DAP hari ini memberi amaran keras kepada ahli parlimen Bakri Er Teck Hwa ekoran tindakannya menghadiri taklimat parlimen semalam, yang dianggap "telah melanggari disiplin parti".

Ketua Whip DAP Anthony Loke menegaskan kepimpinan parti memandang serius perkara tersebut dan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab supaya beliau memberi penjelasan semalam.

Bagaimanapun, Anthony yang juga ahli parlimen Seremban berkata Er telah memberikan penjelasan secara bertulis dan memohon maaf di atas tindakan beliau itu.

"Setelah berbincang dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, saya selaku Whip DAP akan memberikan satu surat amaran keras kepada Er Teck Hwa supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

"Namun, memandangkan beliau telah mengakui kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka, saya mengambil keputusan untuk tidak merujuk beliau ke Jawatankuasa Disiplin DAP," kata Anthony dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony berkata amaran itu perlu dijadikan satu pengajaran kepada Er termasuk semua ahli parlimen DAP supaya sentiasa bertindak secara kolektif dan mematuhi keputusan pucuk pimpinan parti dalam menjalankan tugas sebagai ahli parlimen DAP.

Semalam Er Teck Hwa memohon maaf kerana menghadiri majlis taklimat untuk ahli parlimen yang sepatutnya dipulaukan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa tidak menerima apa-apa arahan rasmi untuk tidak menghadiri majlis berkenaan, walau mengetahui mengenai perkara itu melalui laporan media.