Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh menyampaikan Surat Penghargaan Khas Ops Aman kepada Konstabel Muhalim Osop yang sabar menghadapi caci hamun sekumpulan peserta perhimpunan bagi membantah penahanan aktivis mahasiswa pembangkang di depan Balai Polis Jinjang Khamis lepas.
  
Muhalim, 22, dari Sabah, yang bertugas di balai itu pada malam kejadian, melayani karenah peserta pehimpunan dan mendengar kata-kata kesat mereka kepadanya tanpa mengambil sebarang tindakan agresif.
  
Perhimpunan itu bertujuan mendesak pihak berkuasa membebaskan Adam Adli Abdul Halim yang ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
  
Amar Singh memuji tindakan Muhalim dan menyifatkan kesabaran serta kecekalan anggota polis mengendalikan perhimpunan itu perlu dijadikan teladan oleh seluruh pasukan keselamatan berkenaan.
  
"Kumpulan tersebut sengaja menghamburkan kata-kata kesat yang mencabar polis, tetapi beliau amat sabar dan tenang walaupun berdepan dengan cabaran besar itu.
  
"Ada seorang perempuan yang mendakwa dirinya peguam, menuding jari ke muka beliau, namun beliau tetap sabar dan bertindak secara profesional dengan menenangkan mereka secara baik," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

- Bernama