Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

11.5.13

Memo kepada SPR hasil hasutan, kata Wan Ahmad


 
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendakwa memorandum yang diterima SPR dari beberapa pergerakan belia dan mahasiswa semalam dibuat berdasarkan fitnah dan hasutan termasuk daripada pemimpin pakatan rakyat yang tidak bertanggungjawab dan media sosial.
  
Katanya, memorandum itu jelas menunjukkan bahawa ia dibuat tanpa penyelidikan dan oleh mereka yang tidak memahami undang-undang negara.
  
"Inilah akibat meracuni fikiran anak-anak kita, pelajar kita di universiti-universiti, kolej-kolej, dengan pembohongan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
  
Wan Ahmad berkata memorandum itu antara lain menyebut tentang kehadiran pengundi asing pada pilihan raya umum Ahad lepas, sedangkan penjelasan telah diberikan  mengenai proses pendaftaran pengundi di negara ini iaitu adalah mustahil untuk warga asing mengundi.
  
Mengenai manipulasi dan penipuan yang didakwa dilakukan SPR termasuk mengenai pengundi hantu, beliau meminta bukti-bukti mengenainya dibawa ke mahkamah.
  
Wan Ahmad berkata golongan muda selalunya mempunyai sikap 'menentang' dan ingin membuat perkara  yang berlainan, dan perkara itulah yang diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpin pakatan rakyat yang tidak bertanggungjawab.
  
"Saya difahamkan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya (Rabu lepas), 80 peratus (yang hadir) adalah berusia 40 tahun ke bawah dan ada sebahagiannya tak sampai umur 21 tahun, tak tahu apa tapi seronok pergi stadium. Pemimpin (pakatan rakyat) ambil kesempatan cakap berapi-api kerana kecewa tak dapat jadi Perdana Menteri, inilah yang berlaku di negara kita sekarang," katanya.
  
Wan Ahmad menegaskan apa yang dibuat SPR adalah mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara dan parti-parti politik sedia maklum  mengenai undang-undang tersebut, malah banyak buku-buku penjelasan mengenainya telahpun diterbitkan.
  
"Anak-anak muda yang dihasut pemimpin pembangkang mungkin tak baca buku undang-undang, tapi pemimpin politik baca.
  
"Kalaulah pihak berwajib tidak membetulkan segala dakyah yang berlaku ini, amat malang sekali kerana Malaysia sudah berjaya dalam pelbagai bidang, kemajuan ekonomi, sosial...proses demokrasi berlandaskan undang-undang, namun pihak yang kalah mengajar rakyat tak mahu terima undang-undang akan membawa negara ke arus kehancuran," katanya.
  
Semalam, sekumpulan kira-kira 50 pemuda yang mendakwa daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa  Malaysia, Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia dan Gerakan Mahasiswa 13, menghantar memorandum kepada SPR di sini antaranya mendesak pegawai SPR  meletak jawatan, penubuhan SPR di bawah satu kepimpinan baharu dan pilihan raya umum diadakan semula.

- Bernama

Tiada ulasan: