Empat anggota polis, termasuk seorang pegawai, yang sebelum ini menyiasat kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras membabitkan N Dharmendran, kini ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
  
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata langkah itu bagi memudahkan laluan siasatan Bukit Aman berhubung kes kematian tahanan berkenaan di lokap.
  
Kematian Dharmendran, 32, di lokap IPKKL pada Selasa selepas mengadu sakit dada, didapati mempunyai unsur jenayah. 

Semalam, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene berkata polis membentuk satu jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.
  
Jawatankuasa itu, yang antara lain ditugaskan memantau tahap keselamatan dan kesihatan tahanan, akan berkuat kuasa sejurus selepas pelancarannya dalam masa terdekat.

- Bernama