Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

16.5.13

Bekas hakim : Saya bukan rasis, beri peluang jawab


16 Mei 2013
Mohd Noor Abdullah
Datuk Mohd Noor Abdullah
KUALA LUMPUR - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, adalah tidak wajar beliau dilabel sebagai rasis kerana beliau perlu diberi ruang   untuk menerangkan sesuatu isu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Orang politik melihat sesuatu kenyataan itu daripada pandangan kaca mata sempit, saya hendak terangkan sesuatu menurut Perlembagaan patutnya diberi ruang untuk  rakyat mendengar, bukannya ditutup dengan mengatakan saya rasis, Datuk Mohd Noor Klu Klux Klan, Datuk Mohd Noor itu Hitler.

"Janganlah macam itu, bagi ruang untuk saya terangkan apakah parameter di dalam Perlembagaan yang menjamin rakyat hidup dalam aman damai," katanya yang muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan Bernama TV di saluran 502 Astro.

Rancangan satu jam yang mengupas tajuk 'Memperkasakan Perlembagaan' itu turut mengundang Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal dan diwawancarakan perantara Dahlan Maamor.

Mohd Noor dikritik banyak pihak terutamanya pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berunsur hasutan berhubung sekolah vernakular pada satu forum bertajuk 'Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini.

Mohd Noor berkata Perkara 152 menyatakan bahawa Perlembagaan hanya mengiktiraf satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia untuk satu Malaysia dan bagi urusan rasmi.   

"Cuma kelonggarannya ialah sesiapa sahaja di negara ini hendak belajar bahasa ibundanya sama ada Bahasa Cina, Bahasa Jepun, Bahasa Tamil belajarlah, tetapi belajar  sendiri, jadi Sekolah Cina dan India swasta itu hak yang tidak boleh dihapuskan," katanya.

"(Jika) Sekolah Kebangsaan (SK) untuk orang Melayu, SJKC untuk orang Cina, SJKT untuk orang India, bila masa anak cucu cicit kita belajar dalam kelas yang sama, makan di satu kantin, bila? Tida ada langsung ruang untuk itu," katanya.

Beliau berkata istilah yang lebih tepat ialah mencorakkan SJK kepada sekolah kerajaan seperti 'Government English School' pada zaman dahulu di mana para pelajar  berpeluang mempelajari pelbagai bahasa.

"Di sana nanti kita adakan mata pelajaran Bahasa Inggeris yang wajib dipelajari kerana ia bahasa antarabangsa, Bahasa Malaysia wajib dipelajari kerana ia menjadi bahasa  yang menyatu-padukan rakyat Malaysia.

"Selepas itu, kita galakkan pelajar-pelajar kita belajar Bahasa Arab kerana orang Melayu beragama Islam, pada masa sama galakkan semua orang Malaysia belajar  Bahasa Cina dan Bahasa Tamil kerana kedua-dua bahasa ini bahasa ekonomi dunia, bukankah cantik macam itu," katanya.

Mohd Noor berkata sekiranya rakyat  Malaysia memahami Perlembagaan, ia akan dapat mengelak daripada berlaku pergeresan sesama masyarakat.

"Malangnya, orang yang tidak faham Perlembagaan, mereka interpret Perlembagaan itu mengikut kepentingan dan hala tuju politik masing-masing, dan yang menanggung akibat buruknya adalah masyarakat yang terikut-ikut," katanya.

Beliau yang fasih berbahasa Tamil turut menyampaikan pesanan kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dalam Bahasa Tamil bahawa beliau bercakap benar dan hanya menyatakan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan.

"Maksudnya saya bukan orang politik yang bercakap mengenai politik, saya tidak diupah dan tidak bercakap bagi mana-mana pihak, apa yang benar itulah yang saya  cakap.

"Tetapi di dalam budaya India kalau saya cakap begitu maknanya ada yang tidak benar, jadi saya tidak cakap yang bohong, apa yang saya kata hari ini kalau ada terkecil  hati, saya hanya nyatakan apa yang terkandung dalam Perlembagaan, tidak ada tokok tambah," katanya.

Sementara itu, Zainul berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Noor tidak bersifat rasis dan bukan menghasut atau mencetuskan ketegangan kerana ia berdasarkan  kepada Perlembagaan itu sendiri.

"Apa yang dikatakan berdasarkan peruntukan, terpulang kepada penerimaan kita, kalau hendak tapis sesuatu itu berdasarkan tapisan politik, kita akan cari alasan tertentu  bagi justifikasikan pandangan parti-parti tertentu.

"Tetapi, kalau tapisan kita berdasarkan tapisan Perlembagaan dan perundangan, saya tidak nampak ia satu masalah besar, apa yang dikatakan Datuk Mohd Noor saya tidak nampak apa-apa perkara pun yang melanggar Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata tiada peruntukan secara spesifik mengenai SJK di dalam Perlembagaan, tetapi di dalam Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996, menyatakan bahawa menteri  boleh mewujudkan SJK dan SK.

"Apa kata perkasakan SK kita, berikan guru-guru yang terbaik di SK, tingkatkan kemudahannya, sudah pasti ia akan menarik minat bangsa-bangsa selain Melayu untuk  menghantar anak-anak mereka ke SK," katanya.- Bernama 

Tiada ulasan: