Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

16.5.13

KJ : Nekad ubah persepsi golongan muda terhadap kerajaan


16 Mei 2013
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan jawatan yang disandangnya sebagai amanah yang mempunyai cabaran besar dalam mendekati golongan muda dan membentuk persepsi positif mereka terhadap kerajaan.
  
"Ini satu amanah cukup besar dan kali ini portfolio ini saya lihat amat berat sekali terutama untuk mendekati generasi muda dan membentuk persepsi yang lebih positif terhadap kerajaan serta membawa suara generasi muda ke dalam kerajaan," katanya kepada pemberita.
  
Beliau ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara di sini pagi tadi.
  
Mengenai pembaharuan yang mahu dibuat dalam kementeriannya, Khairy Jamaluddin berkata ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.
 
Bagaimanapun berdasarkan tugasnya yang dibahagikan kepada hal ehwal belia dan sukan, beliau berkata beliau akan memfokus kepada usaha membentuk generasi muda yang cintakan negara dan mencuba sebaik mungkin untuk mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke peringkat dunia.
   
"Semalam dalam media sosial, semua meminta pasukan Harimau Malaya supaya layak ke Piala Dunia. Saya tidak tahu nak buat macam mana dalam tempoh masa yang singkat. Walaupun harapan mereka tinggi, saya anggap ini satu cabaran untuk saya menggalas tugas dan harapan ini," katanya.
  
Beliau berkata beliau akan membawa pendekatan tersendiri mengikut perspektif dirinya sendiri sebagai golongan muda bagi melaksanakan perubahan terhadap program Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
  
"Saya tidak tahu dari segi perbezaan untuk masa sekarang tetapi mungkin saya datang daripada generasi yang berbeza daripada menteri-menteri sebelum ini. Mungkin perspektif saya berbeza sikit, jadi saya melihat melalui perspektif ini yang lebih muda mungkin saya dapat bawa sedikit perubahan kepada program-program dalam KBS," katanya.
  
Khairy  juga mengharapkan Kabinet yang diistilah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kabinet transformasi mampu benar-benar memahami kehendak generasi muda.
  
"Saya harap saya dapat menjadi jurucakap bagi generasi muda dalam jemaah menteri yang telah dibentuk ini," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: