Timbalan pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempennya di Kedah pada malam tadi menumpukan usaha untuk meraih sokongan pengundi Cina dengan memberi jaminan bahawa BN tidak tidak akan menutup sekolah Cina di negeri tersebut.
Tegasnya, kerajaan BN tidak pernah berhasrat untuk menutup sekolah Cina sekalipun bilangan muridnya sedikit memandangkan permintaan ibu bapa yang mahu pelajaran untuk anak-anak mereka di satu-satu kawasan.

Keadaan itu berbeza dengan prestasi yang ditunjukkan Pakatan Rakyat dalam membantu golongan Cina, katanya.

"Saya mahu tanya orang Cina di Kedah. Apa Azizan buat untuk orang Cina di Kedah. Kamu beritahu sama saya. Berapa banyak kuil dan sekolah Cina bantu, kasi tahu sama saya.

"Kamu beritahu sama saya apa ekonomi dan pelabur yang dia bawa? Mana sekolah sekolah Cina dia buat, kuil Cina dia bagi?... Tak ada, jadi kenapa kamu mahu mengubah (kerajaan pusat)?," soalnya.

Oleh yang demikian, pengundi Cina tidak wajar mengubah kerajaan BN yang selama ini berkhidmat dan menjaga kebajikan institusi pendidikan mereka, katanya.

Malah kerajaan persekutuan juga memberi perhatian terhadap kira-kira 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina dan 600 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil termasuk untuk membayar gaji guru yang mencecah lebih RM2 bilion setahun.

Muhyiddin juga mengambil peluang untuk mengumumkan bahawa sumbangan kerajaan persekutuan sebanyak RM5.1 juta kepada lebih 90 buah sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah persendirian, telah diluluskan sebelum tarikh pilihan raya diumumkan lagi.

"(Jadi) apa pasal mahu ubah (kerajaan pusat). Kenapa perlu ubah... Ada kamu mempunyai alasan sebenar untuk membuat perubahan. Kita (BN) berkhidmat kepada negara ini dengan baik. Dahulu kita tidak maju seperti ini. Waktu dulu kita susah, cari makan pun susah.

"Sekarang kita sudah menjadi negara maju... Kita tidak ada gaduh, tidak ada perang, aman dan selamat kerana kerajaan BN mencari jalan untuk hidup sama-sama.

"Sebab itu, kita BN, bukan Pakatan Rakyat" katanya dalam majlis makan malam 'Sentuhan Kasih' di Sekolah Menengah Keat Hwa (persendirian).

Kira-kira 1,600 hadirin yang terdiri lembaga pengelola sekolah jenis kebangsaan cina, sekolah cina persendirian, persatuan guru dan ibu bapa, serta guru-guru di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau - yang juga timbalan presiden Umno - berharap supaya kaum Cina supaya memberi sokongan kepada BN dan mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri kepada parti itu pada pilihan raya umum nanti.

"Jangan beri terus kepada PAS, beri kepada BN... Orang Cina akan lihat, dalam tempoh satu atau dua tahun, dengan perdana menteri dan saya bantu, Kedah kita akan tunjukkan (pentadbiran) lebih baik daripada PAS Kedah.

"Dia tak tahu buat kerja. Kasi sokong kuat-kuat pada BN," katanya yang juga timbalan presiden Umno.