan Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan Asean yang ditandatangani Indonesia pada 2002. Indonesia memaklumkan Singapura bahawa mereka akan mendapatkan kelulusan Parlimen berhubung perkara itu.

-Bernama

Tiada ulasan: