Dengan kebolehannya berbahasa Mandarin, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan calon yang digemari oleh masyarakat kaum Cina dan India selain daripada masyarakat Melayu sendiri.

Berdasarkan pemerhatian juga, ketika Nizar yang sebelum ini merupakan bekas menteri besar Perak berkempen di beberapa kawasan sekitar Changkat Jering, beliau menerima sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

NONEMalah, sebagai bekas ahli Parlimen Bukit Gantang, ia dilihat sebagai satu kredit yang mencerahkan lagi peluang Nizar memenangi kerusi DUN Changkat Jering dalam pilihan raya kali ini.

"Saya rasa kita boleh menang. Tengok sahajalah sambutan mereka ini pada kita," kata Nizar kepada Malaysiakini.

Selain itu, menurut seorang peniaga, Eng Ken Guen, 51, beliau percaya bahawa perubahan akan berlaku di Perak. Eng yang merupakan anak kelahiran Changkat Jering juga berkata, sebagai tanda sokongan untuk melakukan perubahan, adiknya yang kini bekerja di Singapura akan balik untuk mengundi pada 5 Mei ini.

"Kita yakin boleh menang. Adik saya yang kerja di Singapura pun akan balik mengundi di Changkat Jering. Kita memang mahu ubah," katanya.

NONEBagi seorang pegawai posmen, Ridzuan Ahmad, 55, beliau juga yakin Nizar akan menang di DUN itu sekaligus kembali menjadi menteri besar Perak.

"Insya-Allah boleh menang. Saya bangga dengan dia (Nizar) yang sanggup datang dan boleh komunikasi dengan kita. Lagi pun orang ramai sekarang dah sedar," katanya.

Selain itu, beliau juga yakin bahawa isu-isu yang pernah membabitkan Nizar sebelum ini tidak akan mempengaruhi penduduk Changkat Jering dalam memberi undi kepada calon dari PAS itu.

Pada 2008, Changkat Jering dimenangi oleh calon PKR, Mohd Osman Mohd Jailu (PKR) yang kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu pada 2009.

Mohd Osman menewaskan calon BN, Datuk Mat Isa Ismail dengan majoriti 1,102 undi.

Kawasan itu juga mempunyai seramai 33,150 pengundi - 62 peratus pengundi Melayu, 26 peratus pengundi Cina dan 11 peratus pengundi India.

NONEDalam pilihan raya kali ini, Nizar akan berdepan dengan calon BN yang merupakan anak tempatan, Datuk Rosli Husin serta calon Bebas Zulkefli Ibrahim.

Sementara itu, bagi Rosli yang merupakan bekas ADUN Trong di bawah Parlimen Bukit Gantang, beliau turut yakin menang di Changkat Jering berdasarkan peningkatan sokongan pengundi Melayu dikawasan itu.

Beliau juga yakin, latarbelakangnya yang berasal daripada Changkat Jering, juga mampu membantu menewaskan Nizar yang dianggap sebagai calon luar.

"Alhamdulillah. Orang Melayu, Cina semua menyokong kita. Ini dah masuk pusingan ketiga saya berkempen, saya yakin sokongan masyarakat Melayu juga semakin meningkat sehingga 70 peratus, India 65 peratus dan Cina 30 peratus. Saya rasa tak ada masalah.

"Di ceramah-ceramah BN pun, ramai yang hadir berbanding di ceramah yang di buat Pakatan. Lagipun ini adalah tempat saya. Saya orang tempatan.

"Nizar bukan orang sini dan tak ada rumah di sini," katanya ketika dihubungi sambil menambah bahawa beliau lebih dekat dengan masyarakat Changkat Jering berbanding Nizar.