Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

9.5.13

SPR disaran pecah pengundi ikut usia


6:43PM Mei 9 2013  
PAS mencadangkan supaya pecahan pengundi sesuatu kawasan tidak lagi mengikut komposisi kaum semata-mata kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan kaum.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana amalan sejak lima dekad lalu itu mendorong rakyat Malaysia, kerajaan dan terutamanya ahli politik akan berbicara segala permasalahan negara dari sudut kaum seperti yang berlaku pada masa ini.

Beliau mendakwa pecahan pengundi mengikut kaum oleh SPR selama ini dipercayai dibuat mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri daripada parti berdasarkan kaum, untuk mudah menjaga undi kaum masing-masing.
Oleh itu, tegasnya, sudah tiba masanya ia dirombak dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.

"Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan data-data sedemikian, tambahnya, parti-parti dan ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum.

"Ini boleh mengurangkan risiko berlakunya keadaan masakini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat modal politik murahan.
"Pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih undi.

"Data pengundi berdasarkan usia boleh dilakukan oleh SPR mulai sekarang ketika membersihkan daftar pengundi," katanya sambil menambah ia boleh dilaksanakan kerana segala maklumat ada pada kad pengenalan pengundi.

Selain itu, tambahnya, PAS juga mencadangkan agar sistem pilihan raya dirombak mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti.

"Jumlah peratusan undi akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

"Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding, di mana jumlah kerusi parlimen dan DUN adalah berdasarkan peratus undi popular yang diterima keseluruhannya.

"Ini mengelakkan manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi dengan banyak," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS berharap agar cadangan di atas diberi pertimbangan sewajarnya oleh SPR demi lebih memakmurkan demokrasi negara.

Tiada ulasan: