Masalah perkauman di negara ini bukan berpunca daripada institusi sekolah vernakular tetapi parti yang berasaskan kaum, kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Anggota Parlimen Temerloh yang baru itu berkata, penghapusan sekolah jenis kebangsaan (SJK) hanya memburukkan keadaan dan merugikan masa depan negara kerana pelajar berhak memilih aliran mengikut budaya masing-masing yang dijamin perlembagaan.

NONE"Masalah perkauman di negara ini timbul secara berulang kali ekoran kewujudan parti-parti bersifat perkauman seperti Umno, MCA dan MIC.

"Parti-parti inilah yang sepatutnya dihapuskan dan dibatalkan pendaftarannya oleh ROS," katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah pada 12 Mei lalu dilaporkan mahu SJK dihapuskan kerana berpendapat ia tidak diiktiraf Perlembagaan dan hanya memecahbelahkan rakyat.

Katanya, integrasi nasional akan lebih erat jika SJK sedia ada diubah kepada sekolah kerajaan kerana pelajar pelbagai kaum boleh berkongsi kelas, kantin dan bermain di gelanggang yang sama.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasrudin berkata, kewujudan parti-parti sebegitu akan mendorong kepada perpecahan rakyat mengikut warna kulit.

Berbeza dengan parti berasaskan kaum, tambahnya, amalan di sekolah vernakular jauh berbeza apabila pelajar pelbagai bangsa bebas untuk memasukinya, tidak seperti parti seperti Umno, MCA dan MIC.