Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa mempolitikkan pendidikan dan meluaskan jurang kaum dengan indoktrinasi perkauman terhadap mahasiswa melalui tayangan wajib hadir filem kontroversi Tanda Putera di kampusnya di Johor pada Selasa lalu.

Justeru, kata badan pemikir Kajian Perubahan untuk Politik (KPRU), UiTM diminta menjelaskan arahan pembatalan kelas yang didakwa dibuat melalui semua memo yang dikeluarkan.

Ketua DAP Segamat Pang Hok Liong dalam ceramah di Johor pada Selasa mendedahkan memo dalaman UiTM yang meluluskan pengecualian kuliah bagi memberi ruang kepada tayangan Tanda Putera.
Dalam memo bertajuk "Program Wajib Hadir untuk Pelajar Sarjana Muda: Program Tayangan Perdana Filem Tanda Putera" itu juga meminta kerjasama pensyarah untuk membantu Bahagian Hal Ehwal Pelajar bagi menjayakannya.

Pensyarah diminta memberi maklum balas berhubung pelajar yang perlu membuat pembentangan, kuiz dan ujian.

Sementara itu, PKRU dalam kenyataannya juga mengaitkan BN dengan program itu, malah mendakwa parti itu gagal menghormati Ikrar Integriti Pilihan Raya berkaitan prinsip benar dan tatalaku beretika.

"Ini adalah bertentangan dengan tahun 2011, di mana BN sendiri yang menegaskan para pelajar seharusnya tidak diganggu dengan aktiviti politik dan kampus merupakan tempat untuk belajar," kata KPRU dalam kenyataannya pada Khamis.

Malaysiakini sebelum ini telah cuba menghubungi UiTM itu bagi mendapatkan respons tetapi tidak berhasil.