Perhimpunan "Blackout 505" akan diteruskan lagi pada bulan depan bagi menolak keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu, kata Pengarah penganjur bagi perhimpunan itu, Datuk Johari Abdul.
Katanya, perhimpunan itu akan diteruskan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan mereka.

parliament briefing 030408 johari abdulTiga tuntutan itu ialah meminta supaya anggota SPR letak jawatan, mengadakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen serta menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula.

"Sehingga kini lebih setengah juta rakyat Malaysia pelbagai kaum, latarbelakang dan umur telah menyertai blackout 505.
"Ia menjadi lambang kesedaran politik rakyat yang mewakili suara majoriti 51 peratus yang menyokong reformasi dan perubahan di negara ini," kata Johari (atas) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Sehubungan itu, menurut Johari, empat negeri akan mengadakan perhimpunan blackout 505 pada bulan Jun iaitu:
  • 10 Jun - Perlis
  • 11 Jun - Sungai Petani, Kedah
  • 12 Jun - Kota Bharu, Kelantan
  • 14 Jun - Batu Pahat, Johor
Ditanya sama ada bagi perhimpunan akan datang itu, pihak penganjur akan meminta kebenaran daripada pihak polis, Johari dengan ringkas menjawab "Ya".

Sebelum ini, beberapa siri soal siasat telah dilakukan berhubung perhimpunan Blackout 505 di seluruh negara.

Isnin lalu, empat pemimpin Pakatan, dua di Perak dan masing-masing seorang di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout 505'.