Polis tidak pernah terlibat dalam meramalkan kemenangan mana-mana parti politik dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini seperti yang didakwa pihak pembangkang.
    
Penolong Ketua Urusetia (Komunikasi Korporat) Ketua Polis Negara, ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata dakwaan sebegitu hanya mahu mengelirukan rakyat dan mempunyai agenda tersembunyi.
  
"Jika ada polis terlibat, sila kemukakan bukti. Institusi polis bukanlah institusi yang boleh digunakan oleh mana-mana pihak untuk memanjangkan agenda politik masing-masing," katanya pada taklimat PRU13 kepada media di Bukit Aman hari ini.
  
Akhbar melaporkan dakwaan seorang pemimpin veteran pembangkang semasa berceramah di Kulai, Johor, kononnya terdapat laporan risikan cawangan khas polis yang meramalkan pakatan pembangkang bakal memenangi 145 kerusi Parlimen berbanding 77 kerusi bagi Barisan Nasional.
  
"Kita berharap semua pihak agar menghentikan segera sebarang perbincangan yang menjurus kepada isu berkenaan," kata Ramli.

- Bernama