Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri dan beberapa agensi kerajaan terlibat dalam operasi membawa masuk ribuan penduduk dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia untuk mengundi.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mempunyai bukti berhubung kemasukan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan sewa khas.
Pihaknya juga mendapat maklumat mengenai kenaikan mendadak kemasukan
warga asing dari Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar melalui Bukit Kayu Hitam dan juga dari Indonesia melalui Pelabuhan Klang.
Mengikut pengiraan pihaknya, sebanyak 16 penerbangan dibuat dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia menggunakan jumbo jet iaitu sebanyak 4,500 penumpang tiba di KLIA setiap hari bermula 25 April hingga 1 Mei.
Ini bermakna sebanyak 40,500 orang tiba di KLIA dalam tempoh ini.
"Dokumen dari MAS ada penerbangan banyak sekali yang dimport khas termasuk jumbo jet 747 dari Kuching dan Kota Kinabalu ke KLIA.
"Kita dapat maklumat penerbangan ini diuruskan oleh JPM dan ada tandatangan menteri.
"Ini dibimbangi dilakukan untuk pilihan raya pada 5 Mei ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR bersama pemimpin PAS dan DAP, dekat sini hari ini. -HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan