Tan Sri William Mawan Ikom, calon BN bagi kerusi Parlimen Saratok, hari ini berjanji akan menderma semua elaun anggota parlimennya kepada penduduk setempat sekiranya parti itu mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.
  
"Sebuah badan khas akan ditubuhkan untuk mengurusnya (elaun) demi manfaat mereka. Ini adalah antara sumbangan saya (kepada rakyat)," katanya ketika berucap di majlis bersama rakyat di Dataran Krian di Tebingan Saratok yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Menteri Pembangunan Sosial negeri dan presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu berkata agenda utama beliau ialah untuk membawa era baru pembangunan dan kemajuan ke Saratok, sebuah pekan luar bandar di Bahagian Betong.
  
Kata Mawan beliau sedar cabaran sengit yang dihadapinya untuk mengekalkan kerusi itu, "tapi saya yakin, dengan sokongan padu rakyat dan semua parti komponen BN, kita akan menang.
  
"Perjuangan ini adalah untuk semua rakyat. Sekiranya BN menang, ia adalah kemenangan untuk mereka semua juga," katanya.
  
Mawan berkata ketika turun padang untuk berkempen di sebahagian daripada lebih 400 rumah panjang di kawasan parlimen itu, beliau dapati masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduknya.
  
Beliau juga meminta penduduk di situ mengetepikan isu berhubung kedudukannya sebagai orang luar.
  
"Isu ini kecil saja, berbanding perkara lebih penting berkaitan kesejahteraan hidup, kemajuan dan pembangunan untuk rakyat, yang hanya boleh ditangani oleh BN," katanya.
  
Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen Saratok dimenangi BN melalui Datuk Jelaing Mersat. Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan persekutuan itu tidak diletakkan sebagai calon pada pilihan raya umum kali ini.
  
Bernama