Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.

NONEDalam kenyataannya lewat petang ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penamaan Abdul Kadir telah dikemukakan atas nama ahli parlimen Bandar Tun Razak merangkap menteri besar Selangor sebagai mewakili pendirian Pakatan pada 10 Jun 2013.

"Datuk Abdul Kadir memenuhi semua kriteria yg selayaknya sebagai Yang Dipertua. Beliau telah menabur bakti kepada negara selama lebih 50 tahun dalam pelbagai jabatan, kementerian, negeri, suruhanjaya, kehakiman dan Majlis DiRaja Negeri.

"Satu pemberitahu bersurat mengenai penamaan itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat mengikut kehendak Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 4(1).

"Pakatan bertegas bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat," kata Anwar dalam kenyataan itu.

Anwar berkata Abdul Kadir bersara sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 Mac 2006 dan kemudiannya dilantik menjadi anggota Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai kematian Teoh Beng Hock, Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM dan ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu.

"Pakatan Rakyat berkeyakinan penuh bahawa pemilihan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang di-Pertua akan meningkatkan lagi penghormatan rakyat terhadap institusi Parlimen dan melonjakkan kewibawaannya di persada antarabangsa," kata Anwar.