Seramai 34 ahli PKR yang bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) dipecat daripada parti itu.
  
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua berkata tindakan itu diambil selepas mereka gagal menarik diri daripada bertanding dan memohon maaf kepada PKR setelah parti pembangkang itu memberi mereka tempoh sehingga 5 petang pada Khamis lepas.
  
Beliau memberitahu Bernama bahawa kesemua ahli tersebut merupakan pemimpin peringkat cabang.
  
"Mengikut perlembagaan parti pun, kalau ada ahli yang masuk parti lain atau menentang parti, automatik akan kena pecat tetapi kita beri amaran dan tempoh untuk memohon maaf.
  
"Namun sehingga 5 petang Khamis lepas, tiada sebarang respon daripada ahli-ahli ini. Selepas ini, mereka akan diberikan surat pemecatan," katanya.
  
Sebelum ini, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi tempoh sehingga Khamis lepas kepada ahli PKR yang bertanding sebagai calon bebas untuk memohon maaf dan menarik diri daripada bertanding.
  
- Bernama