Polis menyiasat perbuatan seorang wakil kepada calon parti yang mengunci sembilan peti undi di sebuah pusat pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata kejadian berlaku pada pukul 7.10 malam dan selepas siasatan awal, individu itu dibebaskan malam tadi dengan ikat jamin.

"Individu itu telah bertindak mengunci sembilan peti undi tanpa kebenaran daripada Penolong Pegawai Urusetia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di pusat berkenaan," katanya pada taklimat media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Sementara itu, Ramli berkata dua laporan polis berhubung dakwat kekal yang hilang sejurus dicuci telah dibuat oleh Naib-naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar di Balai Polis Travers dan Tian Chua di Balai Polis Jinjang semalam.

Menurut SPR, dakwat kekal itu sepatutnya hanya boleh hilang sepenuhnya selepas 7 hari.

Ramli berkata SPR sedang menyiasat kedua-dua laporan itu.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 1,068 aktiviti kempen PRU13 berlangsung di seluruh negara semalam iaitu 543 ceramah, perjumpaan dan mesyuarat (145), kunjungan rumah ke rumah (35), kempen (195) dan lain-lain sebanyak (150).

- Bernama